PERCUBAAN SPM SE-MALAYSIA 2018
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Atas segala limpah kurnia Allah, saya mengucapkan
syukur ke hadrat-Nya kerana masih mengurniai insan daif ini dengan sedikit
ruang masa, kesihatan, tenaga dan fikiran. Dengan rahmat tersebut, hamba
berjaya menyempurnakan rangka isi dan beberapa sampel karangan yang sempat
dikutip daripada soalan Peperiksaan Percubaan sekolah-sekolah Malaysia sesi
2018. Inisiatif ini adalah atas komitmen hamba dalam memenuhi hasrat
rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar di 86 buah alma mater yang sudi menjemput
hamba untuk berbicara tutur dalam siri jerayawara BM Kertas 1 sesi 2018. Terima
kasih rakan dan taulan.
Sementara itu, bahan yang seadanya ini hamba
dedikasikan kepada rakan-rakan murabbi yang cakna mendidik di seluruh negara
yang berada di dalam rangkaian grup GURU BMSPM dan grup-grup lain yang seumpama
dengannya. Mohon sampaikan oleh-oleh ini kepada semua anak-anak calon SPM 2018,
moga-moga boleh dijadikan rujukan terakhir sebelum mereka melangkah ke medan
‘tempur’ SPM 2018. Atas faktor ketiadaan pembaca kedua, kemungkinan berlaku
banyak kesilapan ejaan yang tidak disengajakan, hamba memohon kemaafan. Selain
itu, koleksi soalan pada sesi 2018 agak terhad atas kesukaran memperoleh soalan
yang terakrudari negeri-negeri selain kedaifan hamba sendiri dalam kudrat yang
terhad.
Sebagai lazim rangka dan contoh karangan ini
bukanlah terbit atas jaminan 100 peratus akan keluar dalam peperiksaan. Walau
bagaimanapun isu dan tema adalah betepatan dengan silibus dan cukup berguna
untuk anak-anak didik jadikan panduan.
Atas kesudian anda manfaatkan buah hasil daripada
cakna minda dan cendekia hamba, seyogia salam kasih sayang dan terima kasih
hamba hulurkan.
SELAMAT MAJU JAYA
KEDAH
1. Kini, alam pekerjaan memerlukan individu yang
memiliki pelbagai ilmu dan kemahiran.
Sebagai
seorang murid, huraikan persediaan anda untuk menempuh alam pekerjaan.
|
Samudera gelora
pawana berpintal
Cuaca redup
ditutup mega
Jikalau
kail panjang sejengkal
Lautan
dalam jangan diduga
Pantun yang tersebut di atas membawa amanat bahawa sesuatu yang
berisiko jangan sama sekali dicuba tanpa sebarang persediaan yang rapi. Banyak
padah yang boleh menimpa jikalau tersalah duga. Walau bagaimanapun, dalam dunia
yang mencabar seperti hari ini, kemampuan meneroka sesuatu yang baharu dan
lebih mencabar memungkinkan individu tertentu boleh mencapai kejayaan sehingga
di luar jangkaan. Sebagai individu yang inginkan cabaran, saya mengidami kecemerlangan
dalam kerjaya kelautan (anda boleh masukkan sebarang kerjaya
pilihan anda). Oleh yang demikian, saya faham untuk memenuhi
matlamat tersebut bukanlah boleh dicapai dengan mudah. Persis untuk mencapai
matlamat besar seperti itu, saya hendaklah memperlengkap diri dengan pelbagai
persediaan sama ada dalam aspek fizikal, mental, emosi, dan berani menempuh
segala cabaran .
