Monday, October 29, 2018

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PULAU PINANG & SELANGOR

Assalamualaikum,
Saya muat naik 2 set rangka isi lagi yakni untuk Pulau Pinang dan Selangor. Semoga bermanfaat kepada yang sudi meneliti.

PULAU PINANG
1.       Telefon pintar dianggap sebagai satu trend gaya hidup para remaja pada masa ini.
Huraikan kesan-kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid.

2.       Amalan membaca perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menggalakkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

 
 Sila rujuk sampel karangan penuh di dalam modul saya edisi 2018

Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu amalan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.
Berpandukan peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah dengan budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan membaca perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya, justeru semua pihak akan berasa seperti suatu keperluan untuk membaca. Setiap ahli keluarga terutama ibu bapa harus menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan keluarga. Lampu tersebut sudah tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui tradisi membaca. Dalam tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah diperluas kepada bidang pengetahuan yang lain melalui amalan membaca. Alangkah indahnya apabila budaya membaca mula terpahat kukuh di dalam benak anak-anak sama seperti gemar menonton televisyen dan berinteraksi dengan gajet.
Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa  akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga……………………………………….. (sila baca sambungannya di dalam modul)


3.       Gejala rasuah dalam kalangan masyarakat perlu dibanteras supaya imej negara tidak terjejas.

Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak
untuk menangani gejala ini.

4. Pergolakan dan peperangan yang berlaku di sesebuah negara telah menyebabkan
berlakunya krisis pelarian yang semakin serius.

Ulaskan kesan-kesan yang timbul akibat daripada krisis tersebut.

NOTA: Sesiapa yang memiliki MMM edisi 2018, sila rujuk sampel lengkap soalan ini dalam muka surat 68. Terima kasih.

5. Peribahasa Melayu ada menyebut, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit bermaksud
sabar dan tekun mengerjakan sesuatu, akhirnya berjaya juga.

Tuliskan sebuah cerpen berdasarkan peribahasa di atas.

SELANGOR – SET 1

1.       Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat berharga dan perlu diisi dengan sebaik mungkin. Zaman remaja hanya datang sekali dalam seumur hidup.
Huraikan kegiatan bermanfaat yang perlu anda lakukan untuk mengisi zaman remaja.
Sila rujuk modul saya edisi 2018 muka surat 75.

Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut turut disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat yang dikuasakan pula dengan teknologi internet. Pelbagai maklumat baru boleh diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar jiwa ‘panas’ remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada matlamat hidup dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, sebagai remaja saya tidak boleh selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu saya perkasakan untuk menangani cabaran tersebut.

Isi 1: Mendalami ilmu agama dan mengamalkan nilai moral – agama dan moral sebagai benteng keruntuhan akhlak – faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan takwa – faham bahawa segala perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat dan mendapat ganjaran yang setimpal

2.       Anda telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam suatu pertandingan syarahan peringkat daerah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri.
Tajuk syarahan anda ialah, Usaha-usaha Meningkatkan Kesedaran Remaja dalam Melestarikan Alam Sekitar”.

