Assalamualaikum/Salam sejahtera,
Sebagai makluman para guru dan calon-calon SPM 2012, setelah menyemak dan membuat analisis, saya mendapati kecenderungan soalan dalam dimensi ini lebih berfokus kepada peranan keluarga terutama ibu bapa. Walaupun tidak boleh dijadikan pegangan yang muktamad, namun berpandukan arah aliran soalan, pada tahun ini (2012), ada kemungkinan tema soalan akan beralih kepada peranan anak-anak. Oleh itu, saya mencadangkan supaya kita turut memberikan perhatian yang agak serius dalam aspek ini. Sebagai sumbangan, saya paparkan di sini beberapa soalan yang berkaitan, ihsan daripada modul saya edisi 2012. Paparan ini sebagai sumbangan untuk pelajar yang tidak memiliki modul. Kepada yang memiliki modul, anda boleh terus merujuk.
APA-APA PUN SAYA TIDAK MEMBERIKAN SEBARANG JAMINAN BAHAWA SOALAN YANG DIPAPARKAN INI PASTI KELUAR DALAM PEPERIKSAAN SPM 2012. KESEMUANYA ATAS DASAR USAHA DAN IKHTIAR SAHAJA.
Latihan
1 : Pelbagai masalah yang timbul dalam
keluarga seperti masalah kewangan, masalah anak-anak dan masalah yang
melibatkan ibu bapa itu sendiri. Keadaan ini menimbulkan stres kepada setiap
ahli keluarga.
Huraikan langkah-langkah
yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam menghadapi tekanan atau
stres ke arah melahirkan keluarga yang bahagia.
Pendahuluan
:
Tragedi-tragedi pelik seperti bapa mencurah asid ke muka anak, suami membunuh
isteri di tempat tidur, anak membunuh ahli keluarga dan pelbagai kerenah dalam
keluarga bagaikan menjadi suatu fenomena dalam masyarakat moden. Masyarakat
yang kononnya semakin bijak telah mula tenggelam punca dan sanggup melakukan
tindakan ganas di luar batasan. Pelbagai krisis yang melanda keluarga telah
menjadi anasir peledak sehingga keharmonian dalam rumah tangga bertukar menjadi
neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi mula melanda keluarga sehingga boleh
menimbulkan kesan kemurungan, halunisasi, dan gila. Memandangkan fenomena ini
boleh mengancam kesejahteraan institusi tertua di dunia itu, pelbagai langkah
menanganinya harus diambil dengan seberapa segera.
Isi
1 : Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu dan kemahiran yang
mencukupi sebelum anak-anak mengharungi alam berumah tangga – anak-anak
sudah mempunyai persediaan yang cukup – dapat menangani segala masalah dengan
tenang
Isi
2 : Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan rumah tangga
adalah suatu amanah dan ibadah – menjadi motivasi untuk melahirkan
sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera
Isi
3 : Memperlengkap ahli keluarga dengan imu pengetahuan dunia dan akhirat – ilmu
dunia sebagai alat untuk kesenangan hidup sementara ilmu agama sebagai
pengimbang dan kedamaian batiniah
Isi
4 : Menjalinkan perasaan mesra dan seronok sesama ahli keluarga –
mengetepikan perkara-perkara negatif yang boleh mencetuskan perasaan marah –
menikmati kehidupan berkeluarga ibarat syurga
Isi
5 : Memilih pihak ketiga sebagai pendamai – langkah
penyelesaian terakhir sekiranya masalah terlalu rumit – semua pihak hendaklan
mengetepikan ego masing-masing – menerima hakikat bahawa bukan semua masalah
harus diselesaikan bersendirian
Kesimpulan
:
Fenomena semasa yang semakin mencabar secara tidak langsung boleh mempengaruhi mod
dan emosi seseorang. Oleh itu, jikalau darah sudah mengalir ke mata, justeru
padahnya terlalu besar. Jangan dibiarkan dendam yang membara, sebaliknya setiap
masalah hendaklah diselesaikan dengan hemah dan pemikiran yang positif. Tiada
masalah yang tidak boleh diselesaikan ibarat, hendak seribu daya tidak mau
seribu helah.
Latihan
2 : Perasaan saling menyayangi dan
hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat membentuk keluarga yang penyayang.
Berikan pandangan
anda tentang peranan ahli keluarga dalam melahirkan keluarga yang harmoni dan
penyayang.