Isi 1:
Memantapkan diri dengan persediaan yang paling asas – persediaan fizikal, mental, emosi, cita-cita dan motivasi (olahkan
setiap satu persediaan tersebut)
Isi 2:
Memprogramkan jadual harian yang amat teliti dan berdisiplin – agar semua perancangan dapat berjalan mengikut jadual – meletakkan
cita-cita sebagai perkara yang paling hadapan daripada aktiviti yang kurang
berfaedah
Isi 3:
Memantapkan psikologi dan emosi – agar
sentiasa bermotivasi tinggi – tidak mudah pudar semangat dengan cabaran-cabaran
yang ditempuhi – mengenal pasti seseorang yang boleh dijadikan idola dalam
bidang yang akan diceburi
Isi 4
Membuat kajian dan mencari maklumat yang tepat tentang bidang dan
kerjaya yang ingin diceburi – usaha melalui
pembacaan, berbincang dengan rakan-rakan, guru, internet dan memperoleh
maklumat daripada tokoh-tokoh yang pernah terbabit dalam kerjaya berkenaan
Isi 5
Berusaha dan bertawakal dengan tidak pernah melupakan ibadah kepada
Allah SWT – sebagai sandaran agar segala usaha dan
cita-cita dimakbulkan.
Kesimpulan :
Berpandukan maksud peribahasa hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa, saya
sudah pasti akan berusaha sehabis daya untuk merealisasikan impian saya menjadi
kenyataan. Saya amat yakin dengan cita-cita, usaha, dan amal takwa Allah tidak
akan menghampakan setiap niat yang baik daripada hamba-Nya. Oleh itu, saya
yakin setiap persediaan yang saya buat secara berterusan akan memberi natijah
yang besar kepada diri saya.
2. Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya
dalam kalangan remaja pada hari ini.
Jelaskan
peranan pelbagai pihak untuk memupuk
amalan membaca dalam kalangan remaja.
|
Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami
kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya
jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca iaalah suatu kewajipan yang
penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu
peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang
berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan
membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya
amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke
pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai
kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang
diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat membangunkan
insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca, nescaya seluruh adiwangsa memainkan peranan
aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam kalangan remaja.
Kelompok sasar
yang pertama untuk merancakkan budaya membaca ialah ibu bapa. Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga
menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap
yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang
baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan
melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan
anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan cara
membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda
yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom
‘mabuk’ gajet yang tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter
dan Instagram yang mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah
dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk
meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan
sendiri.
Institusi alma mater merupakan pusat kemenjadian
manusia yang telah terserlah fungsinya sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan
mula membina sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu, sekolah berperanan
penting untuk melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui kalam
membaca. Ejen terpenting yang berfungsi menggerakkan insan pelajar yang gemar
membaca ialah para guru. Guru seharusnya membudayakan alma mater dengan
menyuburkan minat membaca dalam kalangan murid-murid. Cetusan daya berfikir seperti
mencari maklumat dan meneroka gaya berfikir seperti orang-orang bijaksana
sewajarnya digalakkan sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Dalam
usaha mengaktifkan minat membaca, semua medium maklumat hendaklah dimanfaatkan.
Pihak sekolah haruslah boleh menganjak paradigma agar bijak memanfaatkan
peranti elektronik sebagai sumber baharu bahan bacaan. Dalam wacana ilmu moden
yang semakin bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama,
sebaliknya berani keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung.
Masyarakat massa termasuk rakan sebaya
hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca terus diperkasakan.
Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai pegaruh negatif begitu aktif
menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala membuang masa seperti
berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari
ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada masa hadapan. Oleh sebab itu,
masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan gejala pagan ini daripada terus
menular. Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui nasihat dan kaunseling
mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan segera.
Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali
kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan
berilmu. Carilah rakan sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha
melahirkan generasi cendekia. Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya
sepanjang kehidupan.
Agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi
masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya membaca
sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi berpengaruh ini mula
menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca,
justeru masyarakat massa dengan sendirinya akan membentuk jati diri
membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan Penerangan, Imigresen,
hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan bahan bacaan berkala
yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali menanti giliran
ketika berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi swasta terutama
gedung-gedung perniagaan utama berpada-padalah menyajikan pengunjung dengan
sumber-sumber hiburan yang bermula daripada awal pagi hingga lewat malam.
Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya mengumpan masyarakat untuk
menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor bergelumang
tahi.
Tuntasnya, insan yang membaca ibarat minda yang
sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang
berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui aksara dan
angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa
membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang mengembara ke seluruh
polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli masyarakat dengan
amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa membaca bangsa yang
berjaya.
4. 4. Prniagaan secara dalam talian merupakan satu
trend baharu dalam urus niaga tanpa sempadan.
Huraikan
kebaikan urus niaga secara dalam talian kepada masyarakat antarabangsa.
|
Pendahuluan: Nabi SAW
telah bersabda dalam mafhumnya, “Sembilan persepuluh daripada kekayaan
datangnya daripada perniagaan”. Iktibar daripada Hadis tersebut dengan jelas
menerangkan bahawa bidang perniagaan mampu mengangkat kuasa ekonomi seseorang
untuk hidup senang-lenang. Sejajar dengan kemajuan dalam bidang teknologi
maklumat, bidang urus niaga juga turut mengalami proses transformasi apabila
urus niaga sistem tradisional telah bertukar kepada transaksi secara dalam
talian. Hal yang tersebut telah mengimpakkan anjakan paradigma dunia perniagaan
menjadi lebih efektif, mudah dan berkesan.
Isi 1: Sistem urus niaga dalam talian
benar-benar mempercepat urusan – urusan berkaitan maklumat barangan dan
jenama, iklan, tempahan dan bayaran amat mudah dilaksanakan
Isi 2: Sistem urus niaga yang berkaitan
dengan tempahan dan bayaran cukup selamat dan mudah – urusan hanya boleh
dibuat di dalam talian dan terhindar daripada sebarang tindakan jenayah –
meminimumkan penggunaan tukaran tunai.
Isi 3: Sistem yang menjimatkan dalam
aspek pengurusan masa, tenaga dan kos – tempahan boleh dibuat dari dalam
bilik tidur sahaja walaupun premis perniagaan yang terletak beribu-ribu
kilometer jauhnya – tidak bersesak-sesak di jalan raya dan tidak perlu bersesak-sesak
dan beratur panjang di premis perniagaan.
Isi 4: Suatu sistem perniagaan yang
tidak memerlukan ruang dan tempat yang terlalu luas – boleh dilakukan di
premis tempat tinggal sahaja – secara relatifnya kos operasi dapat dikurangkan
manakala harga barang menjadi lebih murah
Isi 5: Suatu inovasi yang mendidik
manusia moden supaya lebih amanah, bertanggungjawab dan menyantuni etika
kehidupan – sistem ini amat
mementingkan tahap amanah dan sikap saling percaya – membentuk suatu jaringan saling
menyokong dan implikasi “menang menang” antara peniaga dan pengguna.
Kesimpulan: Sesungguhnya, inovasi bijak niaga dan mesra pelanggan ini sudah
pasti akan berkembang dengan pantas dan mula menguasai dunia perniagaan. Hal
yang demikian, jika dimanfaatkan dengan baik akan melahirkan sebuah generasi
umat dunia yang lebih cakna, peka dan bertanggungjawab. Amalan monopoli dan
menindas mahupun tindakan jenayah sudah pasti dapat dikurangkan sesuai dengan taraf kebijaksanaan
manusia moden.
5.
Slogan, ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’ merujuk kepada hubungan yang erat antara
jiran bagi mewujudkan negara yang aman, harmoni dan sejahtera.
Berikan
pendapat anda tentang cara-cara mengukuhkan semangat kejiranan di negara
kita.
|
NOTA: Sila rujuk
modul saya edisi 2018, muka surat 85, soalan latihan kendiri no. 3
IKUTI SETERUSNYA SOALAN NEGERI LAIN PULA. SELAMAT MENCUBA.
TERIMA KASIH TUAN HJ...BUDI TUAN HANYA ALLAH SAJA YANG DAPAT MEMBALASNYA...
ReplyDelete