Tidak sampai 72 jam lagi, SPM yang anda nanti-nantikan bakal menemui setiap calon yang tidak sabar-sabar untuk membuktikan kebolehan masing-masing. Mengapakah anda menjadi calon SPM? Anda menjadi calon kerana anda sudah mampu untuk menjawab semua soalan setelah anda benar-benar matang selepas 11 tahun dalam alam persekolahan. Adakah anda takut? Sudah pasti tidak. Tidak sama sekali.
Sesungguhnya, anda ialah anak-anak yang terpilih untuk menggalas amanah orang-orang yang berilmu. Yakinlah anda sebagai duta anak-anak muda pada 3 November nanti. Anda sudah bersedia dengan ketahanan mental dan fizikal serta emosi yang stabil.
Perlukah anda percaya kepada soalan ramalan (spot) dan soalan khabar angin pada saat-saat akhir? Anda tidak perlu terikut-ikut dengan gaya lama yang tidak banyak membantu seperti itu, malah kadang-kadang boleh mengganggu emosi anda.
BAHAYA SOALAN SPOT
1. Soalan spot selalunya keluar pada saat-saat akhir. Fungsinya untuk mengganggu konsentrasi pelajar sahaja
2. Mempercayai soalan spot akan membuatkan anda mengehadkan fokus kepada aspek yang lebih kecil, terhad dan jumud, sedangkan sebelum ini anda telah pun didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
3. Biasanya soalan spot jikalau benar-benar menjadi pun tidak ramai yang mampu menjawab dengan baik kerana calon menjadi upset. Lebih malang lagi, jikalau tidak keluar anda akan menjadi gelabah.
4. Mempercayai soalan spot menyebabkan anda melupakan segala pesanan dan tunjuk ajar guru yang selama ini telah bersusah payah melengkapi anda dengan segala aspek pengetahuan.
5. Sebenarnya pengetahuan yang ada merupakan senjata utama untuk anda mengolahkan sebarang bentuk soalan yang keluar. Tiada istilah NASIB BAIK dalam peperiksaan.
NASIHAT UNTUK SOALAN KERTAS 1 BM
1. Jikalau anda tidak mampu menguasai semua dimensi soalan, memadai anda memberi fokus kepada 3 aspek yang utama iaitu dimensi diri, keluarga dan masyarakat.
2. Bagi dimensi diri dan keluarga salah satu daripadanya sudah pasti akan keluar. Untuk dimensi diri sudah pasti anda tahu dan faham akan kedudukan dan kehendak diri anda sendiri. Bagi dimensi keluarga, anda sudah tentu mempunyai pengalaman berkeluarga. Oleh itu, asas tersebut menjadi platform utama untuk anda mengarang.
3. Sekiranya kedua-dua soalan tersebut amat mencabar, cubalah anda beralih kepada dimensi masyarakat. Soalan dalam dimensi masyarakat tidak lari jauh daripada isu-isu semasa dalam masyarakat.
4. Selain itu, anda wajar juga meninjau-ninjau soalan 5 iaitu UNSUR SASTERA. Soalan 5 tidak lari jauh daripada persekitaran KOMSAS seperti yang anda telah pelajari di dalam kelas.
CATATAN : Ingatlah semua contoh karangan dan rangka isi yang saya beri adalah sebagai input tambahan untuk menyokong usaha gigih anda. Walau apa-apapun, jikalau bertepatan contoh-contoh tersebut amatlah strategik untuk anda meraihkan markah yang cemerlang. Selebihnya saya hanya berdoa demi kejayaan anak-anak bunga bangsa yang tercinta.
* Akhir kata SELAMAT BERJUANG, SELAMAT MAJU JAYA DAN ANDALAH YANG TERBAIK KEPADA DIRI ANDA
No comments:
Post a Comment