          
 NOTA: Soalan ini dalam bentuk berformat. Calon hendaklah peka akan segala syarat format seperti KATA ALU-ALUAN, PANGGILAN TETAMU & PENUTUP UCAPAN. Calon juga hendaklah benar-benar menguasai laras syarahan/pidato yang merupakan laras bahasa tinggi.
Pendahuluan: Kesedaran melestarikan alam sekitar ialah frasa yang menerangkan prakarsa atau keiltizaman untuk mewujudkan mahupun mengembalikan fungsi asal alam sekitar berlandaskan hukum tabii. Alam sekitar dalam komponen yang terdiri daripada sungai, lautan, gunung-ganang, hutan belantara serta flora dan fauna hendaklah dikembalikan kepada fitrah kejadiannya yakni untuk saling bergantungan dan saling memperoleh impak kebaikan daripada sistem semula jadi tersebut. Oleh sebab itu, manusia sebagai sebahagian daripada komponen alam dan berfungsi sebagai khalifah yang menjaga kesinambungan lestari hendaklah bertanggungjawab terhadap alam jagat raya ini. Sesungguhnya, kelompok sasar yang harus memikul peranan sebesar ini ialah remaja.
Isi 1: Membina semula kesedaran dalam kalangan remaja bahawa mereka adalah sebahagian daripada alam – apabila alam dimusnahkan bermakna manusia pun bakal musnah – remaja harus diberi ingatan bahawa tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk penduduk bumi melaksanakan inisiatif yang agresif untuk menyelamatkan bumi daripada ditenggelami fenomena cairan ais di Kutub Selatan dan Kutub Utara.
Isi 2: Menyebarluaskan fahaman agama bahawa menjaga alam itu adalah sebahagian daripada amanah Allah – perbuatan memusnahkan alam merupakan dosa yang amat besar – Allah melaknat sesiapa sahaja yang tidak peka akan kesejahteraan alam dengan didatangi bencana seperti tanah runtuh, banjir, ribut taufan, gempa bumi dan tsunami.
Isi 3: Mendidik remaja agar hidup dalam persekitaran yang mesra alam, ceria dan sihat – jauhi tingkah laku negatif seperti membuang sampah sesuka hati, membunuh dan merosakkan makhluk flora dan fauna.
Isi 4: Menghidupkan semula budaya ‘SEKOLAH DALAM TAMAN’ – budaya yang menyuntik kesedaran dalam kalangan murid untuk menjaga keindahan alam sekitar dalam kawasan institusi pendidikan.
Isi 5: Pihak sekolah menjalankan lebih banyak program koakademik di kawasan dengan landskap semula jadi – aktiviti di kawasan pergunungan, hutan, sungai mahupun pantai – murid menikmati keindahan alam dan tertanam rasa cinta terhadap alam.
Kesimpulan: Akhir kalam dan penutup bicara, remaja ialah pewaris bangsa dan pewaris tamadun. Merekalah pelakar kesejahteraan umat manusia dan penyelamat kelestarian alam sekitar. Mereka harus dididik dan diberitahu bahawa kebejatan alam oleh tindakan tangan mereka memungkinkan hari depan tamadun menjadi hambar dan samar-samar. Seyogialah remaja menjadi insan yang paling cakna akan kesejahteraan alam yang menjadi isyarat kesejahteraan untuk mereka juga. Binalah  slogan, “LESTARIKAN ALAM, SELAMATKAN REMAJA, MAKMURKAN DUNIA”.

3. Ilmu pengetahuan dan kemahiran sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup seseorang.
Jelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seseorang dalam usaha untuk meningkatkan  kualiti hidup mereka.

Sila rujuk sampel lengkap karangan saya di dalam MMM edisi 2018, muka surat 56.
4         Remaja berpendapat bahawa bekerja di luar negara lebih menguntungkan berbanding dengan bekerja di dalam negara.
Huraikan komen anda.

Pendahuluan: Peribahasa Melayu menyatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baiklah di negeri sendiri. Pernyataan peribahasa ini mendorong seseorang supaya lebih mengutamakan tempat sendiri mahupun negeri sendiri. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi masa kini seseorang dituntut agar lebih celik dunia dan mencari potensi bagi merebut peluang mencari rezeki di luar negara. Berpandukan peluang yang sentiasa terhidang di mana-mana jua, ramai anak muda pada hari ini mula bertebaran di seantero pelosok dunia untuk merebut peluang kerjaya yang lebih baik. Hal yang demikian telah menimbulkan pelbagai polemik tentang pro dan kontra pendirian seperti itu.

Isi 1: Boleh membuka persaingan yang lebih luas dan lebih mencabar – anak muda boleh meniru budaya kerja masyarakat antarabangsa – sentiasa berusaha untuk merebut peluang yang lebih baik – meniru dan menceduk segala pengetahuan dan pengalaman para pekerja terutama dari negara maju dalam aspek teknologi mahupun inovasi terkini.

Isi 2: Berpeluang memperoleh tawaran gaji yang lebih lumayan – tawaran gaji di negara-negara maju dan kaya seperti di Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat secara relatif adalah lebih tinggi.
Isi 3: Memperluas minda dan pengalaman berada di bumi asing – fikiran semakin terbuka, membina sifat berani, berdikari dan meningkatkan kreativiti.

Isi 4: Menceduk segala ilmu dan teknologi untuk dibawa pulang ke tempat sendiri – menyebarkan pengetahuan dan pengalaman untuk membangunkan watan – sebagai suatu langkah pemindahan teknologi dengan perantaraan tenaga manusia – menjadi aset penting negara

Isi 5: Berlaku integrasi budaya, cara hidup dan pemikiran di luat kotak – anak-anak tempatan di luar negara biasanya lebih bijak, cepat membuat keputusan dan bijak dalam berkomunikasi – mereka menjadi duta tidak rasmi negara di persada antarabangsa.