Pendahuluan
:
Kalangan bijaksana berpendapat bahawa, rumah ialah syurga kepada kehidupan dan
ada kalanya menjadi neraka. Pengertian daripada pendapat tersebut menerangkan
bahawa, rumahtangga menjadi nukleus utama yang dapat membentuk keluarga yang
bahagia mahupun di sebaliknya. Pelopor paling penting untuk melahirkan sebuah
keluarga harmoni dan bermawadah tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakari
nescaya eloklah keluarga yang dibina. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang
amat besar demi mencorakkan sebuah rumahtangga yang dilingkungi oleh rahmat dan
kasih sayang. Walau bagaimanapun, sokongan daripada anak-anak dan seluruh ahli
keluarga amat penting juga dalam melahirkan sebuah keluarga yang penyayang
Isi
1 : Menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan
seperti ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal yang negatif –
sentiasa memupuk kecenderungan untuk hidup yang diredai di dunia mahupun
akhirat
Isi
2 : Mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada
anak-anak –
anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat
dan saling menyokong
Isi
3 : Berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak –
melahirkan persekitaran rumah tangga yang harmoni, sepakat, dan memperoleh
berkat
Isi
4 : Anak-anak perlu patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang
dengan sikap anak-anak yang mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi
Isi
5 : Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga –
mendedahi anak-anak tentang cara hidup yang bermasyarakat dengan jalinan kasih
sayang
Kesimpulan
:
Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan penyayang lagi
cemerlang. Keluarga yang porak peranda memberi impak negatif kepada masyarakat
setempat. Oleh itu, persefahaman yang wujud dalam kalangan ahli keluarga dapat
membentuk masyarakat madani yang kompeten dan harmoni.
Latihan
3 : Aktiviti
riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana dapat
mengeratkan hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan badan.
Ulas pernyataan di
atas.
Pendahuluan
: Kehidupan pada hari
ini sungguh mencabar. Pelbagai cabaran yang mewarnai kehidupan kita. Bermula
dengan cabaran di dalam rumah tangga hinggalah cabaran di tempat kerja.
Pelbagai masalah yang kadang-kadang boleh memisahkan insan-insan tersayang.
Memandangkan kesibukan telah menjadi penghalang ikatan kasih sayang dalam
keluarga, justeru kesempatan mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi
bersama-sama keluarga amatlah digalakkan. Hal demikian bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan keluarga semula, malahan dapat mengekalkan kesihatan dan
kecergasan tubuh badan. Oleh hal yang demikian, setiap peluang keemasan untuk
bersama-sama keluarga beriadah dan berekreasi hendaklah diisi dengan sebaik
mungkin.
Isi
1 : Dapat mengikat tautan keluarga agar
lebih rapat – wujud sikap saling menolong dan saling menyokong.
Isi 2 :
Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang secara santai –
melupakan sejenak masalah dalam rumah tangga dan masalah di tempat kerja –
menyihatkan minda dan mengembalikan tenaga
Isi 3 :
Dapat menikmati keindahan dan kesaujanaan alam secara bersama –
bersama-sama mensyukuri akan rahmat Tuhan – saling bermuhasabah dan membuat
koreksi peribadi
Isi
4 : Berkongsi pendapat menyelesaikan
masalah
– apabila berhadapan dengan cabaran dalam masa aktiviti (dalam aktiviti riadah)
– saling menguji ketahanan, kekuatan dan ketabahan
Isi
5 : Aktiviti yang dapat meningkatkan
kualiti hidup – kesihatan fizikal dan mental – ketenangan dan
keseimbangan emosi – melahirkan zuriat yang sihat – cergas fizikal dan cerdas
minda
Kesimpulan
:
Keluarga ialah harta dan dalam masa yang sama menjadi teman penghibur serta
menyejukkan jiwa yang lara. Oleh itu, kesinambungan keluarga yang sihat, aktif
dan harmoni hendaklah dilestarikan agar hidup sentiasa riang dilingkungi oleh
keluarga yang bahagia dan harmoni.
Latihan
4 : Peranan
membentuk keluarga bahagia tidak hanya terletak di atas bahu ibu bapa
sahaja, sebaliknya menjadi tanggungjawab
semua ahli keluarga.
Tulis pendapat anda
tentang peranan ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang bahagia.
Pendahuluan
: “Air dicencang tidak akan putus, dan
carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada
peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan rapat yang berpaksikan darah daging tidak akan
dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan
tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi
kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa
tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua
anggota dalam keluarga.
Isi
1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih
sayang dalam kalangan ahli keluarga - keluarga sebagai
punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri
sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah
Isi
2 : Menjadi contoh teladan dan sumber
inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama
ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik
- membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran - meletakkan
asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan tingkah laku yang baik - mengutamakan
prinsip yang muda disayangi dan yang tua dihormati
isi
3 : Menyokong keluarga dalam bentuk
material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri
sendiri – membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai
langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat jalinan kasih dalam
kalangan adik-beradik
Isi
4: Menjalinkan hubungan yang erat dengan
keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus
silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni,
produktif, dan toleran
Kesimpulan
: Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran
dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman!
Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah dan
janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan
sebanyak-banyaknya”. Dengan yang demikian, jalinlah kasih syang dan silaturahim
demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
Latihan
5 : “Ke
manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi”.
Tulis sebuah
karangan berhubung dengan peribahasa tersebut.
Pendahuluan
: Kehidupan berkeluarga telah mendominasi dunia
sejak dari manusia mula mengenal keperluan terhadap pasangannya. Institusi
keluarga merupakan komuniti sosial yang paling tua di dunia dan mampu bertahan
hingga ke hari ini. Daripada sebuah keluarga akhirnya berkembanglah zuriat.
Zuriat yang lahir akan meneruskan tradisi warisan keluarga dan keturunan. Atas
faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan mewarisi tampang
fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada pewarisan zuriat yang
turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan, ke manakah tumpahnya
kuah jikalau tidak ke nasi.
Isi
1 : Anak sudah pasti mewarisi
pembawaan serta bentuk rupa paras daripada ibu bapa -
sekiranya ibu bapa
memiliki ciri-ciri personaliti yang baik, justeru anak-anak pun demikian -
anak-anak dikatakan pancaran daripada ibu bapa - anak-anak perlu menuruti semua
acuan yang baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa
Isi
2 : Pembentukan sahsiah dan perwatakan
anak-anak akan bermula di rumah - anak-anak akan mewarisi segala
tingkah laku dan tindak tanduk ibu bapa - budaya dan iklim dalam keluarga bakal
mewarnai setiap tindakan anak-anak
Isi
3 : Bakat besar yang ada kepada bapa atau
ibu hendaklah diwarisi oleh anak-anak – anak-anak hendaklah
menjadi ikon baik ibu bapa – teladan daripada ramai pemimpin dunia yang bakat
mereka diwarisi oleh anak-anak – anak-anak mesti mempertahankan imej baik yang
telah ditunjukkan oleh ibu bapa
Isi
3 : Anak-anak hendaklah bersikap terbuka
untuk menerima segala bimbingan daripada ibu bapa - anak
diibaratkan seperti sehelai kain putih semasa lahirnya, terletaklah kepada ibu
bapa untuk menentukan corak dan warnanya - amalkan sikap melentur buluh biarlah
semasa rebungnya – ibu bapa telah lama hidup dan banyak pengalaman yang
sewajarnya dituruti oleh anak-anak
Isi
5 : Turunan bakat yang dimiliki oleh ibu bapa
perlu diwarisi oleh anak-anak – anak-anak wajar berbangga kerana
bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa – cuba suburkan turunan bakat
(seni kraftangan, bidang seni lukis, seni tari. memasak dan ketukangan) yang
diwarisi secara turunan generasi – peribahasa ke mana tumpah kuah kalau tidak
ke nasi
Kesimpulan
: Baka dan keturunan adalah suatu kejadian
Allah yang paling unik. Tiada sesiapapun yang mampu mengubah suai ciptaan Tuhan
yang sungguh agung itu. Oleh yang demikian, kita sewajarnya menjaga zuriat dan
keturunan daripada tercemar daripada pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan
darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang rapat antara ibu bapa dan
anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan yang baik terus produktif,
ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
Latihan
6 : Anak-anak boleh membantu ibu bapa
dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga.
Tulis pendapat anda
tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak.
Pendahuluan
: Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang
tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga terlalu getir. Kegetiran
tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan
mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan
makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia
masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara
pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita.
Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun amaran seperti itu perlu
diambil serius agar dapat menyediakan payung sebelum hujan. Bagi mendepani
keadaan darurat seperti itu, setiap ahli keluarga haruslah mempunyai pelan
tersendiri untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa krisis seperti itu.
Isi
1
: Mengamalkan latihan berjimat cermat - amalan
yang harus dipupuk sejak kecil - memupuk nilai-nilai murni dalam keluarga
seperti menyayangi harta benda, berbelanja secara berhemat, dan menjauhi amalan
boros
Isi
2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan - penyimpanan melalui
institusi kewangan dan pelaburan saham - berjimat cermat sewaktu senang dengan
memperuntukkan lebihan belanja untuk simpanan – hayati budaya masyarakat silam menyimpan
wang di dalam tabung buluh
Isi
3 : Anak-anak hendaklah memahami kemampuan ibu bapa - tidak
meminta-minta sesuatu yang berlebih-lebihan - tidak melampau dan meniru cara
hidup rakan-rakan di luar
Isi
4 : Tidak terlalu terpengaruh dengan umpan kebendaan dan berbelanja di luar
kemampuan - keinginan untuk hidup bergaya melebihi kemampuan - cepat
terpengaruh dengan pelbagai iklan dan pujukan atau tawaran jualan
Isi
5 : Tidak terpengaruh dengan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk - elakkan
sifat meninggi diri mahu bersaing dengan jiran dan tetangga
Sampel
kesimpulan : Pendidikan
daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap
yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa
menanggung beban terutama dalam krisis
gawat seperti ini. Janganlah sudah terhantuk baru hendak menengadah.
