Monday, October 29, 2018

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PULAU PINANG & SELANGOR

Assalamualaikum,
Saya muat naik 2 set rangka isi lagi yakni untuk Pulau Pinang dan Selangor. Semoga bermanfaat kepada yang sudi meneliti.

PULAU PINANG
1.       Telefon pintar dianggap sebagai satu trend gaya hidup para remaja pada masa ini.
Huraikan kesan-kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid.

2.       Amalan membaca perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menggalakkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

 
 Sila rujuk sampel karangan penuh di dalam modul saya edisi 2018

Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu amalan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.
Berpandukan peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah dengan budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan membaca perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya, justeru semua pihak akan berasa seperti suatu keperluan untuk membaca. Setiap ahli keluarga terutama ibu bapa harus menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan keluarga. Lampu tersebut sudah tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui tradisi membaca. Dalam tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah diperluas kepada bidang pengetahuan yang lain melalui amalan membaca. Alangkah indahnya apabila budaya membaca mula terpahat kukuh di dalam benak anak-anak sama seperti gemar menonton televisyen dan berinteraksi dengan gajet.
Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa  akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga……………………………………….. (sila baca sambungannya di dalam modul)


3.       Gejala rasuah dalam kalangan masyarakat perlu dibanteras supaya imej negara tidak terjejas.

Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak
untuk menangani gejala ini.

4. Pergolakan dan peperangan yang berlaku di sesebuah negara telah menyebabkan
berlakunya krisis pelarian yang semakin serius.

Ulaskan kesan-kesan yang timbul akibat daripada krisis tersebut.

NOTA: Sesiapa yang memiliki MMM edisi 2018, sila rujuk sampel lengkap soalan ini dalam muka surat 68. Terima kasih.

5. Peribahasa Melayu ada menyebut, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit bermaksud
sabar dan tekun mengerjakan sesuatu, akhirnya berjaya juga.

Tuliskan sebuah cerpen berdasarkan peribahasa di atas.

SELANGOR – SET 1

1.       Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat berharga dan perlu diisi dengan sebaik mungkin. Zaman remaja hanya datang sekali dalam seumur hidup.
Huraikan kegiatan bermanfaat yang perlu anda lakukan untuk mengisi zaman remaja.
Sila rujuk modul saya edisi 2018 muka surat 75.

Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut turut disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat yang dikuasakan pula dengan teknologi internet. Pelbagai maklumat baru boleh diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar jiwa ‘panas’ remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada matlamat hidup dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, sebagai remaja saya tidak boleh selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu saya perkasakan untuk menangani cabaran tersebut.

Isi 1: Mendalami ilmu agama dan mengamalkan nilai moral – agama dan moral sebagai benteng keruntuhan akhlak – faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan takwa – faham bahawa segala perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat dan mendapat ganjaran yang setimpal

2.       Anda telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam suatu pertandingan syarahan peringkat daerah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri.
Tajuk syarahan anda ialah, Usaha-usaha Meningkatkan Kesedaran Remaja dalam Melestarikan Alam Sekitar”.

          
 NOTA: Soalan ini dalam bentuk berformat. Calon hendaklah peka akan segala syarat format seperti KATA ALU-ALUAN, PANGGILAN TETAMU & PENUTUP UCAPAN. Calon juga hendaklah benar-benar menguasai laras syarahan/pidato yang merupakan laras bahasa tinggi.
Pendahuluan: Kesedaran melestarikan alam sekitar ialah frasa yang menerangkan prakarsa atau keiltizaman untuk mewujudkan mahupun mengembalikan fungsi asal alam sekitar berlandaskan hukum tabii. Alam sekitar dalam komponen yang terdiri daripada sungai, lautan, gunung-ganang, hutan belantara serta flora dan fauna hendaklah dikembalikan kepada fitrah kejadiannya yakni untuk saling bergantungan dan saling memperoleh impak kebaikan daripada sistem semula jadi tersebut. Oleh sebab itu, manusia sebagai sebahagian daripada komponen alam dan berfungsi sebagai khalifah yang menjaga kesinambungan lestari hendaklah bertanggungjawab terhadap alam jagat raya ini. Sesungguhnya, kelompok sasar yang harus memikul peranan sebesar ini ialah remaja.
Isi 1: Membina semula kesedaran dalam kalangan remaja bahawa mereka adalah sebahagian daripada alam – apabila alam dimusnahkan bermakna manusia pun bakal musnah – remaja harus diberi ingatan bahawa tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk penduduk bumi melaksanakan inisiatif yang agresif untuk menyelamatkan bumi daripada ditenggelami fenomena cairan ais di Kutub Selatan dan Kutub Utara.
Isi 2: Menyebarluaskan fahaman agama bahawa menjaga alam itu adalah sebahagian daripada amanah Allah – perbuatan memusnahkan alam merupakan dosa yang amat besar – Allah melaknat sesiapa sahaja yang tidak peka akan kesejahteraan alam dengan didatangi bencana seperti tanah runtuh, banjir, ribut taufan, gempa bumi dan tsunami.
Isi 3: Mendidik remaja agar hidup dalam persekitaran yang mesra alam, ceria dan sihat – jauhi tingkah laku negatif seperti membuang sampah sesuka hati, membunuh dan merosakkan makhluk flora dan fauna.
Isi 4: Menghidupkan semula budaya ‘SEKOLAH DALAM TAMAN’ – budaya yang menyuntik kesedaran dalam kalangan murid untuk menjaga keindahan alam sekitar dalam kawasan institusi pendidikan.
Isi 5: Pihak sekolah menjalankan lebih banyak program koakademik di kawasan dengan landskap semula jadi – aktiviti di kawasan pergunungan, hutan, sungai mahupun pantai – murid menikmati keindahan alam dan tertanam rasa cinta terhadap alam.
Kesimpulan: Akhir kalam dan penutup bicara, remaja ialah pewaris bangsa dan pewaris tamadun. Merekalah pelakar kesejahteraan umat manusia dan penyelamat kelestarian alam sekitar. Mereka harus dididik dan diberitahu bahawa kebejatan alam oleh tindakan tangan mereka memungkinkan hari depan tamadun menjadi hambar dan samar-samar. Seyogialah remaja menjadi insan yang paling cakna akan kesejahteraan alam yang menjadi isyarat kesejahteraan untuk mereka juga. Binalah  slogan, “LESTARIKAN ALAM, SELAMATKAN REMAJA, MAKMURKAN DUNIA”.

