Sunday, October 14, 2018

PPD DAERAH KOTA BELUD

 PPD KOTA BELUD – SUMBER TN JUILIS MOKUJAL


1.       1.       Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut turut disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat yang dikuasakan pula dengan teknologi internet. Pelbagai maklumat baru boleh diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar jiwa ‘panas’ remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada matlamat hidup dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, remaja tidak boleh selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu diperkasakan oleh remaja demi berhadapan dengan ancaman yang berbahaya itu.
Isi 1 : Mendalami ilmu agama dan moral – agama dan moral sebagai benteng keruntuhan akhlak – faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan takwa – faham bahawa segala perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat dan mendapat ganjaran yang setimpal
Isi 2 : Meletakkan keutamaan belajar dan mencari pengalaman demi masa depan – hanya ilmu dan pengalaman sebagai jaminan masa depan
Isi 3 : Memilih rakan yang sealiran – rakan sebagai pewarna kehidupan – tersalah memilih rakan boleh mengundang mudarat – mengikuti program sosial seperti persatuan dan NGO
Isi 4 : Membina motivasi – motivasi merupakan enjin yang menggerakkan individu untuk mencari kejayaan – tidak mudah terpedaya dan mengikut telunjuk rakan – mempunyai matlamat masa depan yang terjamin
Isi 5 : Memahami dan mendalami dasar dan visi negara – faham akan hala tuju negara – memahami hasrat pemimpin – bersama-sama rakan berganding bahu menjayakan semua agenda wawasan negara - tidak mudah terpengaruh dengan anasir perosak negara
Kesimpulan : Tokoh falsafah terkemuka Yunani iaitu Aristotle pernah berkata, “Ketahanan sesebuah negara bukan bergantung kepada hasil buminya yang mewah, sebaliknya berada dalam tangan anak mudanya yang  gagah dan bijaksana”. Apabila menghayati kata-kata hebat tersebut, saya begitu teruja untuk menjadi anak muda yang berwawasan. Saya beriltizam untuk membina Malaysia yang tercinta ini menjadi negara yang bebas daripada ancaman parasit dan anasir perosak khususnya daripada kalangan anak-anak muda itu sendiri. Oleh itu, saya dan rakan-rakan hendaklah memilih jalan yang betul yang telah dirintis oleh generasi yang terdahulu.

2.       2. Amalan membaca haruslah dipupuk kepada generasi muda untuk melahirkan golongan yang berilmu pengetahuan.
Tuliskan satu rencana tentang peranan ibu bapa untuk memupuk minat membaca kepada anak-anak.

NOTA : Sila rujuk jawapan lengkap di dalam modul saya edisi 2018 ms 49    

3. Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan atau pun pelancong asing.
Huraikan kepentingan-kepentingan industri pelancongan terhadap pembangunan negara.

Pendahuluan: Apabila berbicara perihal melancong, banyak orang yang akan mengalih pandang sama ada ke negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Asia Timur Jauh seperti Jepun, Korea, dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah kita melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula pelancong asing yang datang ke negara kita. Berdasarkan laporan portal pelancongan negara, Malaysia berada di tangga yang kesepuluh dalam kalangan negara-negara yang wajib dilawati. Destinasi utama seperti Gunung Kinabalu dan taman pertanian Kundasang, Cameron Highland, Pulau Perhentian, Pulau Langkawi dan banyak lagi destinasi telah lama gah dan tersohor dan menjadi ciapan kepada pelancong asing dan tempatan. Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia pun tidak kurang hebat dengan destinasi pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita manfaatkan demi faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada kemajuan ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.
Isi 1: Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara asing semakin meluas – imej Malaysia akan dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong
Isi 2: Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan yang berkaitan dengan industri pelancongan itu sendiri seperti dalam bidang perhotelan – memajukan industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan, pakaian, cenderamata, pengangkutan dan sebagainya.
Isi 3: Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan daripada interaksi dengan orang asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir semakin berkembang – gaya berfikir di luar kotak
Isi 4: Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang dibangunkan, kemudahan  prasrana, alam sekitar yang terjaga dan semua potensi alam berjaya dimanfaatkan
Isi 5: Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang ekonomi – minat yang tinggi daripada pelancong-pelancong dari Timut Tengah, Jepun, Korea, dan Eropah boleh meningkatkan kadar tukaran mata wang negara.
Kesimpulan: Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana ekonomi kepada banyak negara di dunia. Negara-negara terkemuka di Eropah seperti Switzerland, Perancis dan walayah Scandinivia amat mesra kepada pelancong. Demikian juga dengan di Asia, negara Jepun, Korea dan Thailand sering menjadi pilihan. Sesungguhnya, industri pelancongan menjadi titian yang menyambungkan interaksi budaya, cara hidup bahasa dan emajuan ekonomi. Walaupun industri pelancongan pada awalnya sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi yang negatif, namun imej tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam aspek budaya dan agama. Janganlah disebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.