Oleh itu, rancanglah strategi perbelanjaan secara berhemat dalam erti kata
hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.
Latihan
7 : Setiap anak menjadi harapan
keluarga. Menyedari hakikat tersebut, anak-anak harus mempersiapkan diri untuk
menggalas tanggungjawab terhadap keluarga.
Tulis persediaan-persediaan
yang perlu anak-anak lakukan.
Pendahuluan
:
Anak-anak ialah cahaya mata yang menjadi
buah hati pengarang jantung kepada kedua-dua ibu dan ayah. Dengan kelahiran
seseorang anak, kehidupan ibu dan bapa menjadi lengkap dan sempurna. Apatah
lagi apabila anak yang dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta menjadi
insan yang berguna. Sebagai anak-anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka hendaklah
bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung. Elakkan
daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa kerana dosa
yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap anak
dituntut membuat persediaan sama ada mental, fizikal dan sahsiah yang baik agar
harapan ibu bapa terutama apabila menjelang usia emas mereka tidak dikecewakan.
Isi
1 : Menjadi anak yang patuh dan taat
kepada perintah Allah SWT – insan yang bertakwa sentiasa melakukan
kerja-kerja yang baik seperti menghormati ibu bapa – tidak melakukan
kerja-kerja yang terkutuk yang boleh menjejaskan maruah ibu bapa
Isi
2 : Menjadi anak yang luhur pekerti dan
bermoral tinggi – pekerti dan moral menjadi piawai seseorang itu
dipandang mulia – tidak mudah terjebak dalam angkara yang merosakkan masa depan
– menjadi imej (pancaran) hati nurani ibu bapa
Isi
3 : Berusaha dengan gigih demi jaminan
masa depan
– mengisi dada dengan ilmu, mempelajari pelbagai kemahiran sebagai jaminan
memperoleh kerjaya yang baik – bercita-cita membalas budi ibu bapa
Isi
4 : Menjalinkan hubungan mesra dan
mawaddah dengan adik-beradik dan kaum keluarga – mewujudkan
keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek material mahupun
moral
Isi
5 : Bercita-cita menjaga ibu bapa
apabila tiba saat-saat akhir mereka – maksud daripada
firman Allah, “Akan gugur dosa seseorang anak apabila dia dengan ikhlas menjaga
ibu dan bapanya hingga ke akhir hayat” -
tindakan membalas budi ibu bapa yang amat besar nilainya di sisi Tuhan.
Kesimpulan
: Meminjam kata-kata daripada orang-orang lama
bahawa, betapa kasihnya seseorang ibu kepada anaknya hatta seekor lalat pun
tidak dibenarkan hinggap ke tubuh si anak. Demikianlah pengorbanan besar ibu
bapa terhadap seseorang anak. Oleh itu, sikap yang sama wajar dikembalikan oleh
anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa yang melahirkan dan
membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang gantinya sebatang sungai
emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah untuk menjadi seorang
anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat mereka bergantung.
Latihan
8 : Harapan ibu bapa terhadap anak-anak
amatlah besar. Walau bagaimanapun terdapat kes-kes seperti kacang melupakan
kulit.
Pada pendapat anda,
mengapakah wujud anak-anak yang bersikap demikian.
Pendahuluan
: Alam berumah tangga menjadi cukup berseri
dengan kehadiran cahaya mata. Si ibu dan si ayah akan segera mencapai
kematangan dan mula mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan si anugerah
daripada Tuhan itu. Itulah anak yang menjadi harapan kepada ibu bapa sama ada
di dunia mahupun di akhirat. Berbahagialah kedua-dua ibu bapa sekiranya anak
yang dilahirkan menjadi insan soleh, cemerlang dan tidak tersasar daripada asal
usul. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga ibu bapa yang terpaksa menempuh
hari-hari emas mereka akibat dipinggirkan oleh anak-anak yang tidak berhati
perut umpama kacang lupakan kulit. Sebenarnya, banyak faktor yang boleh
dijustifikasikan sehingga wujud anak-anak seumpama itu.
