Thursday, August 21, 2014

KARANGAN DIMENSI KELUARGA

Assalamualaikum,

Sila baca karangan ini untuk persediaan peperiksaan Percubaan



Jasa ibu bapa perlu dikenang.  Namun begitu, terdapat sebilangan kecil  daripada mereka yang berjaya dalam hidup sering mengabaikan jasa dan budi ibu bapa.

Nyatakan perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk membalas jasa  mereka.


Tersebut kisah dalam cerita klasik Melayu, seorang anak muda yang bernama Tenggang.  Tenggang anak tunggal kepada seorang ibu tunggal.  Hidup mereka dirundung miskin.  Pada suatu hari, Tenggang telah memohon keizinan daripada ibunya untuk keluar merantau dengan harapan untuk mengubah kehidupan yang melarat itu.  Nasib Tengggang ternyata baik kerana dengan sikapnya yang ringan tulang dan amanah, dia telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang saudagar kaya.  Akhirnya, Tenggang telah menjadi menantu kepada saudagar tersebut. Masa berlalu, Tenggang kini bukan lagi anak hingusan tetapi seorang saudagar ternama.  Malangnya, dek diselimuti kemewahan dan limpahan kekayaan, ingatan Tenggang kepada ibunya telah mula luput  Tanpa diduga, dalam suatu pelayaran,  kapal Tenggang berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran kampungnya dahulu.  Mendengar berita tersebut, si ibu yang telah sekian lama merindui anak tersayang menerpa menuju  ke bahtera Tenggang.  Alangkah hibanya hati ibu,   anak yang selama ini menjadi  buah hati pengarang jantung telah mengusir dan menendang si ibu kononnya ibu tua yang tidak sedar akan diri mahu mengambil kesempatan daripada kekayaannya.  Namun, tuhan lebih mengetahui, sikap buruk Tenggang dibalasi musibah, kapalnya tenggelam dipukul gelombang besar.  Tenggang mati ditelan laut  dalam keadaan diri yang berpalut Lumpur dan dosa.  Demikianlah secebis kisah daripada ribuan perbuatan anak-anak keji yang tidak mengenang jasa ibu bapa apabila mereka sudah benar-benar berjaya.   Dengan trgedi malang itu, sudah sewajarnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dan berusaha untuk menumpahkan kasih sayang kepada ibu bapa yang telah bersabung nyawa untuk membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya.

                Sebagai anak yang telah mengecapi  nikmat hasil pengorbanan ibu bapa, maka kita hendaklah menjadikan mereka  sebagai orang pertama dalam apa jua urusan hidup kita.  Seandainya merekalah orang yang pertama kita cari dalam masa kesusahan maka tidak sewajarnya mereka kita lupakan apabila kita  mencapai sebarang kejayaan.  Sikap ini perlu kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita. Selain itu, mereka juga yang mendidik dan  memberi ilmu sehingga kita menjadi manusia yang berguna.  Justeru, apabila kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan atau  berjaya dalam kerjaya maka ibu bapalah orang pertama yang perlu kita nobatkan sebagai pencetus kepada semua kejayaan tersebut.  Pada waktu ini, ibu bapa akan berasa tiada nikmat yang paling besar di dunia ini apabila anak-anak memulangkan segala kejayaan yang diraih adalah bertitik tolak daripada pengorbanan mereka.

                Bagi mengenangkan segala jasa dan pengorbanan mereka juga,  apalah salahnya jikalau kita cuba menyelami hati kecil mereka pada hari-hari tertentu yang istimewa dalam hidup mereka. Hari tersebut seperti hari ulang tahun perkahwinan,  hari jadi dan hari-hari perayaan.   Pada hari yang amat bermakna itu, hulurkanlah hadiah istimewa untuk dijadikan santapan rohani mereka.  Walaupun hadiah tersebut sekadar bernilai beberapa rial  tetapi memadai untuk menjadi simbolik kepada nilai kasih sayang mereka kepada kita bak laut yang tidak bertepi itu.  Atau pun, pada hari-hari istimewa tersebut bawalah mereka untuk melancong atau berziarah rakan kenalan.   Kepada yang beragama Islam pula berilah hadiah menunaikan Fardu Haji ke Mekah.  Kita juga patut meniru teladan baik beberapa individu yang telah berjaya yang  membawa dan memperkenalkan ibu bapa dalam majlis-majlis besar yang mereka menjadi tetamu istimewa.   Bayangkanlah betapa linangan air mata ibu bapa pada waktu itu pasti menjadi pembasuh api neraka.  Ingatlah, doa restu dan kepuasan jiwa mereka akan menjadi titian kejayaan kepada kita sama ada di dunia atau di akhirat.

                Apabila ibu bapa sudah menjelang usia tua, sudah menjadi tanggungjawab mutlak kepada kita untuk mengambil tahu keperluan hidup mereka seperti makan minum, kesihatan ubat-ubatan dan tempat tinggal.  Janganlah dek terlalu memburu kejayaan hidup di dunia,  ibu bapa dibiar terlantar di rumah-rumah orang tua.  Elakkanlah hidup menjadi dedalu masyarakat, ibarat kacang lupakan kulit.  Pada usia tersebut , ibu bapa tidak pernah menuntut sesuatu yang berlebih-lebihan sebaliknya mereka mengharapkan ihsan dan kasih sayang.  Cara penyelesaian terbaik adalah setiap anak perlulah membuat giliran untuk melihat kebajikan ibu bapa atau pun jikalau keadaan terlalu mendesak ambillah orang gaji untuk menjaga mereka.

Setiap ibu bapa sentiasa menaruh harapan untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia paling berguna kepada nusa, agama dan masyarakat.  Sebagai pelajar, inilah masa terbaik untuk kita membuktikan yang terbaik kepada mereka.  Belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar terbilang dan apabila berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan maka itulah sebenarnya hadiah yang tidak ternilai untuk kita mengenang jasa mereka.  Pada masa itu kita dapat melihat lelehan air mata gembira mereka bagaikan tidak boleh ditahan-tahan.  Seterusnya, jagalah hati mereka dengan cara tidak menghampiri atau terlibat dengan kerja-kerja yang tidak baik seperti menjadi samseng, bercakap keji, melepak, dadah dan seribu satu macam gejala kutu masyarakat yang terlalu keji di sisi agama dan moral.  Hati ibu bapa pasti akan lebur apabila anak-anak tercampak ke dalam kancah kehinaan seperti ini.

                Mafhum (maksud) daripada sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud apabila mati seseorang anak Adam itu maka terputuslah segala amal baiknya kecuali tiga yang masih kekal   Ketiga-tiga yang tersebut itu ialah, sedekah dan derma untuk faedah umum, anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan ilmu yang bermanfaat yang diajarkan untuk faedah manusia.  Janganlah kita putuskan hubungan kasih sayang kepada ibu bapa hatta mereka sudah meninggal dunia.  Doakanlah kesejahteraan mereka siang dan malam setelah mereka pergi meninggal kita.

Ibu  engkaulah ratu hati
                                                                             bilaku berduka
             engkau hiburkan selalu
Kenangilah jasa ibu bapa selama hidup dan mati mereka.  Nilai diri ibu bapa tidak akan tertukar dengan harta dunia walaupun segunung emas.  Ingatlah syurga di bawah telapak kaki ibu.

No comments:

Post a Comment