Wednesday, February 22, 2012

APAKAH SEBENARNYA KARANGAN BM SPM?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
     Konsep karangan dalam pengertian yang sebenarnya ialah seni menyampaikan idea dan fakta dalam medium bahasa yang menarik, bervariasi, jelas dan menepati tugasan soalan. Oleh hal yang demikian, karangan tidak boleh ditulis dalam laras bahasa yang terlalu santai dan biasa.
     Karangan harus akur kepada kehendak soalan, menepati mod dan laras bahasa. Idea yang disampaikan hendaklah terikat dengan kehendak soalan. Sementara itu, teknik penyampaiannya amat berkaitan dengan pengolahan yang dirancing oleh penulis (pelajar)
    Pelajar yang bijak dapat menampilkan idea-idea bernas dan diolah dalam medium bahasa yang mudah difahami tetapi amat menarik. Konteks menarik berkait rapat dengan pemilihan kata, lenggok ayat dan seni berbahasa yang diadun dengan peribahasa, kata-kata hikmat, sumber-sumber sokongan, dan pengikat wacana yang tepat dan teratur.
     Kelancaran wacana adalah bergantung penuh kepada kesinambungan idea yang dijalin mengikut urutan idea yang hendak disampaikan. Memandangkan dalam soalan telah terdapat arahan tetap menjawab soalan, justeru setiap penamat perenggan hendaklah disangkut semula kepada ayat arahan.
     Pada peringkat SPM, karangan yang cemerlang hendaklah antara 550 - 700 patah perkataan. Walaupun arahan am yang diberikan hanya 350 pp, namun arahan tersebut tidak boleh dipatuhi sepenuhnya memandangkan ramai calon yang hebat berjaya menulis lebih daripada itu. Demikianlah konsep peperiksaan pada makna dan hakikatnya. Sesiapa yang terbaik dialah yang cemerlang.

SIRI AKAN DATANG MENGENAL PASTI 
ITEM SOALAN DAN MERANCANGKAN PENULISAN

Thursday, February 16, 2012

ULASAN SOALAN 5 - UNSUR SASTERA

Alhamdulillah. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya memberi saya sedikit masa untuk menyambung kerja sukarela ini. Dalam siri-siri yang lalu, saya telah mengulaskan 4 soalan. Setiap soalan telah diberikan sama ada isi-isi penting atau pun cabutan sebahagian daripada karangan lengkap.

Tiba pada kali ini untuk kita menilai soalan yang terakhir iaitu soalan yang berunsur sastera. Perlu diingat, soalan dalam unsur sastera terbahagi kepada 2 jenis iaitu;

(i)  Jenis pertama : Soalan dalam bentuk deskriptif atau dalam bentuk huraian biasa. Hal ini bermaksud karangan biasa yang merujuk kepada perihal kesusasteraan. Oleh itu, rujukan isi hendaklah yang ada kaitan dengan bahan-bahan sastera atau unsur-unsur sastera.

(ii)  Jenis kedua : Soalan dalam bentuk kreatif. Soalan ini lebih eksklusif sedikit kerana gaya persembahan hendaklah condong kepada penulisan kreatif khususnya cerpen atau pun drama. Selain itu, ada kemungkinan calon dikehendaki membuat ulasan tentang genre-genre sastera. Aspek laras, pengolahan dan gaya bahasa hendaklah mirip kepada kesusasteraan.

ULASAN : Pada dasarnya soalan ini bukanlah terlalu sukar. Malahan ada kalanya soalan ini lebih mudah daripada soalan 1 - 4. Suatu hal yang agak menarik, pelajar sendiri yang telah meletakkan persepsi bahawa soalan 5 adalah tidak menarik. Padahal, pelajar tidak perlu bersusah-susah untuk mencari bahan. Mereka hanya membuat aplikasi semula terhadap mana-mana genre sastera yang telah dipelajari dalam KOMSAS sama ada di tingkatan 4 atau 5.

Sekarang cuba pelajar telitikan soalan 5 SPM 2011 seperti yang berikut ini;

Cari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan ubat

Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setia kawan

Petikan gurindam di atas menjelaskan kepentingan memilih sahabat.

Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sahabat yang baik.

ULASAN : Soalan ini merupakan gabungan antara kreatif dan deskriptif. Dalam aspek kreatif, calon dikehendaki peka terhadap genre puisi khususnya puisi tradisional. Sementara itu, dalam perkara menjawab soalan pula, calon dikehendaki memberi jawapan dalam bentuk deskriptif. Oleh hal yang demikian, soalan ini adalah antara yang mudah dalam semua soalan SPM 2011. Calon tidak perlu risau tentang laras bahasa dan gaya bahasa. Memadailah dengan merujuk beberapa jenis pantun atau gurindam, calon boleh mengarang dengan memberikan tumpuan kepada fokus isi iaitu CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK. Berikut ini telitikan sebahagian cabutan daripada karangan penuh yang diambil daripada modul saya.

     Dalam memperkatakan perihal sahabat, seuntai pantun Melayu pernah berkias tentang nilai  sahabat yang sebenarnya seperti yang berikut;


                Apabila langsat kuning mencelah
                Senduduk tidak berbunga lagi
                Apabila mendapat gading bertuah
                Tanduk tidak berguna lagi.

Persoalan terpenting yang diketengahkan oleh pantun di atas betapa, persahabatan yang rapuh tidak lebih daripada memandang kebendaan dan aspek luaran sahaja. Dengan yang demikian, hakikat sahabat yang sebenar adalah seperti yang dinukilkan oleh al Hakim dengan kata-katanya, “Temanmu ialah orang yang berkata benar kepadamu dan bukan yang membenarkan apa-apa sahaja yang engkau katakan”.  Oleh itu, peribahasa Sepanyol ada menyatakan tentang diri sahabat yang baik ialah, “Tiada cermin yang paling baik melainkan seorang sahabat yang jujur kepada dirimu”. Sesungguhnya, amat banyak ciri yang harus diteliti dalam memilih sahabat yakni sahabat yang memiliki sifat-sifat cemerlang (sifat mahmudah) dan elakkan sama sekali sift-sifat keji (sifat mazmumah).

                Kerap kali timbul soalan secara santai tentang siapakah sahabat yang baik? Jawapannya pun tentulah secara santai juga iaitu sahabat yang bersedia dalam kedua-dua situasi susah dan senang. Memadaikah jawapan tersebut? Sesungguhnya, sahabat yang baik hendaklah insan yang sentiasa mengenali dirinya. Mengenali diri dalam konteks tahu asal usul sebagai hamba yang dijadikan Tuhan. Insan yang mengenali dirinya tidak mudah lupa daratan dan tidak memutuskan urusan hidupnya dengan Allah SWT. Inilah yang dinamakan insan yang beriman. Insan yang beriman sudah sewajarnya tidak memutuskan hubungannya sesama insan lain. Inilah sebenarnya hakikat sahabat dalam kelas yang pertama iaitu yang tahu akan hak dirinya kepada Allah dan faham akan tanggungjawab kepada insan lain.......teruskan membaca jawapan ini dalam modul saya ms 39.

Sekian terima kasih.


SEBAGAI USAHA TAMBAHAN UNTUK MEMPERTINGKATKAN KEMAHIRAN MENGARANG PELAJAR-PELAJAR, SAYA DENGAN SEGALA RENDAH HATI MENGEMUKAKAN MODUL KERTAS 1 BAGI EDISI 2012 PULA. 

SILA DAPATKAN NASKAH ANDA. 


 

KITA BERJUMPA DALAM EDISI YANG AKAN DATANG TENTANG BIMBINGAN 'SMART' KARANGAN PULA. JANGAN TERLEPAS MENGIKUTI BLOG SAYA. SAYA AMAT BERSYUKUR KEPADA ALLAH KERANA ADA KAWAN RAKAN YANG SUDI MENIMBA SEDIKIT PENGALAMAN DAN KEMAHIRAN DARIPADA SAYA.

SELAMAT MAJU JAYA

Tuesday, February 14, 2012

ULASAN SOALAN 4 - DIMENSI GLOBAL

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

Alhamdulillah, dengan izin Allah kita dapat bertemu lagi dalam ruangan bimbingan mengarang ini. saya amat bersyukur kerana 3 soalan telah berjaya saya ulaskan. Sekarang kita berbicara pula tentang soalan ke-4 seperti yang berikut ini:


Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) membolehkan masyarakat dunia berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, cepat dan murah.

Bincangkan.