3. Ilmu pengetahuan dan kemahiran sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup seseorang.
Jelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seseorang dalam usaha untuk meningkatkan  kualiti hidup mereka.

Sila rujuk sampel lengkap karangan saya di dalam MMM edisi 2018, muka surat 56.
4         Remaja berpendapat bahawa bekerja di luar negara lebih menguntungkan berbanding dengan bekerja di dalam negara.
Huraikan komen anda.

Pendahuluan: Peribahasa Melayu menyatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baiklah di negeri sendiri. Pernyataan peribahasa ini mendorong seseorang supaya lebih mengutamakan tempat sendiri mahupun negeri sendiri. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi masa kini seseorang dituntut agar lebih celik dunia dan mencari potensi bagi merebut peluang mencari rezeki di luar negara. Berpandukan peluang yang sentiasa terhidang di mana-mana jua, ramai anak muda pada hari ini mula bertebaran di seantero pelosok dunia untuk merebut peluang kerjaya yang lebih baik. Hal yang demikian telah menimbulkan pelbagai polemik tentang pro dan kontra pendirian seperti itu.

Isi 1: Boleh membuka persaingan yang lebih luas dan lebih mencabar – anak muda boleh meniru budaya kerja masyarakat antarabangsa – sentiasa berusaha untuk merebut peluang yang lebih baik – meniru dan menceduk segala pengetahuan dan pengalaman para pekerja terutama dari negara maju dalam aspek teknologi mahupun inovasi terkini.

Isi 2: Berpeluang memperoleh tawaran gaji yang lebih lumayan – tawaran gaji di negara-negara maju dan kaya seperti di Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat secara relatif adalah lebih tinggi.
Isi 3: Memperluas minda dan pengalaman berada di bumi asing – fikiran semakin terbuka, membina sifat berani, berdikari dan meningkatkan kreativiti.

Isi 4: Menceduk segala ilmu dan teknologi untuk dibawa pulang ke tempat sendiri – menyebarkan pengetahuan dan pengalaman untuk membangunkan watan – sebagai suatu langkah pemindahan teknologi dengan perantaraan tenaga manusia – menjadi aset penting negara

Isi 5: Berlaku integrasi budaya, cara hidup dan pemikiran di luat kotak – anak-anak tempatan di luar negara biasanya lebih bijak, cepat membuat keputusan dan bijak dalam berkomunikasi – mereka menjadi duta tidak rasmi negara di persada antarabangsa.

Kesimpulan: Memertik sepotong ayant al-Quran dalam surah al-Jumaah, “Apabila selesai bersolat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi ini dan tuntutlah keredaan Allah dan ingatlah pada Allah adalah sebagai dorongan supaya manusia sentiasa positif untuk merebut peluang yang Allah sediakan di muka bumi ini. Oleh itu, di mana-mana ada peluang, justeru rebutlah peluang tersebut dengan syarat tidak mengabaikan syariat Allah.

5         Anda gemar membaca novel pada waktu senggang. Anda mendapat bahawa watak utama berperanan sebagai pengarang untuk menyampaikan pelbagai nilai kemanusiaan.
Jelaskan nilai-nilai kemanusiaan pada watak utama yang boleh anda amalkan dalam kehidupan.

NOTA: Soalan ini amat strategik kerana belum pernah ditanya dalam mana-mana peperiksaan SPM.

1 comment: