A . Konsep Pendahuluan
Pendahuluan diumpamakan pintu masuk utama kepada perkembangan idea. Pendahuluan yang baik mestilah boleh menjadi pembuka jalan dan memberi gambaran awal tentang konsep dan fakta yang dibincangkan terutama dalam bahagian isi. Oleh itu, dalam satu set pendahuluan yang lengkap, aspek-aspek yang berikut ini hendaklah diutamakan.
(i) Membuat olahan yang menarik untuk mengutarakan isu soalan
(ii) Mengemukakan tema yang tepat (rujuk konsep tema dalam siri yang lalu)
(iii) Mesti membuat pernyataan tentang fokus isi jawapan seperti yang diarahkan dalam soalan.
B . Teknik Menggayakan Olahan Isu
Teknik menggayakan isu atau yang lazim disebut oleh pelajar sebagai 'intro' ialah teknik terbaik untuk menampilkan idea. Langkah ini penting agar dapat memberikan sentuhan awal yang menarik kepada pemeriksa. Dengan perkataan yang lain, apabila pemeriksa selesai membaca pendahuluan, beliau sudah boleh membuat tanggapan awal tentang isu yang akan dibincangkan nanti.
Secara lazim terdapat pelbagai gaya untuk memperoleh pendahuluan yang manarik. Gaya/teknik memulakan pendahuluan tersebut adalah seperti yang berikut ini:
(i) Teknik olahan untuk menimbulkan sesuatu gambaran
(ii) Teknik rujukan/memetik sesuatu pernyataan yang boleh dihubungkaitkan dengan isu dan tema soalan. Terdapat banyak unsur petikan yang boleh digunakan sebagai modal untuk memulakan pendahuluan yang menarik. Petikan boleh diambil daripada pendapat tokoh, pernyataan seperti ayat-ayat suci al Quran, Hadith, kata-kata tokoh, dan sebarang pernyataan yang boleh dianggapkan sebagai kata-kata hikmat.
(iii) Teknik membuat definisi
(iv) Teknik rujukan daripada sumber sejarah dan banyak lagi. Pendek kata pelbagai cara yang boleh digayakan oleh calon untuk
Sila perhatikan sampel pendahuluan di bawah - RUJUK MODUL MS 45
SOALAN : Melayari laman bersembang, SMS, MMS, permainan video, dan keluar malam adalah antara kegiatan negatif paling digemari remaja masa kini. Sebagai remaja, anda sedar aktiviti seperti ini amat merugikan.
Ulaskan pendapat anda tentang punca-punca gejala ini dan kesannya.
Sampel pendahuluan : Setiap perubahan tentang gaya hidup amat berkait dengan perubahan dalam bidang teknologi dan perubahan dalam gaya berfikir. Apabila dunia mula menginjak perubahan berdasarkan kuasa teknologi dan komunikasi, justeru trend manusia pun turut berubah. Jikalau dalam dekad awal pascaPerang Dunia, corak hidup lebih berfokus kepada mempertingkatkan daya saing ekonomi, justeru ilmu pengetahuanlah yang menjadi agenda terpenting. Sebaliknya, selepas lima dekad manusia mula meneroka pelbagai teknologi, justeru pengaruh teknologi benar-benar memberikan kesan terhadap corak berfikir dan bekerja. Antara capaian yang terpenting ialah teknologi digital dan komunikasi. Pelbagai sesawang dan rangkaian berjaya dipacu untuk menjadikan dunia tanpa sempadan lebih canggih. Namun, di sebalik pelbagai kemajuan, tidak kurang juga gejala negatif mula melanda terutama dalam kalangan generasi muda. Pada hari ini wabak kegilaan berkomunikasi dengan pelbagai kemudahan internet dan telekomunikasi yang menyerang remaja semakin merungsingkan ramai pihak. Bahana ini sudahlah pasti timbul daripada pelbagai kerenah dan akhirnya menimbulkan pelbagai kesan negatif pula.
Ulasan tentang teknik pendahuluan di atas : Teknik pendahuluan ini adalah dari jenis gambaran semasa. Gambaran yang diambil adalah daripada situasi semasa yang diwarnai perubahan dalam teknologi komunikasi.
SEKIAN UNTUK SIRI INI. KITA BERJUMPA DALAM SIRI YANG AKAN DATANG
No comments:
Post a Comment