 Dimensi : Global
Isu : Aplikasi ICT
Tema : Kemajuan ICT sebagai akses masyarakat berinteraksi
Fokus isi : Faedah-faedah/Signifikan ICT kepada interaksi masyarakat global

Ulasan soalan : Soalan ini menjangkau isu antarabangsa. Walau bagaimanapun, teras perbincangannya masih lagi berjejak kepada isu yang popular di bumi Malaysia. Oleh itu, soalan ini bukanlah isu yang luar biasa kepada pelajar. Sungguhpun demikian, wawasan berfikir dan skop perbincangan hendaklah menyentuh hubungan dengan dunia luar. Semua rujukan dan contoh hendaklah dikaitkan dengan persekitaran global. Tidak salah sumber fakta dan contoh diambil di Malaysia. Yang penting sumber-sumber tersebut boleh di kolaborasikan dengan perkembangan antarabangsa. Sebagai contoh, sumber-sumber seperti Microsoft, Apple, Powerpoint dan sebagainya sudah pun terpakai di saentero dunia.
Berdasarkan merit, soalan ke-4 adalah yang paling rendah ratio yang menjadi pilihan calon. Fobia terhadap ceteknya pengetahuan tentang dunia luar masih menghantui minda para pelajar. Sebenarya, kepada calon-calon yang sering mengambil tahu tentang dunia luar, soalan ini adalah bonus kepada mereka.

Sebagai panduan, lihat cabutan daripada karangan penuh yang boleh anda dapat di dalam modul saya. Telitikan;

      
‘Dunia semakin Kecil’, ‘Maklumat Tanpa Wayar’, ‘Maklumat Di hujung Jari Anda’ dan banyak lagi ungkapan yang seumpama dengannya. Demikianlah kalimat yang membuktikan kecanggihan dan fungsi ICT masa kini. Kecanggihan ICT telah mula mengambil alih segala urusan dunia bermula dari hal ehwal di dalam bilik tidur hinggalah penerokaan di angkasa lepas. iCT telah membuka jendela dunia untuk membolehkan manusia berinteraksi dan mengakses pelbagai maklumat dengan mudah, cepat dan murah. Tidak hairanlah pelbagai frasa baru yang berharmoni dengan kemajuan ICT, seperti rangkaian langit terbuka, teknologi siber, dan dunia tanpa sempadan. Dengan hal yang demikian, transformasi daripada budaya kertas dan dakwat kepada teknologi ICT hendaklah diterima sebagai fenomena baru untuk membentuk acuan baru dunia pada masa yang akan datang.

Permulaan abad ke-21 menjadi titik tolak terpenting apabila fajarnya yang menyingsing turut membawa bersama-sama perubahan besar dalam alaf milenium ini. Fajar itu ialah kuasa ICT mula menyuluhi semua lapisan rakyat tanpa mengira golongan marhaen mahupun teknokrat dan intelektual. Perisian-perisian seperti Word, Excell, Power point, adobe, page maker, autocad dan banyak lagi yang bakal muncul bukan lagi asing. Selepas itu. peringkat demi peringkat, fungsi ICT telah mula ‘menakluk’ dunia dengan pelbagai jenama baru yang pada asasnya diprogramkan oleh fungsi komputer. Bermula dengan peranti penyimpanan data, kini ICT berkembang pantas dalam industri komunikasi apabila tercipta media-media seperti telefon bimbit, Ifon, Ipad, blackbery dan galaksis. Semua peranti tersebut sebenarnya dikawal oleh sistem perisian komputer yang berteknologi tinggi.

Kini, ke mana-mana jua kita pergi semua urusan sama ada personel, jabatan kerajaan, swasta mahupun internasional, pemudah cara yang pasti turut bersama ialah ICT. Sehari tanpa komputer dan internet hidup bagaikan kosong dan sepi. Kehidupan manusia hari ini benar-benar dipacu oleh ‘mesin’ yang berjenamakan komputer............... Sila dapatkan karangan lengkap di dalam modul saya.


ANDA MENGHADAPI MASALAH UNTUK MENCARI SOALAN KARANGAN YANG LENGKAP DENGAN ISI? ANDA TIDAK CUKUP BAHAN UNTUK LATIHAN MENGARANG INTENSIF? ANDA TERCARI-CARI PANDUAN PALING TUNTAS UNTUK MELUNASKAN ASPIRASI MENGGENGGAM  A++ DALAM SUBJEK BM? BERSAMA-SAMA INI FAQIR  YANG DAIF INI MENAWARKAN PENYELESAIAN UNTUK PERSOALAN DI ATAS. DAPATKAN SEGERA MODUL SAYA YANG AKAN DIPASARKAN BERMULA 25 FEB NANTI.





 MENYEDIAKAN KEPADA ANDA


>  Panduan mengarang karangan A & B
>  21 sampel karangan panjang (B) berskala markah A++
>  Ulasan dan markah piawai sampel-sampel jawapan soalan SPM yang lepas
>  55 soalan latihan kendiri yang terbahagi kepada 5 dimensi soalan

>  Rujukan penanda wacana, senarai semak tatabahasa, 124 peribahasa, 50 petikan kata hikmat dan 100 daftar kata sukar disediakan untuk rujukan pelajar.


