Tuesday, April 24, 2012

PANDUAN OLAHAN ISI KARANGAN

Assalamualaikum,
     Sebelum kita membuka kalam dalam biacara kali ini, marilah kita renungkan kata-kata Pak Hamka dalam nasihatnya tentang erti kasih sayang. Antaranya;

Kasih sejati ialah kasih Allah kepada hamba-Nya
Kasih yang murni ialah kasih ibu bapa kepada anaknya
Kasih saudara masa berada
Kasih sahabat sama binasa
Kasih suami/isteri sama sepenanggungan
Kasih orang menaruh harapan.

SOALAN : SEJAUH MANAKAH KASIH ANDA KEPADA ILMU?

Dalam bicara wacana pada kali ini, saya mahu mengalih kepada langkah-langkah penting dalam mengolahkan isi karangan pula. Dalam pengertian umum, isi karangan ialah badan karangan yang tersimpan di dalamnya, fakta-fakta, hujah, data sokongan, dan idea yang berfungsi menerangkan kehendak soalan. EMPAT mekanisme penting dalam isi karangan adalah seperti yang berikut ini:

(i)     Isi Utama - Isi utama lahir daripada gabungan antara tema dan fokus. Seterusnya IU akan berfungsi sebagai ayat judul kepada isi dalam perenggan tersebut.
(ii)    Huraian - Huraian ialah beberapa ayat yang menjadi olahan tentang IU. Keperluan huraian adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas maksud IU.
(iii)    Contoh - Contoh merupakan sumber rujukan yang dapat memperkukuh hujah dan fakta yang diberi. Tahap kematangan pelajar dapat diukur berdasarkan keupayaan mereka membuat adaptasi contoh yang relevan dengan IU. Kaedah terbaik mengemukakan contoh adalah dengan menyerapkannya ke dalam ayat huraian. Cara mudah untuk mengemukakan contoh, pelajar boleh memilih 3 formula huraian yang lazim iaitu (APA), (SIAPA), dan (DI MANA).
(iv)  Pelengkap Wacana (PW) - PW ialah item terakhir dalam olahan isu yang berperanan sebagai penyantun kepada perenggan tersebut. Ada juga kalangan guru yang menyebut PW sebagai kesimpulan kecil sahaja. *Para pelajar dinasihatkan supaya jangan keliru dengan istilah.

     Cara mudah untuk mengadaptasikan PW terdapat dalam 3 sumber;

     i.   Menyimpulkan semula PW tersebut dengan IU
    ii.   Menyimpulkan semula PW dengan tema soalan
   iii.   Menyimpulkan semula PW dengan memetik sumber-sumber petikan (peribahasa, kata hikmat dan sebagainya).

Sebagai bahan latihan anda dalam siri kali ini, sila tulis sebuah karangan daripada rangka isi yang saya petik dengan ihsan daripada modul modul saya, ModulPembelajaran Kendiri Edisi 2012 muka surat 53. Cuba olahkan isi karangan anda dengan menggunakan panduan di atas.

Latihan 1



                        Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
 
 
 

Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk merealisasikan cabaran tersebut.

Pendahuluan : Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran agar kita insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah  untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta. Sesungguhnya, di atas batu jemala kitalah terletak tanggungjawab besar sejajar dengan slogan, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.


Isi 1 : Bersedia menjadi orang muda yang beriman dan bertakwa kepada Allah – ketakwaan menjadikan kita lebih patuh, bersedia dan tinggi motivasi – kita mempunyai garis panduan dan hala tuju yang jelas

Isi 2 : Memperlengkap diri dengan pakej fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang baik – memenuhi prakarsa untuk memperlengkap diri sebelum boleh memberikan sumbangan

Isi 3 : Memanfaatkan usia muda untuk berjuang di medan ilmu – memperlengkap diri dengan ilmu yang strategik dengan tuntutan masa – belajar tanpa jemu dan mesti cemerlang

Isi 4 : Mengenali potensi diri – memilih bidang kemahiran dan profesional yang sesuai dengan bakat dan minat – sebagai set lengkap yang digabungjalinkan dengan ilmu bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja

Isi 5 : Insaf akan tanggungjawab menyelamatkan negara – bersemangat waja dan berjiwa patriotik – utamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri dan kelompok

Isi 6 : Menjauhkan diri daripada anasir perosak – gejala samseng, dadah, berpelisiran dan sampah masyarakat  – sikap buruk yang menjadi beban kepada negara

Kesimpulan :

Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Kecil-kecil ditimang ibu
Sudah besar ditimang gelombang

Demikianlah erti sebuah kehidupan yang menuntut banyak perjuangan dan pengorbanan. Oleh itu, kita harus bersedia untuk berhadapan dengan gelombang kehidupan yang kadang-kadang lebih mencabar daripada gelombang di tengah segara. Bukan senang untuk menjadi warga yang berguna kepada bangsa, agama dan negara, justeru kita dituntut untuk melakukan persediaan yang rapi.


ANDA AKAN MEMPEROLEH 55 SOALAN AKTIVITI KENDIRI SEPERTI INI SEKIRANYA MEMILIKI MODUL SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN. HUBUNGI SAYA UNTUK TEMPAHAN (TEL. 0194789803)

No comments:

Post a Comment