Sunday, January 27, 2013

ULASAN SOALAN NO 3 SPM 2012

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

Saya memohon kemaafan atas kelewatan membuat ulasan soalan 3 di atas. Hal demikian tidak dapat saya elakkan kerana kesuntukan masa. Dalam cuti berkembar 3 hari yang lepas, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke bumi kelahiran di Kampung Bukit Temin, Pulau Langkawi. Sudah terlazim, apabila lama tidak menjenguk kampung halaman banyaklah urusan keluarga serta ziarah. Aduhai, indahnya bumi tempat saya dilahirkan. Masih segar dan masih mampu mengekalkan identiti lama. Kuterkenang peribahasa, Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat dilahirkan.

Kesempatan yang ada sedikit ini, saya ambil untuk mengulaskan soalan yang ketiga pula.

SOALAN :



Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
Marilah amalkan ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita semua
Yakinlah bahasa jiwa bangsa


Rangkap di atas merupakan sebahagian daripada lirik lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.


Huraikan kepentingan bahasa kebangsaan kepada negara kita.

Soalan ini apabila ditelitikan terkumpul dalam dimensi negara. Soalan dimensi negara hendaklah mengambil tema yang berkaitan dengan isu-isu negara seperti dasar-dasar negara, matlamat dan hala tuju negara atau sesuatu isu yang menjadi bahan percakapan utama dalam kalangan para pemimpin.

Isu soalan: Isu negara
Tema : Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama negara
Fokus Jawapan : Kepentingan atau faedah yang diperoleh negara apabila menggunakan bahasa kebangsaan.

KOMEN: Purata calon yang memilih soalan ini sebagai jawapan adalah terlalu kecil. Kurangnya jumlah calon yang menjawab adalah berpunca daripada asas pengetahuan yang agak terhad. Selain itu, isi jawapan hendaklah dalam bentuk fakta yang disokong dengan hujah-hujah yang ada kaitan dengan negara.

Soalan ini turut dimuatkan dalam modul saya edisi 2013. Walau bagaimanapun, saya dengan penuh ihsan menyiarkan keseluruhan jawapan soalan ini sebagai panduan para guru dan pelajar sekalian. Sila ikuti ;


Rakyat Malaysia pada hari ini semakin dikenali di persada global. Di mana-mana jua bagaikan permukaan bumi yang tidak pernah luput matahari pasti ada anak Malaysia yang mampu bersaing dengan warga global. Bermula dari penghujung kutub, di puncak benua, di tengah-tengah samudera sampailah ke alam cakerawala angkasa lepas pasti dijejaki oleh anak-anak Malaysia. Sesungguhnya, kita berbangga dengan pencapaian cemerlang seperti itu. Bagi melengkapkan agenda kecemerlangan yang telah dirintis oleh beberapa kerat ikon cemerlang itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah ke hadapan agar rakyat kita dapat bersaing dengan lebih tega lagi. Salah satu langkah strategik yang diambil ialah memperkasakan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Langkah tersebut dilaksanakan atas rasional bahawa bahasa kebangsaan mempunyai pelbagai kepentingan terhadap rakyat dan negara Malaysia.

Berdasarkan mafhum daripada sepotong ayat al Quran yang bermaksud, “Aku jadikan manusia dengan bersuku-suku dan berbangsa agar mereka saling berkenal-kenalan dan mereka dapat membesarkan kekuasaanku”. Huraian daripada ayat di atas menjelaskan bahawa Tuhan dengan segala kemurahan-Nya telah memberikan pelbagai hak kepada manusia di dunia ini sama ada dalam aspek negara, bangsa, kesukuan, budaya, kepercayaan agama dan yang lebih menarik ialah bahasa. Oleh itu, kecerlangan bahasa Melayu adalah sebagai wahana yang memperkasakan identiti bangsa Malaysia di bawah payung panji-panji negara. Sepatutnya semua rakyat Malaysia patut berbangga kerana dengan adanya bahasa ini mereka dapat berkomunikasi sehingga dapat merentas sempadan kaum dan etnik. Alangkah hebatnya bahasa kebangsaan kita apabila terkenal di seantero polosok alam sebagai bahasa dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Biarlah sampai bila-bila masa pun, dunia akan mengenali Malaysia dengan identiti bahasa kebangsaannya sendiri

Semua pihak telah maklum bahawa Malaysia ditakdirkan menjadi sebuah negara yang bersifat multikaum. Kepelbagaian etnik telah meletakkan suatu situasi halangan komunikasi yang amat dalam jurangnya. Akasnya, tidak berlaku kepada Malaysia apabila bahasa kebangsaan berjaya menjadi jurubicara dalam interaksi perpaduan. Kita amat pasti di mana-mana jua ceruk rantau Malaysia tiada sesiapapun yang tidak memahami bahasa Melayu. Benarlah seperti ungkapan lirik dalam bait yang ketiga, “Bahasalah menyatukan kita semu”. Kini dalam satu suara dan senada bahasa kebangsaan menjadi alat yang paling ampuh untuk menyatukan 29.23 juta rakyat Malaysia. Menjelang abad milenium kini, peranan bahasa kebangsaan bukan lagi terhad sebagai alat perpaduan tetapi menjangkau sebagai medium komunikasi sama ada dalam dunia perniagaan, penyiaran dan industri media.