HUBUNGI SAYA UNTUK MENDAPATKAN NASKAH ANDA. HARGA YANG AMAT MUNASABAH.


HAJI ISHAK BIN MD SHAH
019 4789803.



Siri akan datang : Ulasan soalan 5.

Saturday, February 11, 2012

ULASAN SOALAN 3, SPM 2011

Assalamualaikum,
    Sekarang kita beralih pula kepada soalan nombor 3.


Soalan : Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah ‘Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara’.

Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya

Telitikan dahulu analisis komponen soalan;

Dimensi : Masyarakat dan negara
Isu :  Perpaduan
Tema : Perpaduan sebagai syarat untuk kemajuan da kemakmuran negara
Fokus isi jawapan : Faktor-faktor dan langkah-langkah untuk menjadikan perpaduan sebagai prakarsa untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran negara.

Ulasan : Soalan ini agak berat kepada kebanyakan pelajar. Hal tersebut kerana, soalan ini membincangkan isu penting dalam masyarakat, manakala jawapannya pula perlu disampaikan dalam format syarahan. Standard kualiti bahasa dalam syarahan adalah terlalu tinggi. Pelbagai ragam bahasa dalam gaya dan laras istimewa perlu ditampilkan
Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang mampu, soalan ini merupakan bonus untuk memperoleh markah yang tinggi. Selain itu, pelajar juga perlu memiliki pengetahuan luar yang banyak. Antara sumber pengetahuan ialah sejarah, ekonomi, dan kemasyarakatan. Sebagai panduan asas, saya lampirkan sebahagian daripada contoh karangan lengkap yang dipetik daripada modul saya edisi 2012. Sila baca dengan teliti


Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Yang saya hormati saudara Pengacara Majlis. Terima kasih kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk berhujah. Yang Arif lagi adil jemaah hakim yang bertauliah. Yang dihormati dif-dif jemputan kehormat dan seterusnya saudara serta saudari teman-teman seperjuangan sekalian.

Sidang majlis yang dihormati sekalian,

                Membuka kalimah dalam bait-bait awal pidato saya pada kali ini, marilah bersama-sama kita menghayati bicara bijaksana daripada Nabi SAW  yang menyatakan, “Sesungguhnya setiap mukmin itu ibarat susunan batu bata kepada sebuah bangunan. Apabila satu daripadanya runtuh, nescaya runtuhlah semuanya”. Berdasarkan mafhum daripada Hadith tersebut telah menjelmakan kepada kita akan pengajaran betapa besarnya erti perpaduan dalam membina apa-apa jua kekuatan dan kemajuan.

                Sesungguhnya, perpaduan dalam terjemahan harfiahnya bermaksud, penyatuan, ikatan, dan gabungan yang bermula daripada hati dan perasaan lalu diterjemahkan oleh tindakan dalam bentuk kerjasama dan saling menyokong. Oleh itu, frasa ‘Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara’ bolehlah didefinisikan sebagai penyatuan dalam kalangan rakyat adalah menjadi aset penting untuk memajukan negara sama ada dalam aspek ekonomi, sosial, mahupun kestabilan negara.

Sidang majlis yang dihormati sekalian,

                Sejajar dengan realiti negara  yang bermasyarakat majmuk, perpaduan adalah amat penting dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Alangkah rumitnya untuk menyatukan pemikiran, sikap dan tindakan dalam kalangan masyarakat yang lahir daripada pelbagai latar budaya dan kaum. Malahan dalam keadaan yang rumit itu, isu-isu sensitif seperti adat resam, agama dan hak asasi mudah menjadi barah yang boleh mencetuskan sengketa. Kita telah belajar daripada sejarah tentang tragedi hitam seperti peristiwa Natrah, Tragedi 13 Mei dan ancaman Komunis merupakan sebahagian daripada ledakan perasaan marah akibat runtuhnya ikatan perpaduan. Akhirnya, negara terumbang ambing, keselamatan terancam dan ekonomi terjejas. Oleh itu, pada awal era milenium ini, perpaduan dilihat sebagai wahana yang amat berharga. Runtuhnya beberapa dinasti hebat di rantau Timur Tengah adalah cetusan daripada luputnya perpaduan. Bayangkan semula, berapakah harga yang terpaksa kita bayar jikalau negara kita pula yang kembali ke dalam kancah bahaya seperti itu?  Jawapannya, punahlah segala-galanya!

JAWAPAN PENUH KARANGAN DI ATAS BOLEH ANDA RUJUK DI DALAM MODUL MS 36.



