Tuesday, March 27, 2012

TEKNIK MENGGAYAKAN PENDAHULUAN

Assalamualaikum/salam sejahtera,

Saya mulakan kalimah mukadimah ini dengan meminjamkan kata-kata Pak Hamka dalam syair ringkasnya seperti yang berikut ini:

Pahlawan budi tak pernah temenggur
Khidmat hidup sambung-bersambung
Kadang turun kadang membubung
Sampai istirahat di liang kubur

Jikalau dasar budimu culas
Tidaklah berubah kerana pangkat
Bertambah tinggi jenjang ditingkat
Perangai asal bertambah jelas

Untuk anak-anak didik perhatikan, telitikan, hayatikan dan ambil iktibar daripada maksud syair di atas.

Dalam pertemuan kali ini, saya ingin membincangkan secara ringkas tentang teknik mudah tetapi menarik untuk menggayakan pendahuluan karangan anda.

KONSEP PENDAHULUAN
Pendahuluan merupakan pintu masuk kepada karangan keseluruhannya. Pendahuluan mampu menjadi jurubicara awal sebelum pemeriksa dapat meneroka buah fikir calon berkenaan. Kekuatan dan ketepatan dalam pendahuluan boleh memberikan gambaran awal akan prestasi karangan calon secara keseluruhan.

Mari kita rujuk pendahuluan berpandukan soalan di bawah :

Anda amat mengagumi akan dedikasi guru-guru yang telah mendidik anda sehingga anda berjaya.

Tulis dedikasi anda itu untuk dipersembahkan kepada guru-guru.

  1. Dimensi  : Diri
  1. Isu          :  Pendidikan/pelajaran     
  1. Tema       :  Perihal mengenangkan jasa dan dedikasi para guru
     iv. Fokus Isi :  Langkah-langkah atau cara-cara untuk melahirkan penghargaan dan terima kasih   kepada guru yang sangat berdedikasi.

     v.  Mod soalan : Mod merujuk kepada pengaruh emosi dalam soalan. Pemahaman terhadap mod membolehkan calon menghayati soalan dan dapat menentukan ketepatan laras bahasa.

Pemilihan teknik pendahuluan hendaklah berdasarkan kepada jenis soalan, isu, tema, fokus dan mod. Banyak mempengaruhi rentak dan gaya bahasa. Pastikan mod soalan tersebut sama ada dalam bentuk sentimental, sinis, harmoni, romantik, atau patriotik. 

Dengan berdasarkan soalan di atas, mod yang sesuai digunakan tentulah mod sentimental dan harmoni. Oleh itu, gaya memulakan pendahuluan juga hendaklah.

Sampel pendahuluan : Memetik kata-kata pujangga, "Sekalipun bulan dan matahari yang terang cerlang cahayapun akan gelap apabila tiba waktunya, namun suluhan dan sinar ilmu para guru kepada anak didiknya akan terus bercahaya dan terang-benderang, abadi dan selama-lamanya". Demikianlah sebuah nukilan akan nilai diri seseorang guru atas dedikasinya mendidik dan menaburi anak-anak didik dengan ilmu. Tutur bahasa daripada liur basah mereka terus menjadi permata berharga yang pasti menyuluhi anak-anak murid dengan jaminan masa depan yang cerah. Sesungguhnya, jasa dan dedikasi para pendidik tidak terhitung walau ditukarkan dengan  permata nilam sekalipun. Oleh itu, sebagai insan yang telah berjaya hasil jerih payah para guru yang mendidik saya, inilah lampiran dedikasi saya untuk mereka sama ada mereka masih hidup mahupun telah pergi mendahului saya.

INSYA-ALLAH DALAM SIRI AKAN DATANG SAYA BICARAKAN PULA ANALISIS KOMPONEN DALAM SAMPEL PENDAHULUAN INI. JANGAN TERLEPAS PELUANG IKUTI TUISYEN PERCUMA INI.

No comments:

Post a Comment