Monday, April 9, 2012

PELBAGAI TEKNIK OLAHAN ISU DALAM PENDAHULUAN KARANGAN

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

     Atas segala kerendahan hati saya memohon maaf kepada peminat-peminat blog saya kerana kita telah terputus 'mualat' untuk beberapa hari. Bukan saya sengajakan, sebaliknya sibuk kerana  memenuhi undangan ceramah di sekitar KL dan Pahang telah menghalangi saya untuk berinteraksi dengan anda dalam halaman maya ini.
     Sebagai memujuk hati, terimalah cebisan kata-kata puitis ini yang telah saya adaptasikan daripada sebuah puisi lama;

Kasih saudara sama berada
   Kasih bapa menambah harta
Kasih ibu sama rata
   Kasih sahabat sama binasa

Wahai anakku belahan jiwaku
   Bisikan sukma seorang ibu
Mendengar jeritan suara lahirmu
   Hilang derita bahagia terharu

 Duhai anak cahaya mataku
   Buah hati pelunak jiwa
Betapa nian kasih ibumu
   Hanya allah yang maha tahu

Oh anak juitaku sayang
  Kasih ibu tiada bandingan
Sayang ayah bertindih bayang
   Setinggi langit seluas lautan

Ketahuilah anak dewi tercinta
   Harapan tinggi ayah dan bonda
Hidupmu biar memberi guna
  Nikmat Allah sejahtera bahagia  


Para pelajar sekalian,
    Dalam siri kali ini saya cuba memuaturunkan beberapa sampel pendahuluan yang diaplikasikan daripada beberapa teknik pendahuluan. Sila ikuti;

SAMPEL 1 - TEKNIK RUJUKAN/PENDAPAT TOKOH


Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk merealisasikan cabaran tersebut.

Pendahuluan : Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran agar kita insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah  untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta. Sesungguhnya, di atas batu jemala kitalah terletak tanggungjawab besar sejajar dengan slogan, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.


SAMPEL 2 - TEKNIK GAMBARAN DAN PERIHALAN

Tahap kebersihan di negara ini amatlah menyedihkan.

Sebagai remaja yang cinta akan kebersihan, bincangkan sumbangan yang boleh anda beri untuk mengembalikan kualiti kebersihan.

Pendahuluan :  Apabila berbicara tentang Malaysia, minda dan hujah pasti berfokus kepada sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang cukup kaya dengan hasil mahsulnya, negara yang amat cantik landskapnya, dan tidak ketinggalan sebagai negara yang damai dan harmoni. Sesungguhnya, semua kenyataan tersebut adalah benar dan tepat sekali. Betapa tidak, Malaysia sedang menjadi perhatian masyarakat dunia tentang keunikannya dalam serba serbi perkara. Namun begitu, dalam sedar atau tidak, sebagai sebuah negara membangun yang aktif, Malaysia sedang dibebani dengan krisis sampah sarap dan alam sekitar yang tercemar teruk. Berdasarkan statistik, setiap daripada rakyat Malaysia menyumbangkan tiga kilogram sampah sehari. Dengan hal yang demikian, semua pihak patut sedar tentang situasi tersebut dan mengambil pelbagai langkah proaktif menjaga kebersihan. Oleh itu, secara jujur, saya juga berasa terpanggil untuk turut serta menangani gejala yang semakin meruncing ini.


SAMPEL 3 - TEKNIK RUJUKAN FAKTA SEMASA.

Kejadian remaja lari dari rumah adalah berpunca daripada remaja itu sendiri.

Bincangkan.

Pendahuluan :  Remaja pada peringkat usia panasnya amat mudah sensitif dan tingkah laku mereka juga kadang-kadang terlalu agresif. Sikap baran dan pendek akal telah menatijahkan pelbagai tindakan di luar dugaan seperti melawan cakap, bergaduh, perlakuan jenayah dan yang lebih parah lagi mengambil tindakan lari dari rumah. Sejak tahun 2003 telah dilaporkan 16 020 orang remaja bawah umur 17 tahun lari dari rumah. Angka tersebut adalah amat menakutkan kerana pada usia remaja pelbagai kesan negatif akan menimpa remaja apabila mereka terpisah daripada induknya. Dengan sebenar-benarnya, isu remaja lari dari rumah adalah bepunca daripada diri remaja itu sendiri serta disokong oleh faktor-faktor yang ada hubung kait dengan kehidupan mereka.

NOTA : Terdapat pelbagai teknik yang menarik yang boleh anda aplikasikan. Apa-apapun perkara yang terpenting, pendahuluan tersebut hendaklah akur dengan isi karangan yang bakal dikemukakan dan selaras gaya bahasa dan pengolahan.

SELAMAT MENCUBA



No comments:

Post a Comment