Kesimpulan: Memertik sepotong ayant al-Quran dalam surah al-Jumaah, “Apabila selesai bersolat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi ini dan tuntutlah keredaan Allah dan ingatlah pada Allah adalah sebagai dorongan supaya manusia sentiasa positif untuk merebut peluang yang Allah sediakan di muka bumi ini. Oleh itu, di mana-mana ada peluang, justeru rebutlah peluang tersebut dengan syarat tidak mengabaikan syariat Allah.

5         Anda gemar membaca novel pada waktu senggang. Anda mendapat bahawa watak utama berperanan sebagai pengarang untuk menyampaikan pelbagai nilai kemanusiaan.
Jelaskan nilai-nilai kemanusiaan pada watak utama yang boleh anda amalkan dalam kehidupan.

NOTA: Soalan ini amat strategik kerana belum pernah ditanya dalam mana-mana peperiksaan SPM.

Sunday, October 14, 2018

PPD DAERAH KOTA BELUD

 PPD KOTA BELUD – SUMBER TN JUILIS MOKUJAL


1.       1.       Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut turut disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat yang dikuasakan pula dengan teknologi internet. Pelbagai maklumat baru boleh diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar jiwa ‘panas’ remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada matlamat hidup dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, remaja tidak boleh selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu diperkasakan oleh remaja demi berhadapan dengan ancaman yang berbahaya itu.
Isi 1 : Mendalami ilmu agama dan moral – agama dan moral sebagai benteng keruntuhan akhlak – faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan takwa – faham bahawa segala perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat dan mendapat ganjaran yang setimpal
Isi 2 : Meletakkan keutamaan belajar dan mencari pengalaman demi masa depan – hanya ilmu dan pengalaman sebagai jaminan masa depan
Isi 3 : Memilih rakan yang sealiran – rakan sebagai pewarna kehidupan – tersalah memilih rakan boleh mengundang mudarat – mengikuti program sosial seperti persatuan dan NGO
Isi 4 : Membina motivasi – motivasi merupakan enjin yang menggerakkan individu untuk mencari kejayaan – tidak mudah terpedaya dan mengikut telunjuk rakan – mempunyai matlamat masa depan yang terjamin
Isi 5 : Memahami dan mendalami dasar dan visi negara – faham akan hala tuju negara – memahami hasrat pemimpin – bersama-sama rakan berganding bahu menjayakan semua agenda wawasan negara - tidak mudah terpengaruh dengan anasir perosak negara
Kesimpulan : Tokoh falsafah terkemuka Yunani iaitu Aristotle pernah berkata, “Ketahanan sesebuah negara bukan bergantung kepada hasil buminya yang mewah, sebaliknya berada dalam tangan anak mudanya yang  gagah dan bijaksana”. Apabila menghayati kata-kata hebat tersebut, saya begitu teruja untuk menjadi anak muda yang berwawasan. Saya beriltizam untuk membina Malaysia yang tercinta ini menjadi negara yang bebas daripada ancaman parasit dan anasir perosak khususnya daripada kalangan anak-anak muda itu sendiri. Oleh itu, saya dan rakan-rakan hendaklah memilih jalan yang betul yang telah dirintis oleh generasi yang terdahulu.

2.       2. Amalan membaca haruslah dipupuk kepada generasi muda untuk melahirkan golongan yang berilmu pengetahuan.
Tuliskan satu rencana tentang peranan ibu bapa untuk memupuk minat membaca kepada anak-anak.

NOTA : Sila rujuk jawapan lengkap di dalam modul saya edisi 2018 ms 49    

3. Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan atau pun pelancong asing.
Huraikan kepentingan-kepentingan industri pelancongan terhadap pembangunan negara.

