Friday, May 17, 2013

KEMBALI SEMULA

Assalamualaikum,
Dalam kepayahan mata yang masih belum upaya melihat jelas, saya gagahi kudrat untuk sumbangkan sedikit oleh-oleh sebagai koleksi membimbing anak-anak didik dan rakan-rakan guru.

Dalam slot ini, saya masukkan karangan lengkap serta sedikit analisis untuk membolehkan para guru memberi bimbingan kepada pelajar-pelajar. Sila ikuti;

SOALAN

Negara kita di ambang menjadi negara maju. Pelbagai persediaan perlu dilakukan untuk memenuhi matlamat negara itu.

Cadangkan persediaan-persediaan yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia agar hala tuju negara menjadi kenyataan.

ANALISIS KOMPONEN SOALAN
DIMENSI :    NEGARA
ISU :            NEGARA MAJU
TEMA :         KE ARAH MENJADI NEGARA MAJU        
FOKUS :      PERSEDIAAN/LANGKAH- LANGKAH YANG PERLU DILAKSANAKAN OLEH RAKYAT MALAYSIA


PENDAHULUAN; 
GUNAKAN TEKNIK OLAHAN  LAKARAN SEJARAH

CONTOH : Tarikh 28 Februari 1991, merupakan tarikh keramat dalam satu lagi proses anjakan Malaysia moden. Tarikh tersebut ialah perisytiharan Wawasan 2020 (WW 2020) oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed. Wawasan tersebut adalah untuk menjadikan Malaysia berada sebaris dengan negara-negara maju dalam daya saing ekonomi berpendapatan tinggi. Masa berlalu begitu pantas, kini tempohnya hanya tujuh tahun sahaja lagi untuk seluruh rakyat Malaysia menggemblengkan seluruh usaha bagi merealisasikan matlamat keramat itu. Kini, negara kita di ambang menjadi negara maju  seyogia memerlukan pelbagai persediaan dilakukan untuk memenuhi matlamat yang diimpi-impikan. Oleh hal yang demikian, seluruh rakyat Malaysia hendaklah bersedia dari sekarang untuk menyahut seruan murni negara itu.

 NOTA : Ayat yang bergaris ialah ayat tema soalan


ISI-ISI PENTING (IU)

  1.  Memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan (dunia dan akhirat)
  2.  Bersedia dengan kemahiran teknologi dan ICT
  3.  Menjadi rakyat yang lebih gigih daya saing
  4.  Mempertahankan keamanan dan keharmonian (perpaduan)
  5.  Berfikiran terbuka – menjanakan pemikiran berkelas dunia
 
OLAHAN ISI > GUNAKAN TEKNIK HURAIAN DALAM FORMULA 1 + 4 + 1 ATAU 1 + 5 + 1.
Langkah ini adalah baik untuk kita peroleh minimum 90 patah perkataan dan maksimum 120 patah perkataan dalam setiap perenggan.

PANDUAN OLAHAN

ISI 1 ; (IU) memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan (dunia dan akhirat)
          (Ayat Judul) - Dalam era pascamoden kini, rakyat Malaysia juga dituntut supaya bersedia memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan…………………………………………………….

H1  : ilmu pengetahuan penting dalam menjanakan sesuatu perubahan

H2  : dengan ilmu rakyat dapat menggerakkan minda ke arah .......................................

H3 : contoh negara/kerajaan yang telah maju .............................................................

H4 : dalam cabaran/persaingan global rakyat Malaysia perlu ...................................

PW : sesungguhnya ilmulah ....................................................................................

CONTOH HURAIAN LENGKAP  > Dalam merealisasikan hasrat menjadi negara maju, semua pihak hendaklah  memperlangkap diri dengan ilmu pengetahuan yang paling tuntas. Ilmu pengetahuan amat penting dalam menjanakan sesuatu perubahan. Dengan adanya ilmu pengetahuan, rakyat dapat menggerakkan minda ke arah yang lebih positif, dinamik dan maju. Sebagai contoh, kebangkitan beberapa tamadun awal dunia seperti Mesir, Mesopotamia, Lembah Hwang Ho, Greek Yunani dan banyak lagi adalah berteraskan ilmu pengetahuan. Dalam cabaran global seperti sekarang, rakyat Malaysia hendaklah berani bersaing untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan sama ada ilmu dunia mahupun akhirat. Sesungguhnya, ilmulah yang mampu memisahkan antara yang hak dan yang batil dan menjadi kandil yang menerangi kehidupan dunia dan akhirat.


ULASAN ISI 1;
Ø      Isi 1 menggunakan teknik olahan !/4/1
Ø      Ayat judul mengambil tempat ayat yang pertama
Ø      IU diletakkan sebagai klausa
Ø      Huraian menggunakan formula, H1 (mengapa), H1 (mengapa), H2 (apa?), H4 (bagaimana?), dan Pelengkap wacana (PW + ulang semula IU)


ISI 2 : Menggunakan olahan 1 + 5 + 1
(IU) Dalam era pascamoden kini, rakyat Malaysia juga dituntut supaya bersedia dengan …………………………
H1 –… kem. tek/ICT telah menjadi jendela kemajuan…. - (W1)
H2 – …kuasa teknologi dan ICT adalah lebih gagah daripada kuasa bala tentera (W1)
H3 - …(Contoh: Luxembourg, Norway, Singapura, Switzerland, Hongkong….menjadi negara yang paling kaya di dunia kerana dijanakan …… (W2)
H4 – Inilah hakikat peribahasa, kecil jangan…..
H5 -  Menyedari hakikat tersebut, rakyat Malaysia hendaklah segera…… (H)
PW – …….impian negara maju menjelang 2020…….



CONTOH HURAIAN LENGKAP  > Dalam era pascamoden kini, rakyat Malaysia juga dituntut supaya bersedia dengan kemahiran teknologi dan ICT. Hal tersebut amatlah wajar kerana kemahiran teknologi dan ICT telah menjadi pembuka jendela kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Dalam dunia moden seperti sekarang, kuasa teknologi dan ICT adalah lebih gagah daripada kekuatan bala tentera. Dalilnya adalah mudah apabila negara-negara kecil seperti Luxembourg, Switzerland, Hong Kong, Singapura dan Norway telah menjadi negara terkaya di dunia kerana dijanakan oleh kuasa teknologi. Inilah hakikat daripada peribahasa, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.  Menyedari hakikat tersebut, rakyat Malaysia perlu bingkas untuk bangkit bersaing menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi. Seandainya, rakyat Malaysia bersedia menyahut seruan ini, nescaya impian negara maju menjelang 2020 akan menjadi kenyataan.


CUBA ANDA ANALISISKAN ITEM-ITEM DALAM ISI DI ATAS.

ISI 3 : Olahan 1 + 5 + 1
Maju atau mundur sesebuah negara adalah bergantung sepenuhya kepada rakyat yang gigih berdaya saing. Memetik kata-kata filosof agung Aristotle, “Ukuran tamadun sesuatu bangsa itu bukan terletak kepada kesuburan tanahnya, tetapi terletak kepada darjat bangsanya yang berjiwa merdeka". Hal tersebut jelas kerana, rakyatlah yang akan menjadi tenaga penggerak kejayaan sesebuah negara. Rakyat ialah modal insan dan sumber tenaga manusia untuk menterjemahkan segala idea dan polisi yang dicetuskan oleh para pemimpin. Dalam konteks negara maju, rakyat Malaysia hendaklah menjadi bangsa yang kuat, berani, cekal, dan gigih berdaya saing. Kini, persaingan yang sengit di peringkat global sangat menuntut agar rakyat Malaysia lebih proaktif, kreatif, dan lebih kompeten setanding dengan bangsa-bangsa yang telah maju. Sejajar dengan revolusi maya dan persaingan siber juga, rakyat Malaysia hendaklah yakin bahawa kegigihan dan semangat juang yang tinggi bakal menjadikan kita bangsa yang dihormati kerana kita juga duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka. 148 pp.

