Assalamualaikum/Salam sejahtera,
Kita buka mukadimah bicara pada kali ini dengan dua rangkap pantun. Hayatikan kandungannya,
Adat lama mengirim surat
Dari jawa sampai ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli
Adat muda menanggung rindu
Adat tua menganggung ragam
Hidup di dunia saling membantu
Budi bahasa pengukuh resam
Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk bersua lagi dalam siri kali ini. Pada kesempatan ini saya akan membuat pengkhususan tentang penganalisisan item-item utama ketika anda menulis pendahuluan karangan. Seperti yang sedia maklum, ada 3 item penting yang perlu ditulis semasa menyediakan pendahuluan. Item-item itu adalah seperti yang berikut ini:
Olahan isu : Olahan isu ialah teknik yang kita pilih untuk mendekatkan pembaca dengan isu yang menjadi asas soalan tersebut dibina. Pelbagai teknik yang boleh diaplikasikan.
Ayat tema : Ayat tema ialah pernyataan penting tentang soalan atau dengan perkataan lain ayat khusus yang menjadi teras kepada soalan.
Ayat fokus : Ayat fokus ialah ayat akhir dalam pendahuluan yang bertindak menjadi penyantun kepada keseluruhan ayat pendahuluan karangan tersebut. Sila rujuk contoh yang saya bekalkan:
Olahan Isu : Memetik kata-kata pujangga, "Sekalipun bulan dan matahari yang terang cerlang cahayapun akan gelap apabila tiba waktunya, namun suluhan dan sinar ilmu para guru kepada anak didiknya akan terus bercahaya dan terang-benderang, abadi dan selama-lamanya". Demikianlah sebuah nukilan akan nilai diri seseorang guru atas dedikasinya mendidik dan menaburi anak-anak didik dengan ilmu. Tutur bahasa daripada liur basah mereka terus menjadi permata berharga yang pasti menyuluhi anak-anak murid dengan jaminan masa depan yang cerah.
Nota : Olahan isu dalam sampel pendahuluan ini menggunakan aplikasi petikan iaitu suatu teknik yang agak baru. Teknik ini cuba memadankan sebarang bentuk 'quotation' yang ada hubung kait dengan isu dan tema soalan.
Ayat tema : Sesungguhnya, jasa dan dedikasi para pendidik tidak terhitung walau ditukarkan dengan permata nilam sekalipun.
Ayat Fokus : Oleh itu, sebagai insan yang telah berjaya hasil jerih payah para guru yang mendidik saya, inilah lampiran dedikasi saya untuk mereka sama ada mereka masih hidup mahupun telah pergi mendahului saya.
Mod Soalan : Mod soalan wajar dikenal pasti juga agar calon boleh memilih laras dan lenggok bahasa yang menepati soalan. Pelajar boleh merasai sendiri melalui intuisi mereka tentang mod seperti sentimental, harmoni, sinis, patriotik dan sebagainya.
Oleh hal yang demikian, pelajar haruslah bijak menggunakan pendekatan yang menarik dengan memilih teknik pendahuluan yang boleh memikat pembaca dan yang lebih penting lagi, pendahuluan tersebut benar-benar menjadi jurubicara awal kepada isi-isi dan hujah yang bakal ditampilkan.
YANG BERMINAT UNTUK MENDAPATKAN MODUL LATIHAN MENGARANG SILA HUBUNGAI SAYA DENGAN MENELEFON 019 4789803
KITA BERJUMPA DALAM SIRI YANG BERIKUT. SELAMAT BELAJAR.
No comments:
Post a Comment