Assalamualaikum/Salam sejahtera,
Saya memohon kemaafan atas kelewatan membuat ulasan soalan 3 di atas. Hal demikian tidak dapat saya elakkan kerana kesuntukan masa. Dalam cuti berkembar 3 hari yang lepas, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke bumi kelahiran di Kampung Bukit Temin, Pulau Langkawi. Sudah terlazim, apabila lama tidak menjenguk kampung halaman banyaklah urusan keluarga serta ziarah. Aduhai, indahnya bumi tempat saya dilahirkan. Masih segar dan masih mampu mengekalkan identiti lama. Kuterkenang peribahasa, Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat dilahirkan.
Kesempatan yang ada sedikit ini, saya ambil untuk mengulaskan soalan yang ketiga pula.
SOALAN :
Gunakanlah bahasa
kebangsaan kita
Marilah amalkan
ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita
semua
Yakinlah bahasa jiwa
bangsa
Rangkap di atas merupakan sebahagian daripada lirik
lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.
Huraikan kepentingan bahasa kebangsaan kepada negara
kita.
Soalan ini apabila ditelitikan terkumpul dalam dimensi negara. Soalan dimensi negara hendaklah mengambil tema yang berkaitan dengan isu-isu negara seperti dasar-dasar negara, matlamat dan hala tuju negara atau sesuatu isu yang menjadi bahan percakapan utama dalam kalangan para pemimpin.
Isu soalan: Isu negara
Tema : Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama negara
Fokus Jawapan : Kepentingan atau faedah yang diperoleh negara apabila menggunakan bahasa kebangsaan.
KOMEN: Purata calon yang memilih soalan ini sebagai jawapan adalah terlalu kecil. Kurangnya jumlah calon yang menjawab adalah berpunca daripada asas pengetahuan yang agak terhad. Selain itu, isi jawapan hendaklah dalam bentuk fakta yang disokong dengan hujah-hujah yang ada kaitan dengan negara.
Soalan ini turut dimuatkan dalam modul saya edisi 2013. Walau bagaimanapun, saya dengan penuh ihsan menyiarkan keseluruhan jawapan soalan ini sebagai panduan para guru dan pelajar sekalian. Sila ikuti ;
Rakyat
Malaysia pada hari ini semakin dikenali di persada global. Di mana-mana jua
bagaikan permukaan bumi yang tidak pernah luput matahari pasti ada anak
Malaysia yang mampu bersaing dengan warga global. Bermula dari penghujung
kutub, di puncak benua, di tengah-tengah samudera sampailah ke alam cakerawala
angkasa lepas pasti dijejaki oleh anak-anak Malaysia. Sesungguhnya, kita
berbangga dengan pencapaian cemerlang seperti itu. Bagi melengkapkan agenda
kecemerlangan yang telah dirintis oleh beberapa kerat ikon cemerlang itu,
kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah ke hadapan agar rakyat kita dapat
bersaing dengan lebih tega lagi. Salah satu langkah strategik yang diambil
ialah memperkasakan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Langkah
tersebut dilaksanakan atas rasional bahawa bahasa kebangsaan mempunyai pelbagai
kepentingan terhadap rakyat dan negara Malaysia.
Berdasarkan
mafhum daripada sepotong ayat al Quran yang bermaksud, “Aku jadikan manusia
dengan bersuku-suku dan berbangsa agar mereka saling berkenal-kenalan dan
mereka dapat membesarkan kekuasaanku”. Huraian daripada ayat di atas
menjelaskan bahawa Tuhan dengan segala kemurahan-Nya telah memberikan pelbagai hak
kepada manusia di dunia ini sama ada dalam aspek negara, bangsa, kesukuan,
budaya, kepercayaan agama dan yang lebih menarik ialah bahasa. Oleh itu,
kecerlangan bahasa Melayu adalah sebagai wahana yang memperkasakan identiti
bangsa Malaysia di bawah payung panji-panji negara. Sepatutnya semua rakyat
Malaysia patut berbangga kerana dengan adanya bahasa ini mereka dapat berkomunikasi
sehingga dapat merentas sempadan kaum dan etnik. Alangkah hebatnya bahasa
kebangsaan kita apabila terkenal di seantero polosok alam sebagai bahasa dalam
sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Biarlah sampai bila-bila masa pun,
dunia akan mengenali Malaysia dengan identiti bahasa kebangsaannya sendiri
Semua
pihak telah maklum bahawa Malaysia ditakdirkan menjadi sebuah negara yang
bersifat multikaum. Kepelbagaian etnik telah meletakkan suatu situasi halangan
komunikasi yang amat dalam jurangnya. Akasnya, tidak berlaku kepada Malaysia
apabila bahasa kebangsaan berjaya menjadi jurubicara dalam interaksi perpaduan.