 ISI 4 : Olahan 1 + 5 + 1
 
Kegemilangan sesebuah negara adalah berkait rapat dengan situasi dalam negara yang sentiasa aman dan harmoni. Oleh itu, setiap insan yang amat cinta akan negara hendaklah berusaha mempertahankan keamanan dan keharmonian (perpaduan). Hal ini tidak dapat dielakkan kerana, keamanan menjadi nadi utama untuk membolehkan sesebuah negara cemerlang dalam segala bidang. Bidang-bidang seperti ekonomi, perdagangan, dan perindustrian amat memerlukan kepada persekitran yang tenteram dan kondusif. Kita sedar, beberapa wilayah yang sedang bergolak telah menafikan sama sekali peluang untuk mencapai kemajuan. Akhirnya, sistem politik pincang, kesejahteraan sosial bergoyang, dan ekonomi pula turut tumbang. Menyedari fenomena yang tersebut sangat berbahaya, justeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman hendaklah kembali bertaut dan berpadu. Kita perlu ingat kepada telahan peribahasa, jong pecah yu yang kenyang..
 

ISI 5 : olahan 1 + 5 + 1
Berfikiran terbuka – menjanakan pemikiran berkelas dunia

Peribahasa Melayu menukilkan bahawa, “Kurang ringgit boleh dicari, kurang akal habis bicara”. Hal tersebut menjelaskan bahawa pentingnya proses berfikir sebagai usaha mengangkat ketamadunan sesuatu bangsa. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia hendaklah mengangkat paradigma berfikir dengan cara menjanakan pemikiran berkelas dunia. Pemikiran berkelas dunia yang merujuk kepada cara berfikir  bangsa-bangsa yang telah maju dan bersedia bersaing secara sihat. Langkah terpenting untuk merealisasikan tujuan tersebut adalah dengan cara kesediaan untuk belajar, berani menghadapi cabaran dan bersedia untuk meneroka peluang yang melampaui sempadan antarabangsa. Pendek kata, rakyat Malaysia hendaklah mencipta nama di mana-mana jua di persada alam yang terbentang luas ini. Langkah ini perlu diterjemahkan sejajar dengan pengajaran dalam sepotong ayat al Quran, “Bahawa, adakah sama golongan yang berilmu (berfikir) dengan golongan yang jahil?”.

KESIMPULAN : Penanda wacana + tema + langkah-langkah/tindakan + harapan
Kesimpulannya, impian untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 hendaklah diterjemahkan dengan setiap rakyat Malaysia memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Ilmu pengetauan, kemahiran, semangat dan daya saing yang gigih perlu dijadikan matlamat (maqasid) dalam mencapai sesuatu kejayaan. Selepas itu, rakyat Malaysia juga hendaklah yakin dengan inisiatif yang telah disusunaturkan. Semua pihak perlu bergandingan tangan ibarat ke gunung sama didaki dan ke lurah sama dituruni semoga niat murni kita menjadi suatu lagi catatan dalam sejarah negara.


PERHATIAN : Soalan ini saya letakkan dalam hirarki A untuk SPM 2013. Berada dalam kelompok soalan 3 (tentang dimensi negara) isu ini adalah amat penting sesuai dengan dasar dan hala tuju negara pada masa ini. Di dalam modul saya siri 2013, soalan tentang dimensi negara telah saya masukkan 5 soalan. Sila buat latihan mengarang berpandukan soalan-soalan tersebut.



YANG BERMINAT HUBUNGI SAYA DENGAN MENELEFON 019 4789803 
 
 

 
 


No comments:

Post a Comment