4. Kemasukan pelajar asing ke negara ini telah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang tersohor di peringkat global.
Huraikan faktor-faktor yang menarik minat pelajar-pelajar dari luar  negara untuk melanjutkan pelajaran di negara ini. 

Pendahuluan: Bandar raya Kuala Lumpur semakin hampir mencapai taraf kosmopolitan apabila berada sebaris dengan bandar-bandar besar dunia yang lain. Situasi itu diwarnai oleh kepelbagaian aktiviti perniagaan, pendidikan, sosial dan kemajmukan masyarakatnya yang datang dari seluruh dunia. Pada hari ini apabila berkunjung ke bandar raya kebanggaan Malaysia itu, kita seakan-akan terasa seperti berada di planet yang berbeza dengan lokasi yang lain di Malaysia sebagai kesan daripada kepelbagaian sosial dan budayanya. Tempias di Kuala Lumpur turut merebak ke bandar-bandar utama lain juga, seperti Pulau Pinang, Johor Baharu, Ipoh dan kawasan Lembah Kelang yang semakin melimpah dengan kebanjiran pelajar-pelajar asing. Kehadiran mereka ini adalah selaras dengan dasar negara yang menggalakkan IPTA dan IPTS membuka pintu kepada pelajar antarabangsa. Dikhabarkan kebanjiran mendadak pelajar-pelajar asing ke Malaysia adalah disokong oleh pelbagai faktor positif sebagai daya tarikan.
Isi 1: Secara relatifnya kadar yuran pengajian dan kos sara hidup di Malaysia adalah rendah
-          Kadar mata wang RM adalah lebih rendah daripada mata wang utama dunia
-          Belanja kos hidup dan biaya pengajian lebih murah
Isi 2: Situasi pengajian dan pembelajaran di Malaysia yang selamat selesa dan kondusif
-          Jaminan keselamatan dalam negeri yang aman
-          Tingkah laku masyarakat Malaysia yang sopan dan berbudaya tinggi
-          Semua kampus dan prasarana IPTA dan IPTS yang moden dan kondusif
Isi 3: Silibus pengajian tinggi di Malaysia mendapat penarafan akreditasi antarabangsa
-          Lulusan IPT Awam mahupun swasta diterima di mana-mana negara di dunia
-          Tenaga pengajar yang profesional dan ramai yang berkelulusan dari IPT di negara maju
Isi 4: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPT memudahkan pengajaran
-          BI sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu yang merentasi dunia
-          Semua pelajar antarabangsa boleh berkomunikasi dalam BI
-          Sumber rujukan dalam BI juga mudah didapati di premis-premis jualan buku mahupun di pusat sumber awam
Kesimpulan:  Peribahasa telah menyatakan, di mana-mana ada air di situ ada ikan, adalah dengan jelas menunjukkan manusia akan berpusu-pusu ke sesuatu tempat apabila wujudnya peluang di tempat tersebut. Demikianlah halnya dengan peluang menuntut ilmu seperti yang disajikan oleh Malaysia kepada semua anak muda di seluruh dunia. Kepada Malaysia, peluang ini diibaratkan seperti sambil menyelam minum air kerana pelbagai peluang ekonomi dan sosial boleh dijanakan daripada polisi yang bersifat “menang menang” ini.






No comments:

Post a Comment