Isi
1 : Anak-anak yang cepat lupa daratan – lupa
asal usul lalu menjadi anak derhaka – tidak mahu berkorban untuk ibu bapa yang
telah banyak berkorban untuk mereka
Isi
2 : Anak-anak tidak mempedulikan halal
haram
– jahil agama – tidak menghayati balasan syurga adalah dengan reda ibu bapa
Isi
3 : Anak pascamoden yang terlalu leka
dengan kebendaan – mengejar keselesaan dunia – menganggap ibu bapa
sebagai beban – sengaja membiarkan ibu bapa menderita di desa pedalaman yang
daif
Isi
4 : Sikap ibu bapa sendiri –
segelintir ibu bapa yang tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap anak-anak –
lalai dengan keseronokan – tidak sedar akan nasib pada hari itua
Isi
5 : Masalah kebobrokan dan rumah tangga
ibu bapa yang berantakan – berlaku perceraian – anak-anak hidup
terbiar dan melarat – anak-anak membawa haluan masing-masing – hilang mawaddah
terhadap ibu bapa.
Kesimpulan
:
Sudah menjadi resam dunia, hidup ibarat putaran roda. Demikianlah tentang
hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Andai ibu bapa melaksanakan tanggungjawab
dengan penuh ikhlas terhadap anak-anak, insya-Allah balasnya akan baik juga.
Malang sekali keadaan yang berlaku adalah amat berbeza. Oleh itu, antara ibu
bapa dan anak-anak seyogia laksanakan tanggungjawab masing-masing semoga hidup
memperoleh rahmat daripada Allah SWT.
Soalan
9 : Ramai remaja pada hari ini yang
bertindak di luar batasan sehingga memalukan ibu bapa. Perbuatan tersebut telah menimbulkan pelbagai
kesan buruk kepada ibu bapa.
Bincangkan.
Pendahuluan
: Belakangan ini, pelbagai isu yang melibatkan
remaja sering menjadi topik perdebatan utama. Sama ada di dada-dada akhbar mahupun
yang terpancar melalui kaca televisyen, isu panas yang berkaitan tingkah laku
remaja tetap menjadi sajian yang meloyakan. Cerita-cerita tentang pergaulan
bebas, merempit dan melepak, menagih dan jenayah semakin meningkat hari demi
hari. Sementara itu, ibu bapa terpaksa
menanggung malu akibat tidak tertahan dengan gelagat anak-anak. Adakah mereka
tidak dididik dengan sempurna? Ke manakah pergi ibu bapa mereka? Sebenarnya,
soalan-soalan seumpama itu terlalu acap kita dengar. Walau bagaimanapun, amatlah
tidak adil untuk menyalahkan ibu bapa semata-mata kerana tindakan keji
anak-anak muda hari ini sudah keterlaluan dan turut memalukan induk sendiri.
Isi
1 : Ibu bapa menderita dan sedih kerana menanggung malu –
kecewa apabila anak yang dididik dan dibelai semasa kecil telah menconteng
arang ke muka mereka – melakukan pelbagai perbuatan keji dan lupa daratan
Isi
2 : Ibu bapa disisih dan dipandang
serong oleh masyarakat – berdepan dengan pelbagai tuduhan (tidak
pandai mengajar anak dan menyusahkan masyarakat) – mengalami masalah untuk
berinteraksi dan bercampur gaul dalam masyarakat
Isi
3 : Ibu bapa mengalami kesan trauma dan
fobia dengan tindakan ganas oleh anak-anak – berlaku kes anak
yang menagih dadah mencekik dan memukul ibu – takut situasi sama berulang
Isi
4 : Ibu bapa dipanggil ke balai polis –
diminta mengikat jamin anak yang terlibat dengan perbuatan jenayah – mengalami
tekanan perasaan dan malu
Isi
5 : Hilang tempat bergantung –
menghadapi hari-hari tua yang hambar, takut dan mengecewakan – menghembuskan
nafas yang terakhir dalam kekecewaan (ditamsilkan mati pejam tidak rapat)
Kesimpulan
: Alangkah bahagianya bagi seseorang ibu atau
bapa yang pada saat-saat akhir perjalanan mereka dikelilingi oleh anak-anak dan
cucu. Ada bacaan ayat-ayat suci mahupun doa yang ditiupkan di sisi telinga oleh
anak-anak yang soleh. Namun, malang sekali nasib sebilangan ibu bapa yang
terpaksa manelan kepahitan akibat perbuatan anak-anak yang tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, wahai para remaja andai sesat di hujung jalan
baliklah ke pangkal jalan.
Soalan
10 : Sokongan daripada anak-anak amat
penting dalam usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan
ceria.
Bincangkan pendapat
anda tentang sumbangan yang boleh anak-anak berikan untuk mencapai matlamat di
atas.