Pendahuluan: Apabila berbicara perihal melancong, banyak orang yang akan mengalih pandang sama ada ke negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Asia Timur Jauh seperti Jepun, Korea, dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah kita melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula pelancong asing yang datang ke negara kita. Berdasarkan laporan portal pelancongan negara, Malaysia berada di tangga yang kesepuluh dalam kalangan negara-negara yang wajib dilawati. Destinasi utama seperti Gunung Kinabalu dan taman pertanian Kundasang, Cameron Highland, Pulau Perhentian, Pulau Langkawi dan banyak lagi destinasi telah lama gah dan tersohor dan menjadi ciapan kepada pelancong asing dan tempatan. Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia pun tidak kurang hebat dengan destinasi pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita manfaatkan demi faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada kemajuan ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.
Isi 1: Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara asing semakin meluas – imej Malaysia akan dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong
Isi 2: Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan yang berkaitan dengan industri pelancongan itu sendiri seperti dalam bidang perhotelan – memajukan industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan, pakaian, cenderamata, pengangkutan dan sebagainya.
Isi 3: Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan daripada interaksi dengan orang asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir semakin berkembang – gaya berfikir di luar kotak
Isi 4: Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang dibangunkan, kemudahan  prasrana, alam sekitar yang terjaga dan semua potensi alam berjaya dimanfaatkan
Isi 5: Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang ekonomi – minat yang tinggi daripada pelancong-pelancong dari Timut Tengah, Jepun, Korea, dan Eropah boleh meningkatkan kadar tukaran mata wang negara.
Kesimpulan: Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana ekonomi kepada banyak negara di dunia. Negara-negara terkemuka di Eropah seperti Switzerland, Perancis dan walayah Scandinivia amat mesra kepada pelancong. Demikian juga dengan di Asia, negara Jepun, Korea dan Thailand sering menjadi pilihan. Sesungguhnya, industri pelancongan menjadi titian yang menyambungkan interaksi budaya, cara hidup bahasa dan emajuan ekonomi. Walaupun industri pelancongan pada awalnya sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi yang negatif, namun imej tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam aspek budaya dan agama. Janganlah disebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.


4. Kemasukan pelajar asing ke negara ini telah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang tersohor di peringkat global.
Huraikan faktor-faktor yang menarik minat pelajar-pelajar dari luar  negara untuk melanjutkan pelajaran di negara ini. 

Pendahuluan: Bandar raya Kuala Lumpur semakin hampir mencapai taraf kosmopolitan apabila berada sebaris dengan bandar-bandar besar dunia yang lain. Situasi itu diwarnai oleh kepelbagaian aktiviti perniagaan, pendidikan, sosial dan kemajmukan masyarakatnya yang datang dari seluruh dunia. Pada hari ini apabila berkunjung ke bandar raya kebanggaan Malaysia itu, kita seakan-akan terasa seperti berada di planet yang berbeza dengan lokasi yang lain di Malaysia sebagai kesan daripada kepelbagaian sosial dan budayanya. Tempias di Kuala Lumpur turut merebak ke bandar-bandar utama lain juga, seperti Pulau Pinang, Johor Baharu, Ipoh dan kawasan Lembah Kelang yang semakin melimpah dengan kebanjiran pelajar-pelajar asing. Kehadiran mereka ini adalah selaras dengan dasar negara yang menggalakkan IPTA dan IPTS membuka pintu kepada pelajar antarabangsa. Dikhabarkan kebanjiran mendadak pelajar-pelajar asing ke Malaysia adalah disokong oleh pelbagai faktor positif sebagai daya tarikan.
Isi 1: Secara relatifnya kadar yuran pengajian dan kos sara hidup di Malaysia adalah rendah
-          Kadar mata wang RM adalah lebih rendah daripada mata wang utama dunia
-          Belanja kos hidup dan biaya pengajian lebih murah
Isi 2: Situasi pengajian dan pembelajaran di Malaysia yang selamat selesa dan kondusif
-          Jaminan keselamatan dalam negeri yang aman
-          Tingkah laku masyarakat Malaysia yang sopan dan berbudaya tinggi
-          Semua kampus dan prasarana IPTA dan IPTS yang moden dan kondusif
Isi 3: Silibus pengajian tinggi di Malaysia mendapat penarafan akreditasi antarabangsa
-          Lulusan IPT Awam mahupun swasta diterima di mana-mana negara di dunia
-          Tenaga pengajar yang profesional dan ramai yang berkelulusan dari IPT di negara maju
Isi 4: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPT memudahkan pengajaran
-          BI sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu yang merentasi dunia
-          Semua pelajar antarabangsa boleh berkomunikasi dalam BI
-          Sumber rujukan dalam BI juga mudah didapati di premis-premis jualan buku mahupun di pusat sumber awam
Kesimpulan:  Peribahasa telah menyatakan, di mana-mana ada air di situ ada ikan, adalah dengan jelas menunjukkan manusia akan berpusu-pusu ke sesuatu tempat apabila wujudnya peluang di tempat tersebut. Demikianlah halnya dengan peluang menuntut ilmu seperti yang disajikan oleh Malaysia kepada semua anak muda di seluruh dunia. Kepada Malaysia, peluang ini diibaratkan seperti sambil menyelam minum air kerana pelbagai peluang ekonomi dan sosial boleh dijanakan daripada polisi yang bersifat “menang menang” ini.








PERCUBAAN SPM SE-MALAYSIA 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Atas segala limpah kurnia Allah, saya mengucapkan syukur ke hadrat-Nya kerana masih mengurniai insan daif ini dengan sedikit ruang masa, kesihatan, tenaga dan fikiran. Dengan rahmat tersebut, hamba berjaya menyempurnakan rangka isi dan beberapa sampel karangan yang sempat dikutip daripada soalan Peperiksaan Percubaan sekolah-sekolah Malaysia sesi 2018. Inisiatif ini adalah atas komitmen hamba dalam memenuhi hasrat rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar di 86 buah alma mater yang sudi menjemput hamba untuk berbicara tutur dalam siri jerayawara BM Kertas 1 sesi 2018. Terima kasih rakan dan taulan.
Sementara itu, bahan yang seadanya ini hamba dedikasikan kepada rakan-rakan murabbi yang cakna mendidik di seluruh negara yang berada di dalam rangkaian grup GURU BMSPM dan grup-grup lain yang seumpama dengannya. Mohon sampaikan oleh-oleh ini kepada semua anak-anak calon SPM 2018, moga-moga boleh dijadikan rujukan terakhir sebelum mereka melangkah ke medan ‘tempur’ SPM 2018. Atas faktor ketiadaan pembaca kedua, kemungkinan berlaku banyak kesilapan ejaan yang tidak disengajakan, hamba memohon kemaafan. Selain itu, koleksi soalan pada sesi 2018 agak terhad atas kesukaran memperoleh soalan yang terakrudari negeri-negeri selain kedaifan hamba sendiri dalam kudrat yang terhad.
Sebagai lazim rangka dan contoh karangan ini bukanlah terbit atas jaminan 100 peratus akan keluar dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun isu dan tema adalah betepatan dengan silibus dan cukup berguna untuk anak-anak didik jadikan panduan.
Atas kesudian anda manfaatkan buah hasil daripada cakna minda dan cendekia hamba, seyogia salam kasih sayang dan terima kasih hamba hulurkan.

SELAMAT MAJU JAYA

KEDAH
1.    Kini, alam pekerjaan memerlukan individu yang memiliki pelbagai ilmu dan kemahiran.
Sebagai seorang murid, huraikan persediaan anda untuk menempuh alam  pekerjaan.

 




Samudera gelora pawana berpintal
Cuaca redup ditutup mega
Jikalau kail panjang sejengkal
Lautan dalam jangan diduga
Pantun yang tersebut di atas membawa amanat bahawa sesuatu yang berisiko jangan sama sekali dicuba tanpa sebarang persediaan yang rapi. Banyak padah yang boleh menimpa jikalau tersalah duga. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang mencabar seperti hari ini, kemampuan meneroka sesuatu yang baharu dan lebih mencabar memungkinkan individu tertentu boleh mencapai kejayaan sehingga di luar jangkaan. Sebagai individu yang inginkan cabaran, saya mengidami kecemerlangan dalam kerjaya kelautan (anda boleh masukkan sebarang kerjaya pilihan anda). Oleh yang demikian, saya faham untuk memenuhi matlamat tersebut bukanlah boleh dicapai dengan mudah. Persis untuk mencapai matlamat besar seperti itu, saya hendaklah memperlengkap diri dengan pelbagai persediaan sama ada dalam aspek fizikal, mental, emosi, dan berani menempuh segala cabaran .

Isi 1:  Memantapkan diri dengan persediaan yang paling asas – persediaan fizikal, mental, emosi, cita-cita dan motivasi (olahkan setiap satu persediaan tersebut)
Isi 2:  Memprogramkan jadual harian yang amat teliti dan berdisiplin – agar semua perancangan dapat berjalan mengikut jadual – meletakkan cita-cita sebagai perkara yang paling hadapan daripada aktiviti yang kurang berfaedah
Isi 3:  Memantapkan psikologi dan emosi – agar sentiasa bermotivasi tinggi – tidak mudah pudar semangat dengan cabaran-cabaran yang ditempuhi – mengenal pasti seseorang yang boleh dijadikan idola dalam bidang yang akan diceburi
Isi 4  Membuat kajian dan mencari maklumat yang tepat tentang bidang dan kerjaya yang ingin diceburi – usaha melalui pembacaan, berbincang dengan rakan-rakan, guru, internet dan memperoleh maklumat daripada tokoh-tokoh yang pernah terbabit dalam kerjaya berkenaan
Isi 5  Berusaha dan bertawakal dengan tidak pernah melupakan ibadah kepada Allah SWT – sebagai sandaran agar segala usaha dan cita-cita dimakbulkan.
Kesimpulan : Berpandukan maksud peribahasa hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa, saya sudah pasti akan berusaha sehabis daya untuk merealisasikan impian saya menjadi kenyataan. Saya amat yakin dengan cita-cita, usaha, dan amal takwa Allah tidak akan menghampakan setiap niat yang baik daripada hamba-Nya. Oleh itu, saya yakin setiap persediaan yang saya buat secara berterusan akan memberi natijah yang besar kepada diri saya.

2. Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya dalam kalangan remaja pada hari ini.
Jelaskan peranan pelbagai pihak  untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja.

 




Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca iaalah suatu kewajipan yang penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat membangunkan insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca,  nescaya seluruh adiwangsa memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam kalangan remaja.
Kelompok sasar yang pertama untuk merancakkan budaya membaca ialah ibu bapa. Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa  akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan cara membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom ‘mabuk’ gajet yang tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter dan Instagram yang mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan sendiri.
Institusi alma mater merupakan pusat kemenjadian manusia yang telah terserlah fungsinya sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan mula membina sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu, sekolah berperanan penting untuk melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui kalam membaca. Ejen terpenting yang berfungsi menggerakkan insan pelajar yang gemar membaca ialah para guru. Guru seharusnya membudayakan alma mater dengan menyuburkan minat membaca dalam kalangan murid-murid. Cetusan daya berfikir seperti mencari maklumat dan meneroka gaya berfikir seperti orang-orang bijaksana sewajarnya digalakkan sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Dalam usaha mengaktifkan minat membaca, semua medium maklumat hendaklah dimanfaatkan. Pihak sekolah haruslah boleh menganjak paradigma agar bijak memanfaatkan peranti elektronik sebagai sumber baharu bahan bacaan. Dalam wacana ilmu moden yang semakin bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama, sebaliknya berani keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung.
                 Masyarakat massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca terus diperkasakan. Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai pegaruh negatif begitu aktif menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala membuang masa seperti berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada masa hadapan. Oleh sebab itu, masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan gejala pagan ini daripada terus menular. Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui nasihat dan kaunseling mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan segera. Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan berilmu. Carilah rakan sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha melahirkan generasi cendekia. Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya sepanjang kehidupan.
Agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya membaca sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi berpengaruh ini mula menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca,  justeru masyarakat massa dengan sendirinya akan membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan bahan bacaan berkala yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali menanti giliran ketika berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi swasta terutama gedung-gedung perniagaan utama berpada-padalah menyajikan pengunjung dengan sumber-sumber hiburan yang bermula daripada awal pagi hingga lewat malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya mengumpan masyarakat untuk menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor bergelumang tahi.
Tuntasnya, insan yang membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui aksara dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli masyarakat dengan amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa membaca bangsa yang berjaya.

4.     4.  Prniagaan secara dalam talian merupakan satu trend baharu dalam urus niaga tanpa sempadan.
Huraikan kebaikan urus niaga secara dalam talian kepada masyarakat antarabangsa.

 




Pendahuluan: Nabi SAW telah bersabda dalam mafhumnya, “Sembilan persepuluh daripada kekayaan datangnya daripada perniagaan”. Iktibar daripada Hadis tersebut dengan jelas menerangkan bahawa bidang perniagaan mampu mengangkat kuasa ekonomi seseorang untuk hidup senang-lenang. Sejajar dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat, bidang urus niaga juga turut mengalami proses transformasi apabila urus niaga sistem tradisional telah bertukar kepada transaksi secara dalam talian. Hal yang tersebut telah mengimpakkan anjakan paradigma dunia perniagaan menjadi lebih efektif, mudah dan berkesan.

Isi 1: Sistem urus niaga dalam talian benar-benar mempercepat urusan – urusan berkaitan maklumat barangan dan jenama, iklan, tempahan dan bayaran amat mudah dilaksanakan
Isi 2: Sistem urus niaga yang berkaitan dengan tempahan dan bayaran cukup selamat dan mudah – urusan hanya boleh dibuat di dalam talian dan terhindar daripada sebarang tindakan jenayah – meminimumkan penggunaan tukaran tunai.
Isi 3: Sistem yang menjimatkan dalam aspek pengurusan masa, tenaga dan kos – tempahan boleh dibuat dari dalam bilik tidur sahaja walaupun premis perniagaan yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya – tidak bersesak-sesak di jalan raya dan tidak perlu bersesak-sesak dan beratur panjang di premis perniagaan.
Isi 4: Suatu sistem perniagaan yang tidak memerlukan ruang dan tempat yang terlalu luas – boleh dilakukan di premis tempat tinggal sahaja – secara relatifnya kos operasi dapat dikurangkan manakala harga barang menjadi lebih murah
Isi 5: Suatu inovasi yang mendidik manusia moden supaya lebih amanah, bertanggungjawab dan menyantuni etika kehidupan – sistem  ini amat mementingkan tahap amanah dan sikap saling percaya – membentuk suatu jaringan saling menyokong dan implikasi “menang menang” antara peniaga dan pengguna.
Kesimpulan: Sesungguhnya, inovasi bijak niaga dan mesra pelanggan ini sudah pasti akan berkembang dengan pantas dan mula menguasai dunia perniagaan. Hal yang demikian, jika dimanfaatkan dengan baik akan melahirkan sebuah generasi umat dunia yang lebih cakna, peka dan bertanggungjawab. Amalan monopoli dan menindas mahupun tindakan jenayah sudah pasti dapat  dikurangkan sesuai dengan taraf kebijaksanaan manusia moden.

5.       Slogan, ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’  merujuk kepada hubungan yang erat antara jiran bagi mewujudkan negara yang aman, harmoni dan sejahtera.
Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengukuhkan semangat kejiranan di negara kita.

 




NOTA: Sila rujuk modul saya edisi 2018, muka surat 85, soalan latihan kendiri no. 3


IKUTI SETERUSNYA SOALAN NEGERI LAIN PULA. SELAMAT MENCUBA.


Assalamualaikum,

Setelah sekian lama menyepi, pada petang yang mulia saya kongsikan sedikit panduan untuk anak-anak calon SPM 2018. Sila ikuti;

BIMBINGAN BAHASA MELAYU SPM, KERTAS 1

PENGENALAN:  Kertas 1 BM SPM merupakan bahagian terpenting dalam keseluruhan aspek yang ditanya dalam soalan SPM. Bahagian ini yang terdiri daripada 2 kertas iaitu Karangan Rangsangan (A) dan karangan umum (B) memuatkan keseluruhan 130 markah.

 KONSEP KARANGAN: Karangan boleh didefinisikan sebagai seni menyampaikan idea yang bernas dengan perantaraan bahasa yang kemas, tersusun serta menepati ciri-ciri hukum tatabahasa. Pelbagai ragam dan laras bahasa penting untuk diadunkan ketika menulis karangan. Hal ini penting untuk membangkitkan kesan yang mendalam terhadap idea dan hujah yang bakal disampaikan. Selain itu, sejajar dengan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), karangan hendaklah ditulis dalam pemeringkatan idea dan keupayaan untuk mengaplikasikan domain pengetahuan, menganalisis, mencerakin dan mencipta. Pada peringkat SPM, KARANGAN B merupakan nadi utama yang menentukan calon mendapat skor A+ atau sebaliknya. Hal demikian adalah penting kerana KARANGAN B membawa muatan markah terbesar iaitu 100 markah.

BINAAN SOALAN: Binaan soalan adalah berdasarkan 6 kategori utama yang dikenali sebagai dimensi. Terdapat 5 dimensi dan satu unsur sastera.

1.       DIMENSI DIRI – Soalan dalam dimensi diri banyak menyentuh isu umum yang ada kaitan langsung dengan individu. Hal-hal yang berkaitan dengan jati diri, matlamat hidup, pembentukan personaliti, persahabatan, pendidikan, kerjaya dan banyak lagi. Respon jawapan dalam dimensi diri hendaklah merujuk kepada diri anda sendiri. Dalam jawapan yang dikemukakan, calon hendaklah merujuk dirinya sebagai watak penting dalam jawapan tersebut. Seandainya tentang cita-cita dan matlamat hidup, maka calon hendaklah perihalkan matlamat dirinya sendiri. Sebagai lazim soalan dimensi diri akan mengambil tempat sama ada dalam soalan 1 mahupun soalan 2.

2.       DIMENSI KELUARGA - Soalan ini mengambil tapak kehidupan berkeluarga sebagai asas binaan isu dan tema dan tugasan soalan. Soalan yang ditanyakan adalah berkaitan dengan hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Pemberatan soalan terbahagi kepada:
i.                     Peranan ibu bapa atau keluarga kepada anak-anak
ii.                   Peranan anak-anak kepada ibu bapa

PERINGATAN: Sebagai lazim soalan ini amat popular dalam soalan 2. Amat jarang malah hampir tiada bentuk soalan yang ditanyakan melibatkan peranan secara bersama di pihak ibu bapa dan anak-anak dalam satu-satu isu yang dikemukakan. Isu-isu yang kerap dibangkitkan adalah berkaitan dengan kasih sayang, tanggunggjawab, kecemerlangan pelajaran anak-anak, sikap membalas budi, pembentukan keluarga bahagia dan membangunkan sahsiah anak-anak yang terpuji.

3.       DIMENSI UMUM – Dimensi Umum turut dikaitkan dengan Dimensi Masyarakat yang banyak membicarakan perihal penglibatan umum sama ada individu, anggota masyarakat, institusi, organisasi, NGO dan juga kerajaan. Kebanyakan tema soalan yang dikemukakan adalah yang berkaitan dengan isu umum sama ada peranan masyarakat ataupun kesan terhadap sesebuah institusi atau organisasi
i.         Pemberatan jawapan hendaklah mengambil kira peranan mana-mana pihak yang boleh dikaitkan dengan isu dan tema soalan.
ii.       Penggantian diri seperti ‘kita’, pelbagai pihak’ dan ‘masyarakat umum’ adalah sesuai digunakan untuk merujuk ketepatan pihak yang terbabit.
iii.      Sebagai rujukan mudah soalan yang berkaitan dengan dimensi masyarakat kerap kali terdapat dalam soalan 2 @ 3.

4.       DIMENSI NEGARA – Dimensi Negara yang dianggap sebagai soalan aras tinggi oleh para pelajar sebenarnya tidak sesukar seperti yang disangkakan oleh calon-calon. Dengan sedikit kelebihan rajin mengambil tahu perihal dan fenomena semasa sudah mencukupi untuk calon menjawab soalan ini. Rujukan mudah tentang isu yang dibangkitkan ialah tema yang berkaitan dengan dasar, polisi, matlamat dan perancangan kerajaan/negara. Antara isu yang pernah dikemukakan adalah seperti berikut:
i.                     Dasar perpaduan negara
ii.                   Dasar keselamatan sosial dan keselamatan negara
iii.                  Dasar bahasa
iv.                 Dasar pelajaran
v.                   Dasar pemakanan negara
vi.                 Dasar pertanian
vii.                Dasar kebudayaan dan warisan

5.       DIMENSI ANTARABANGSA (GLOBAL) – Dimensi Antarabangsa ialah soalan tetap yang ditanyakan dalam soalan 4. Soalan ini merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan situasi semasa dunia, hubungan luar Malaysia dengan masyarakat antarabangsa. Isu-isu berbangkit adalah berkaitan dengan keselamatan, hubungan diplomatik, kejiranan antarabangsa, isu penindasan, keamanan dunia dan amalan saling bergantungan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

6.       UNSUR SASTERA – Soalan Unsur Sastera merupakan soalan tetap yang akan ditanyakan dalam soalan 5. Berpandukan soalan yang lepas-lepas, unsur sastera terbahagi kepada 3 kategori soalan yang sering ditanaya adalah seperti berikut:
i.                     Kategori kreatif – calon diberikan tema tertentu dan mereka dikehendaki menulis cerita atau cerpen yang mudah-mudah  berkaitan dengan tema.
ii.                   Kategori separa kreatif – calon diuji berdasarkan pemahaman mereka tentang bahan KOMSAS seperti unsur tema, persoalan, nilai, pengajaran, perwatakan dan latar. Sejak belakangan ini, soalan dalam bentuk ini akan diambil terus daripada mana-mana unsur sastera sama ada puisi mahupun prosa berdasarkan teks kajian murid di dalam kelas.
iii.                  Kategori bukan kreatif – soalan dalam kategori ini berdasarkan respon dan taakulan murid terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan isu seni dan kesusasteraan. Soalan akan dikemukakan dalam tema umum seperti galakan supaya gemar membaca karya-karya sastera dan sebagainya. Respon jawapan bagi kategori ini adalah dalam bentuk karangan biasa
PERINGATAN: Daripada 5 dimensi dan 1 unsur sastera yang ditetapkan dalam sukatan peperiksaan SPM, satu dimensi akan digugurkan sebagai langkah untuk mencukupkan 5 soalan. Daripada 5 soalan yang ditanya, calon hendaklah bijak dan benar-benar menguasai satu soalan sahaja yang perlu dijawab. Kesilapan mengenal pasti dimensi, isu dan tema pasti membawa padah kepada calon. Perlu diambil ingatan kegagalan untuk memperoleh markah aras cemerlang bagi karangan umum, peluang untuk calon memperoleh skor A+ atau A adalah agak gayat.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2018. BERHATI-HATI MEMILIH SOALAN.