Friday, January 18, 2013

ULASAN SOALAN KERTAS 1 BM/SPM 2012

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

Alhamdulillah, saya ambil peluang ini sebagai menunaikan janji untuk membuat ulasan tentang soalan bahagian B Karangan Umum.

Soalan : Setiap tahun sekolah anda menganjurkan pelbagai program motivasi dan anda sering terlibat dalam program-program tersebut.

Berikan pendapat anda tentang faedah-faedah menyertai program motivasi.

 ULASAN :

Dimensi : Diri
Tema : Program motivasi
Fokus jawapan : Faedah-faedah yang diperoleh apabila menyertai program motivasi

Soalan ini hendaklah dijawab oleh calon tentang faedah yang mereka peroleh dalam sebarang program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Jawapan yang terbaik apabila calon dapat mengaitkan feadah-faedah dengan dirinya sendiri. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberikan sedikit kepada calon yang merujuk jawapan kepada dirinya dan rakan-rakan dengan menyebut kata ganti diri 'KITA'. 

Semua isi jawapan hendaklah berkaitan dengan aktiviti motivasi di sekolah. Sekiranya calon menjawab motivasi secara umum atau program motivasi oleh pihak sekolah, justeru markah pengolahan diturunkan.

KOMEN PEMERIKSA :

- Soalan ini adalah sangat mudah kepada calon memandangkan isunya sudah terlalu lazim kepada mereka.
- Sungguhpun demikian, sebahagian besar skrip yang disemak mendedahkan calon masih lagi kabur tentang cara menjawab soalan dimensi diri.
- Rata-rata calon  gagal mengambil manfaat daripada soalan ini apabila tidak memahami konsep DIMENSI DIRI

Sebagai ihsan, saya lampirkan sebahgian daripada contoh jawapan soalan ini yang telah saya susun semula. JAWAPAN PENUH SOALAN INI BOLEH ANDA DAPATI DI DALAM MODUL SAYA.


Seandainya dalam tiga dekad yang lalu, kata ‘semangat’ sering dirujuk sebagai tenaga dalaman untuk memperoleh sesuatu kejayaan. Namun sejajar dengan perubahan waktu, kata ‘motivasi’ pula telah mengambil tempat. Motivasi dirujuk daripada Kamus Dewan adalah menerangkan maksud kuasa batiniah yang menggerakkan keinginan kuat untuk insan memperoleh kejayaan. Oleh itu, motivasi boleh dinukilkan sebagai kekuatan enjin dalaman yang membolehkan seseorang itu menggerakkan rohani dan jasmaninya demi menganjak paradigma kepada yang lebih baik. Pada hari ini motivasi bukanlah asing lagi kepada semua peringkat usia, malah maudhuknya sudah terlalu sinonim dengan masyarakat pelajar. Kini, dalam mengharungi arus yang semakin mencabar, terdapat para pelajar yang mudah luntur semangat dan akhirnya terbentur di pertengahan jalan. Oleh itu, dalam menangani fenomena ini, pelbagai program motivasi seperti Kem Jati Diri, Jati Diri Insan Soleh, Muhasabah Remaja Terbilang dan pelbagai program yang seumpama dengannya sering dianjurkan oleh unit kaunseling di sekolah-sekolah. Sebagai menyahut perubahan arus perdana untuk menjenamakan insan cemerlang, sekolah saya turut tidak ketinggalan menganjurkan pelbagai program motivasi. Sebagai pelajar yang tidak pernah terlepas menyertainya, saya ingin berkongsi betapa besarya faedah yang diperoleh apabila kita mengambil bahagian dalam program seperti ini.

Selepas mengikuti beberapa siri program, secara jujur saya mengakui, betapa ceteknya pengetahuan dan pengalaman saya dalam mengharungi kehidupan dalam dunia yang mencabar. Alangkah luasnya saujana ilmu yang belum saya ketahui. Kini saya berasa diri benar-benar kerdil ibarat sebutir sampah yang hanyut di tengah-tengah samudera. Dalam Kem Muhasabah Remaja Terbilang sebagai contoh, tokoh-tokoh motivasi telah menghidangi saya dan rakan-rakan tentang persediaan diri dengan pelbagai bidang ilmu pengetahuan jikalau mahu berjaya. Ilmu yang berkaitan dengan keagamaan, keduniaan, kemasyarakatan, dan pengalaman hendaklah dicari dan terminologinya hendaklah dalam usia remaja. Kini barulah saya insaf akan kebenaran kata-kata Pendeta Za’ba tentang  ilmu dalam sepotong syairnya yang berbunyi;

Ilmu alat sangat berguna
Idaman orang yang bijaksana
Hamparannya luas amat saujana
Tepiannya ajal sempadannya fana

Dengan kata lain, anak muda ialah aset besar yang menjadi tulang belakang kejayaan sesebuah negara. Hal demikian memerlukan anak-anak muda era kini mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan rohani untuk membina sahsiah yang cemerlang. Sebenarnya, program motivasi merupakan anak kunci untuk melahirkan insan yang bervisi dan memiliki pekerti modal insan yang tulus-mulus dalam aspek sahsiah dan akal  budi. Sepatah kata nasihat  daripada Imam al Ghazali, “Jikalau kamu mahu tentukan corak negara pada masa depan, lihatlah kepada remajamu pada hari ini”. Dalam program motivasi Jati Diri Insan Soleh, saya amat tersentuh hati nurani, apabila diberitahu Usamah Bin Zaid dan Saiyidina Ali Bin Abi Tholib merupakan dua orang anak muda yang menyumbangkan jasa besar terhadap kebangkitan Islam pada era awal. Sedarlah saya, betapa dayusnya anak-anak muda era kini yang hanya menjadi hero rempit, dadah dan pergaulan bebas. Sesungguhnya, amatlah realistik sekolah saya menganjurkan program motivasi ini yang telah memberikan impak kesedaran yang cukup besar kepada saya dan rakan-rakan.


 INILAH WAJAH SEBENAR MODUL SAYA BAGI EDISI 2013. PAPARAN DALAM SIRI YANG LEPAS ADALAH SALAH.



No comments:

Post a Comment