Saturday, February 11, 2012

ULASAN SOALAN 3, SPM 2011

Assalamualaikum,
    Sekarang kita beralih pula kepada soalan nombor 3.


Soalan : Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah ‘Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara’.

Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya

Telitikan dahulu analisis komponen soalan;

Dimensi : Masyarakat dan negara
Isu :  Perpaduan
Tema : Perpaduan sebagai syarat untuk kemajuan da kemakmuran negara
Fokus isi jawapan : Faktor-faktor dan langkah-langkah untuk menjadikan perpaduan sebagai prakarsa untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran negara.

Ulasan : Soalan ini agak berat kepada kebanyakan pelajar. Hal tersebut kerana, soalan ini membincangkan isu penting dalam masyarakat, manakala jawapannya pula perlu disampaikan dalam format syarahan. Standard kualiti bahasa dalam syarahan adalah terlalu tinggi. Pelbagai ragam bahasa dalam gaya dan laras istimewa perlu ditampilkan
Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang mampu, soalan ini merupakan bonus untuk memperoleh markah yang tinggi. Selain itu, pelajar juga perlu memiliki pengetahuan luar yang banyak. Antara sumber pengetahuan ialah sejarah, ekonomi, dan kemasyarakatan. Sebagai panduan asas, saya lampirkan sebahagian daripada contoh karangan lengkap yang dipetik daripada modul saya edisi 2012. Sila baca dengan teliti


Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Yang saya hormati saudara Pengacara Majlis. Terima kasih kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk berhujah. Yang Arif lagi adil jemaah hakim yang bertauliah. Yang dihormati dif-dif jemputan kehormat dan seterusnya saudara serta saudari teman-teman seperjuangan sekalian.

Sidang majlis yang dihormati sekalian,

                Membuka kalimah dalam bait-bait awal pidato saya pada kali ini, marilah bersama-sama kita menghayati bicara bijaksana daripada Nabi SAW  yang menyatakan, “Sesungguhnya setiap mukmin itu ibarat susunan batu bata kepada sebuah bangunan. Apabila satu daripadanya runtuh, nescaya runtuhlah semuanya”. Berdasarkan mafhum daripada Hadith tersebut telah menjelmakan kepada kita akan pengajaran betapa besarnya erti perpaduan dalam membina apa-apa jua kekuatan dan kemajuan.

                Sesungguhnya, perpaduan dalam terjemahan harfiahnya bermaksud, penyatuan, ikatan, dan gabungan yang bermula daripada hati dan perasaan lalu diterjemahkan oleh tindakan dalam bentuk kerjasama dan saling menyokong. Oleh itu, frasa ‘Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara’ bolehlah didefinisikan sebagai penyatuan dalam kalangan rakyat adalah menjadi aset penting untuk memajukan negara sama ada dalam aspek ekonomi, sosial, mahupun kestabilan negara.

Sidang majlis yang dihormati sekalian,

                Sejajar dengan realiti negara  yang bermasyarakat majmuk, perpaduan adalah amat penting dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Alangkah rumitnya untuk menyatukan pemikiran, sikap dan tindakan dalam kalangan masyarakat yang lahir daripada pelbagai latar budaya dan kaum. Malahan dalam keadaan yang rumit itu, isu-isu sensitif seperti adat resam, agama dan hak asasi mudah menjadi barah yang boleh mencetuskan sengketa. Kita telah belajar daripada sejarah tentang tragedi hitam seperti peristiwa Natrah, Tragedi 13 Mei dan ancaman Komunis merupakan sebahagian daripada ledakan perasaan marah akibat runtuhnya ikatan perpaduan. Akhirnya, negara terumbang ambing, keselamatan terancam dan ekonomi terjejas. Oleh itu, pada awal era milenium ini, perpaduan dilihat sebagai wahana yang amat berharga. Runtuhnya beberapa dinasti hebat di rantau Timur Tengah adalah cetusan daripada luputnya perpaduan. Bayangkan semula, berapakah harga yang terpaksa kita bayar jikalau negara kita pula yang kembali ke dalam kancah bahaya seperti itu?  Jawapannya, punahlah segala-galanya!

JAWAPAN PENUH KARANGAN DI ATAS BOLEH ANDA RUJUK DI DALAM MODUL MS 36.



MODUL EDISI 2012 BAKAL MEMBANTU PARA GURU DALAM P&P KARANGAN. SEMENTARA ITU, PELAJAR DAPAT MEMAHIRKAN KEMAMPUAN MENGARANG APABILA MEREKA BOLEH MEMBUAT LATIHAN BERPANDU BERDASARKAN 55 SOALAN YANG LENGKAP DENGAN RANGKA ISI.

INSYA-ALLAH JIKALAU TIADA ARAL, MODUL INI AKAN SELAMAT DIHASILKAN PADA 20 FEB 2012. 

UNTUK TEMPAHAN, SILA HUBUNGI SAYA - 019 4789803
 

No comments:

Post a Comment