MODUL EDISI 2012 BAKAL MEMBANTU PARA GURU DALAM P&P KARANGAN. SEMENTARA ITU, PELAJAR DAPAT MEMAHIRKAN KEMAMPUAN MENGARANG APABILA MEREKA BOLEH MEMBUAT LATIHAN BERPANDU BERDASARKAN 55 SOALAN YANG LENGKAP DENGAN RANGKA ISI.

INSYA-ALLAH JIKALAU TIADA ARAL, MODUL INI AKAN SELAMAT DIHASILKAN PADA 20 FEB 2012. 

UNTUK TEMPAHAN, SILA HUBUNGI SAYA - 019 4789803
 

Friday, February 10, 2012

EDISI KE-2 - ULASAN SOALAN KERTAS 1 SPM 2011

SOALAN :
Perlakuan negatif seperti pergaulan bebas, merokok, dan melepak dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak.

Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.

Dimensi   :  Keluarga
Isu   :          Pelbagai penglibatan negatif anak-anak remaja
Tema/teras  :  Kebimbangan terhadap merebaknya perlakuan negatif remaja
Fokus isi :   Peranan keluarga dalam menangani gejala negatif remaja.


ULASAN : Soalan ini seperti biasa mengambil tempat dalam soalan kedua yang memberi fokus terhadap isi keluarga (dimensi keluarga). Secara relatifnya soalan ini menepati ramalan apabila membincangkan peranan keluarga/ibu bapa kepada anak-anak. (Catatan : Soalan 2010 membincangkan peranan anak-anak kepada ibu bapa.


Soalan ini dianggap soalan hadiah kepada para calon kerana isu yang dibawa adalah terlalu ringan sementara fokus isi jawapan pun hanya selapis sahaja.


Berikut ialah contoh pendahuluan dan isi-isi cadangan bagi soalan ini.  



Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan putih bersih, melainkan ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak sama ada menjadi Majusi atau Nasrani”. Petikan daripada maksud Hadith tersebut menerangkan betapa besarnya peranan ibu bapa dalam menentukan hala tuju anak-anak. Setiap pasangan ibu dan bapa sentiasa kepinginkan anak-anak yang baik dan bakal menerangi mereka dengan cahaya kehidupan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, fenomena mutakhir ini telah meletakkan ibu bapa dalam situasi resah dan gelisah apabila sikap anak-anak mula berubah kepada perlakuan-perlakuan yang negatif. Gejala seperti pergaulan bebas, merokok, ketagihan dadah, kemaruk hiburan, mat rempit, dan pelbagai ragam kemacetan remaja lagi sedang terpampang di hadapan mata kita. Pusat-pusat hiburan dan pusat beli-belah telah ‘ditakluki’ oleh golongan yang rosak akhlak terutama sekali pada waktu hujung minggu. Akibat perlakuan keji itu, sudah wujud sindrom kurang sihat dalam masyarakat apabila pelbagai pihak saling menuding jari antara satu sama lain.  Oleh yang demikian, penawar terbaik untuk menangani gejala ini terserah kepada kebijaksanaan institusi keluarga untuk menanganinya.
Isi-isi cadangan :
1.  Memperkasakan semula institusi keluarga yang semakin runtuh
2. Ibu bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan asas yang sewajarnya demi keselesaan anak-anak.
3.  Memperkasakan anak-anak dengan pengetahuan agama dan moral yang kuat/mantap
4.  Memberikan kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh anak-anak
5.  Mewujudkan interaksi yang sihat dan mesra dengan jiran tetangga.


KARANGAN LENGKAP DALAM KATEGORI MARKAH CEMERLANG BAGI SOALAN INI BOLEH ANDA DAPATI DI DALAM MODUL TERBARU SAYA MS 34. SILA DAPATKAN NASKAH ANDA BAGI SIRI 2012 YANG LEBIH PADAT DAN KONPREHENSIF. MODUL DIJANGKA DILANCARKAN PADA 17 FEBRUARI 2012.


KANDUNGAN MODUL 2012
1. Part A dan B yang diperbaharui (digunakan untuk peserta ceramah)
2. Sampel karangan berskala tinggi mengikut susunan dimensi - 9 sampel
3. Contoh-contoh jawapan markah A++ soalan SPM 2011, 2010 dan seleksi jawapan SPM 2001 - 2008.
4. Komponen panduan aplikasi penanda wacana (PW)
5....dan banyak lagi yang anda boleh manfaatkan.

UNTUK TEMPAHAN :

HUBUNGI SAYA

ISHAK BIN MD SHAH
019 4789803.