Sementara itu, dalam dunia pendidikan, bahasa kebangsaan terus diberikan kepercayaan sebagai bahasa pengantar utama. Mandat ini telah dimaktubkan sejak tahun 1956 lagi apabila Laporan Razak telah menyatakan bahawa, bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah. Pada hari ini jutaan anak Malaysia yang telah terdidik dalam sistem pendidikan kebangsaan berjaya menjadi bijak pandai dengan perantaraan bahasa kebangsaan. Walaupun dalam tempoh 55 tahun sahaja kita mendaulatkan bahasa sendiri sebagai medium pendidikan, namun hasilnya cukup menakjubkan. Pada hal selama 446 tahun kita dibelenggu oleh bahasa penjajah, kita tidak berjaya untuk ke mana-mana. Dengan kata lain, daulat bahasa kebangsaan tetap tidak tergugat walaupun dalam beberapa waktu belakangan terdapat usaha untuk mengembalikan bahasa Inggeris di persada pendidikan. Namun begitu,  usaha tersebut tetap gagal kerana dibayangi oleh aura bahasa kebangsaan.

Sebagai bahasa yang memiliki sistem yang teratur, bahasa kebangsaan turut berperanan sebagai bahasa ilmiah dan bahasa yang mampu menuturi dunia sains dan teknologi. Walaupun sering kedengaran suara-suara sumbang yang memperlekeh bahasa Melayu, sebaliknya pada hari ini suara tersebut telah hilang. Bahasa Melayu yang dituturkan oleh 500 juta manusia, mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa hebat seperti bahasa Inggeris dan Perancis. Buktinya, pada hari ini jutaan intelek yang fasih lidahnya dengan bahasa Melayu sedang menguasai institusi pengajian tinggi. Demikian pula dalam dunia penulisan jutaan jilid buku ilmiah sedang dijadikan rujukan oleh para pelajar di seantero alam. Lahirnya pakar-pakar seperti Profesor Ungku Aziz, Profesor Dr Hamka, Profesor Syed Naquib dan ramai lagi ilmuwan tersohor semua bermula dengan bahasa kebangsaan.

 Sebagai sebuah negara yang berdaulat, semua urusan rasmi kerajaan hendaklah beridentitikan kebangsaan.  Justeru, bahasa kebangsaanlah yang menjadi medium rasmi urusan kerajaan. Bahasa kebangsaan tetap mampu menjadi bahasa di mahkamah, bahasa yang menjadi wacana pembuat dasar di Parlimen, malahan menjadi bahasa mesra antara pemimpin dengan rakyat. Institusi penyiaran yang menjadi penghubung rasmi antara kerajaan dengan rakyat telah sekian lama menjadikan bahasa kebangsaan sebagai alat penyampai dasar-dasar negara. Kini jelas sekali bahasa kebangsaan telah mampu mengangkat imej negara sebagai sebuah negara yang tersohor di rantau ini. Malahan dalam masa yang sama bahasa Melayu turut berkembang seiring dengan anjakan global persis tak lekang dek panas dan lapuk dek hujan.

Kenali batang lihatlah daunnya, justeru kenali bangsa, lihatlah bahasanya ialah peribahasa yang menerangkan betapa setiap bangsa itu sentiasa dikenali berdasarkan imej bahasa dan budaya mereka. Sejajar dengannya, bahasa kebangsaan merupakan pancaran imej kepada bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Tanpa memilih bangsa secara asal-usulnya, kepercayaan dan tradisi amalannya rakyat Malaysia masih boleh hidup dalam situasi aman dan harmoni dengan perantaraan bahasa kebangsaan. Seandainya rakyat Malaysia mampu menguasai pelbagai bahasa khususnya bahasa Inggeris, tetapi mereka tidak pernah mengetepikan nilai-nilai patriotik sebagai bangsa Malaysia. Oleh itu, di bumi yang kita bertapak ini,  maka pertahankanlah kedaulatan bahasa kebangsaan kita kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
   

CATATAN: Siri akan datang ulasan dan sampel soalan 4. Jangan terlepas peluang.

Sila dapatkan modul saya edisi 2013 yang akan siap dicetak pada khamis 31 Januari 2013. Modul ini akan membantu anda seratus peratus dalam usaha mahir mengarang. Sila hubungi saya segera dengan menelefon/mesej 019 4789803.
 

No comments:

Post a Comment