Pendahuluan
: Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua
orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua ibu bapa. Namun
demikian, tidak semua hasrat tersebut mencapai matlamat. Ada yang kecundang dan
terbentur di tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa menyimpan
hasrat yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu membalas
budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat
keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah berperanan penting
untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang bahagia dan kondusif.
Isi
1 : Patuh dan hormat kepada kedua-dua
ibu bapa
– tidak melawan dan menyanggah cakap ibu bapa – tunaikan dan penuhi segala
hasrat mereka – tidak melakukan aktiviti yang boleh menyekitkan hati ibu bapa
Isi
2 : Menjalinkan hubungan yang akrab
sesama anggota keluarga – bercakap secara hormat dan lemah lembut
sesama saudara mara – tidak bersikap ego dan mementingkan diri sendiri
Isi
3 : Merancangkan perjumpaan keluarga
secara berkala – bersama-sama pulang ke induk – kesempatan pada cuti
hujung minggu, cuti am, dan musim perayaan – menganjurkan aktiviti mesra
keluarga seperti makan bersama-sama
Isi
4 : Mengadakan program fizikal dan
kerohanian secara bersama – aktiviti riadah, gotong royong dan solat
berjemaah – ziarah
Isi
5 : Menjalinkan hubungan persaudaraan
dengan sanak saudara sama ada di sebelah ibu mahupun bapa –
memperluas rangkaian kaum keluarga – membantu yang memerlukan dan menyokong
usaha memajukan tabung ekonomi keluarga
Kesimpulan
: Keluarga bahagia merupakan teras masyarakat
yang maju dan harmoni. Masyarakat yang harmoni dan dinamik bermula daripada
sistem keluarga yang teratur dan sejahtera. Oleh itu, setiap keluarga sama ada
keluarga nukleus mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan kehidupan yang
saling menyokong dan bertoleransi.
Latihan
11 : Anak-anak
remaja hari ini dikatakan sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan amalan ke
dapur telah menjadi warisan turun-temurun.
Bincangkan pendapat
anda tentang peranan ibu bapa untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam
kalangan anak-anak.
Pendahuluan
:
Menghayati lirik lagu klasik yang berbunyi, “Anak dara kalau menyanyi di dapur,
alamat mendapat suami tua”. Walaupun kata-kata tersebut agak sinis untuk
menasihati anak-anak gadis supaya lebih bersopan, namun di sebalik kata-kata
tersebut mengandung hakikat bahawa anak-anak perempuan sangat sinonim dengan
kerja-kerja di dapur terutama memasak. Sejak fasa silam lagi nilai diri
seseorang turut diukur berdasarkan kecekapannya menguruskan hal-hal di dapur.
Sebaliknya, selepas melalui beberapa peringkat pemodenan, anak remaja sama ada
perempuan atau lelaki amat liat untuk ke dapur. Fenomena ini jelas menunjukkan
gejala ketandusan budaya tradisional. Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun
ini pupus ditelan arus pemodenan, ibu bapa hendaklah memainkan peranan hakiki
untuk melatih anak-anak agar mesra ke dapur.
Isi
1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah – rumah sebagai
paksi membentuk peribadi anak-anak - ibu bapa hendaklah membudayakan amalan
tradisional – membiasakan anak-anak dengan latihan memasak, mengemas rumah –
ibu bapa hendaklah menjadi role model dan kepimpinan melalui teladan –
memanfaatkan cuti sekolah untuk melatih anak-anak
Isi
2 : Kurangkan tabiat suka makan di luar – anak-anak berasa
tiada keperluan untuk masuk ke dapur – tiada peluang untuk mendidik anak-anak
secara formal
Isi
3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang –
ketika semua ahli keluarga bertemu – ibu hendaklah mengajak anak-anak masuk ke
dapur – anak-anak perlu belajar dan membantu si ibu di dapur – memberi peluang
anak-anak mencuba resipi mereka – anggota keluarga hendaklah memberikan
kerjasama dan memberi penghargaan
Isi
4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin – dengan disiplin
anak-anak mudah menerima tunjuk ajar - setiap anak hendaklah diberikan tugas
yang sepadan – tidak wajar ada yang terlalu berat tugasan dan ada yang berehat
panjang (menunggu makanan terhidang ke lutut
Isi
5 : Memberi motivasi kepada anak-anak – anak-anak perlu
diberikan semangat dan dorongan dari awal - menyediakan bahan bacaan yang
berkaitan dengan rumah tangga (majalah Anjung Seri, Majalah Laman, Saji, Didik,
Muslimah dan pelbagai bentuk perisian CD/DVD) – membuka minda anak-anak
mengikuti teladan daripada ikon keluarga yang berjaya
Kesimpulan :
Pepatah Melayu yang menyatakan, anak gadis walau setinggi mana sekalipun
ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa konotasi yang negatif. Sebaliknya,
maksud yang tersirat adalah untuk mengilhamkan setiap individu akan kepentingan
menghidupkan suasana kekeluargaan yang harmoni dan jannati. Seyogia, sebelum
tradisi dan budaya murni ini luput, wajarlah semua pihak terutama ibu bapa
mendidik anak-anak semula ke landasan yang betul.
Latihan
12 : Anda
telah memenangi peraduan menulis esei yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat di tempat anda. Tajuk esei yang anda pilih ialah, “Permata Hatiku
Sayang”.
Tulis esei tentang
siapakah anak yang dikatakan Permata Hati?
Pendahuluan
: Anak adalah menjadi buah hati pengarang
jantung kepada ibu bapa. Anak sebagai anugerah yang bakal menyerikan kehidupan
berumah tangga. Disebabkan kehadiran mereka terlalu bermakna kepada kedua-dua
ibu bapa, justeru anak digelar cahaya mata. Anak yang dibelai dengan penuh
kasih sayang serta diberikan ilmu pengetahuan mampu menjadi insan yang berguna.
Mereka pasti menjadi anak-anak yang pandai membalas budi ibu bapa. Sebenarnya, inilah
anak-anak yang menjadi impian ibu bapa dan disebut permata hati.
Isi
1 : Anak yang patuh akan perintah Allah
SWT dan menyayangi ibu bapa - sentiasa
taat akan perintah Allah – meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan melaksanakan segala perintah yang baik –
sntiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa
Isi
2 : Anak-anak yang bermotivasi tinggi –
berazam mahu mencapai kejayaan di hari muka – gigih berusaha
dan belajar – ingin membalas jasa ibu bapa dengan menghadiahi mereka kejayaan
Isi
3 : Anak yang cemerlang akhlak dan
moralnya – sentiasa menjaga nama baik keluarga – berhati-hati
dalam sebarang tindakan dan kelakuan – tidak mahu maruah ibu bapa tercemar –
hormat akan orang tua, kaum keluarga dan jiran tetangga
Isi
4 : Anak yang ikhlas mahu mengambil
tanggungjawab menjaga ibu bapa yang telah tua dan uzur - mengambil peluang untuk membalas
jasa ibu bapa ketika mereka sangat memerlukan kehadiran anak-anak – faham akan
tuntutan bahawa semua dosa anak terhadap ibu bapanya akan terhapus apabila si
ibu atau bapa mati di bawah jagaan anak tersebut
Kesimpulan
: Mafhum daripada sepotong Hadith Rasulullah
dengan maksudnya, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah
segala amal baiknya, kecuali tiga yang masih tinggal. Ketiga-tiga yang tersebut
ialah sedekah kepada golongan yang memerlukan, ilmu yang bermanfaat yang
diajarkan, dan anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu
bapa mereka”. Demikianlah betapa besarnya erti kehadiran anak-anak sama ada
semasa hidup mahupun setelah mati.
Latihan
13 : Keluarga memainkan peranan penting
dalam pembentukan amalan gaya hidup sihat.
Beri pendapat anda.
Pendahuluan
:
Gejala serangan pelbagai penyakit yang menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan
ini amat dibimbangi oleh warga dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI,
HINI, Aids dan pelbagai penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia
pada dekad-dekad belakangan ini. Selain wabak yang bersekala besar seperti itu,
ancaman kesihatan yang bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit
kronik masih membelenggu masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah
digemblengkan oleh WHO dan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani
ancaman gejala penyakit, namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan
apabila semua pihak sentiasa prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat
sebagai keutamaan. Inisiatif seperti itu
hendaklah turut disokong oleh institusi keluarga selaku penggerak utama
pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.
Isi-isi
cadangan : (Peranan yang boleh dimainkan
oleh keluarga)
Isi 1: Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan
penting setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai
suatu budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada
mengubati.
Isi 2: Memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga –
kesihatan amat berkait rapat dengan kedudukan kewangan untuk menangani segala
keperluan asas
Isi 3: Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam
keluarga – keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – bahan
bacaan, kempen, dan amalan harian
Isi 4: Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada
makan untuk kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan
dalam piramid makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal (
berpegang kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang
baik dan berkhasiat)
Isi 5: Mengamalkan rutin kesihatan – tidur yang
cukup. Senaman yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadapa segala
serangan penyakit.
Isi 6: Peka terhadap kejahteraan dan kebersihan alam
sekitar – berpegang kepada kesejahteraan alam sebagai penjanan hidup sihat.
