Monday, January 30, 2012

SELAMAT KEMBALI DALAM EDISI 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

     Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan umur saya dengan limpah rahmat sihat dan tenteram.
APA KHABAR RAKAN-RAKAN DI LUAR SANA? SEMOGA 2012 MENATIJAHKAN KITA BERJAYA DALAM SEGALA NIAT DAN HASRAT, INSYA-ALLAH.

Sudah 2 bulan saya menyepi diri. Menyepi bukan sebab merajuk. Merajuk orang tua tak ada apa-apa makna. Muka saja yang akan nampak huduh. Sebenarnya, saya amat sibuk menyempurnakan modul bimbingan mengarang untuk edisi 2012. Sekarang sudah dalam percetakan. Insya-Allah kalau tiada apa-apa aral 15 Februari nanti saya lancarkan.

    Dalam penampilan sulung ini, saya ingin berkongsi maklumat tentang soalan BM Kertas 1 SPM 2011.

SOALAN 1 :
Setiap individu perlu mempunyai wawasan untuk mencapai cita-citanya.

Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita anda

Ulasan : Soalan ini sangat ringkas dan mudah difahami oleh calon. Kehendak soalan atau fokus isi jawapan pun ringkas juga iaitu tentang usaha-usaha individu untuk mencapai hasrat dan impiannya. Lihat ringkasan soalan;

Dimensi :  Diri
Isu  :         Cita-cita atau wawasan individu
Tema/teras :  Merealisasikan matlamat/cita-cita agar menjadi kenyataan
Fokus isi   Langkah-langkah / usaha yang individu harus laksanakan.

Panduan menjawab :  Calon dikehendaki menulis sebuah karangan tentang usaha individu supaya hasrat dan cita-cita yang terpendam boleh berjaya. Semua sumber maklumat dan fakta hendaklah merujuk kepada diri sendiri. 
Sementara itu, laras bahasa juga hendaklah merujuk gaya bahasa keakuan atau laras individu. Dalam kenyataan yang mudah, ketepatan karangan akan menyimpang sekiranya ada unsur luar yang dimasukkan sebagai isi utama dalam karangan ini. Lihat panduan isi-isi utama :
1 . Selalu berdoa dan yakin kepada Allah
2 . Memperlengkap diri dengan ilmu dan kemahiran
3 . Mendalami selok belok tentang kerjaya atau matlamat impian anda
4 . Merujuk, bertanya dan mendekati golongan yang pakar dalam bidang yang dihajati
5 . Memberi fokus yang paling tuntas terhadap impian dan cita-cita tersebut.

Untuk makluman pelajar sekalian, sampel karangan lengkap tentang soalan ini telah saya masukkan dalam bab sampel karangan terpilih, modul saya edisi 2012. Sila dapatkan contoh lengkap bersama-sama sampel yang lain lagi dengan merujuk modul saya.

Sekian terima kasih. Jumpa lagi dalam segmen yang akan datang.

No comments:

Post a Comment