Kita amat pasti di mana-mana jua ceruk rantau Malaysia tiada sesiapapun yang
tidak memahami bahasa Melayu. Benarlah seperti ungkapan lirik dalam bait yang
ketiga, “Bahasalah
menyatukan kita semu”. Kini dalam satu suara dan
senada bahasa kebangsaan menjadi alat yang paling ampuh untuk menyatukan 29.23
juta rakyat Malaysia. Menjelang abad milenium kini, peranan bahasa kebangsaan
bukan lagi terhad sebagai alat perpaduan tetapi menjangkau sebagai medium
komunikasi sama ada dalam dunia perniagaan, penyiaran dan industri media.
Sementara
itu, dalam dunia pendidikan, bahasa kebangsaan terus diberikan kepercayaan
sebagai bahasa pengantar utama. Mandat ini telah dimaktubkan sejak tahun 1956
lagi apabila Laporan Razak telah menyatakan bahawa, bahasa kebangsaan hendaklah
dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah. Pada hari ini jutaan anak
Malaysia yang telah terdidik dalam sistem pendidikan kebangsaan berjaya menjadi
bijak pandai dengan perantaraan bahasa kebangsaan. Walaupun dalam tempoh 55
tahun sahaja kita mendaulatkan bahasa sendiri sebagai medium pendidikan, namun
hasilnya cukup menakjubkan. Pada hal selama 446 tahun kita dibelenggu oleh
bahasa penjajah, kita tidak berjaya untuk ke mana-mana. Dengan kata lain,
daulat bahasa kebangsaan tetap tidak tergugat walaupun dalam beberapa waktu
belakangan terdapat usaha untuk mengembalikan bahasa Inggeris di persada
pendidikan. Namun begitu, usaha tersebut
tetap gagal kerana dibayangi oleh aura bahasa kebangsaan.
Sebagai
bahasa yang memiliki sistem yang teratur, bahasa kebangsaan turut berperanan
sebagai bahasa ilmiah dan bahasa yang mampu menuturi dunia sains dan teknologi.
Walaupun sering kedengaran suara-suara sumbang yang memperlekeh bahasa Melayu,
sebaliknya pada hari ini suara tersebut telah hilang. Bahasa Melayu yang
dituturkan oleh 500 juta manusia, mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan bahasa-bahasa hebat seperti bahasa Inggeris dan Perancis.
Buktinya, pada hari ini jutaan intelek yang fasih lidahnya dengan bahasa Melayu
sedang menguasai institusi pengajian tinggi. Demikian pula dalam dunia
penulisan jutaan jilid buku ilmiah sedang dijadikan rujukan oleh para pelajar
di seantero alam. Lahirnya pakar-pakar seperti Profesor Ungku Aziz, Profesor Dr
Hamka, Profesor Syed Naquib dan ramai lagi ilmuwan tersohor semua bermula
dengan bahasa kebangsaan.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat, semua
urusan rasmi kerajaan hendaklah beridentitikan kebangsaan. Justeru, bahasa kebangsaanlah yang menjadi
medium rasmi urusan kerajaan. Bahasa kebangsaan tetap mampu menjadi bahasa di
mahkamah, bahasa yang menjadi wacana pembuat dasar di Parlimen, malahan menjadi
bahasa mesra antara pemimpin dengan rakyat. Institusi penyiaran yang menjadi
penghubung rasmi antara kerajaan dengan rakyat telah sekian lama menjadikan
bahasa kebangsaan sebagai alat penyampai dasar-dasar negara. Kini jelas sekali
bahasa kebangsaan telah mampu mengangkat imej negara sebagai sebuah negara yang
tersohor di rantau ini. Malahan dalam masa yang sama bahasa Melayu turut
berkembang seiring dengan anjakan global persis tak lekang dek panas dan lapuk
dek hujan.
Kenali
batang lihatlah daunnya, justeru kenali bangsa, lihatlah bahasanya ialah
peribahasa yang menerangkan betapa setiap bangsa itu sentiasa dikenali
berdasarkan imej bahasa dan budaya mereka. Sejajar dengannya, bahasa kebangsaan
merupakan pancaran imej kepada bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Tanpa
memilih bangsa secara asal-usulnya, kepercayaan dan tradisi amalannya rakyat
Malaysia masih boleh hidup dalam situasi aman dan harmoni dengan perantaraan
bahasa kebangsaan. Seandainya rakyat Malaysia mampu menguasai pelbagai bahasa
khususnya bahasa Inggeris, tetapi mereka tidak pernah mengetepikan nilai-nilai
patriotik sebagai bangsa Malaysia. Oleh itu, di bumi yang kita bertapak ini, maka pertahankanlah kedaulatan bahasa
kebangsaan kita kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
CATATAN: Siri akan datang ulasan dan sampel soalan 4. Jangan terlepas peluang.
Sila dapatkan modul saya edisi 2013 yang akan siap dicetak pada khamis 31 Januari 2013. Modul ini akan membantu anda seratus peratus dalam usaha mahir mengarang. Sila hubungi saya segera dengan menelefon/mesej 019 4789803.