Isi 7: Peka terhadap keperluan masyarakat dan negara
– masyarakat yang harmoni negara dan jaya dan hidup sejahtera..
Kesimpulan
: Mafhum daripada sepotong Hadith Nabi yang
bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit” benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan merupakan aset besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan
tamadun. Dalam merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga
hendaklah menjadi paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup
sihat yang sentiasa dicanang-canangkan.
Latihan
14 : Keluarga
sepatutnya menjadi institusi yang selamat. Namun begitu kejadian penderaan
kanak-kanak oleh ahli keluarga masih berleluasa.
Berikan saranan
anda tentang peranan institusi keluarga bagi membanteras gejala ini.
Pendahuluan
: Anak sebagai amanah Allah. Anak juga sebagai
anugerah kerana terdapat orang yang tertentu yang terlalu berhajatkan kepada
anak tidak diberikan zuriat, sebaliknya ada pula yang memiliki terlalu ramai
anak sehingga tidak terjaga. Anak-anak yang dibela jaga dengan baik akan
menjadi penyeri dalam kebahagiaan rumah tangga. Anak juga menjadi sumber
motivasi untuk ibu dan bapa berusaha dengan lebih gigih untuk membahagiakan
rumah tangga yang dibina. Alangkah rukun damainya sesebuah rumah tangga apabila
dikurniakan anak. Namun belakangan ini entah apalah yang telah merasuk
sebahagian kecil manusia sehingga mereka tergamak mendera, mencederakan, malah
ada yang sanggup membunuh darah daging sendiri. Seandainya fenomena ini tidak
ditangani segera, dibimbangi banyak lagi insiden yang di luar jangkaan akan
berlaku. Dalam hal ini institusi keluargalah yang lebih diberikan peranan untuk
membanteras gejala pagan seperti itu agar tidak melarat.
(langkah-langkah
membanteras)
Isi
1: Mengutamakan agenda kasih sayang
dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan matlamat membina
sesebuah keluarga
Isi
2: Membina kesedaran yang tinggi dalam
kalangan anggota keluarga bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak-anak
kecil
– menjadikan kehadiran seseorang bayi sebagai penambat kasih sayang – setiap
anggota dalam keluarga faham akan tanggungjawab masing-masing
Isi
3: Mendalami ilmu dan kemahiran
keibubapaan – setiap pasangan dikehendaki menghayati betul-betul
kemahiran tersebut sebelum boleh mendirikan rumahtangga – ilmu yang meliputi
persediaan mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan dengan insan kecil
Isi
4: Menghayati ilmu agama dan pendidikan
moral yang sempurna – kesedaran terhadap tanggunjawab agama
dan ketuhanan boleh mencegah manusia mudah dirasuk syaitan – penghayatan moral
membolehkan seseorang menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai
sejagat
Isi
5: Mendidik sifat prihatin dan sensitif
ahli keluarga terhadap keselamatan kanak-kanak – tidak memberikan
kesempatan ahli keluarga yang lain terus menerus mendera – mengambil tindakan
pantas mencegah, melapor, dan menyelamatkan kanak-kanak yang didera.
Isi
6: Memperkukuh jalinan kejiranan –
setiap anggota keluarga hendaklah dididik supaya menghormati jiran – jiran yang
rapat dapat membantu dalam segala tindakan sama ada susah atau senang.
Kesimpulan
: Sesungguhnya keluarga merupakan nukleus untuk
melahirkan insan madani yang mampu memberikan sumbangan berguna kepada
masyarakat dan negara. Kejayaan sesebuah
negara adalah bergantung penuh kepada modal insan yang cemerlang sama ada dalam
aspek mental mahupun fizikal. Oleh yang demikian, keluarga amatlah
bertanggungjawab untuk menghalang segala anasir yang mendorong kepada gejala
penderaan agar masyarakat terus harmoni dan
negara sejahtera.
HARAPAN > SELEPAS MEMBACA SOALAN-SOALAN INI DAN MENDAPATI PAPARANNYA RELEVAN, BERKATALAH ANDA, "TERIMA KASIH CIKGU ISHAK" - HAH, HAHA.....
Thank you
ReplyDeleteTerima kasih cikgu.
ReplyDeleteTerima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Ishak. Lawatlah blog saya untuk berkongsi BBM.
ReplyDeletehttp://cikgu-yen-sui-len.webnode.com/
terima kasih cikgu Ishak
ReplyDeletecikgu macam mana nak buat karangan tentang kebudayaan tradisional semakin tidak dipedulikan
ReplyDeletejelaskan tanggungjawab keluarga untuk menghidupkan kebudayaan trdisional semula.
cikgu ishak mcm buat karangan ni?
entri yg membantu. terima kasih cikgu ishak..
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete