Aduhai sebulan menyepi, dah rasa rindu nak menulis. Apa2pun tulisan saya tak panas. Cukuplah dijadikan medan mendidik anak-anak pelajar tentang berfikir cara kreatif dan kritis. Mailah kita fikir pula tentang nak jadikan bahasa anda menarik semasa mengarang atau mengemukakan sesuatu idea. Bahasa yang menarik ibarat 'perfumed' dalam penulisan. Menjadi aksesori yang memperkuat bahasa dan idea yang hendak disampaikan.
Pada kesempatan yang terhad ini saya lontarkan bentuk-bentuk olahan dan petikan yang menarik. Antaranya seperti yang berikut ini:
Jangankan manusia yang mampu menginjak di bumi nyata, malah makhluk binatang dan tumbuh-tumbuhan pun wajib disayangi dan haram dibunuh tanpa sebab. Dalam konteks kelahiran seseoang anak, Allah berfirman dalam Surah Asy-Syura ayat 49 hingga 50 yang bermaksud;
“Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki
dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Ataupun Dia mengaugerahkan kedua-duanya kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesungguhnya, Dialah yang maha mengetahui dan maha berkuasa”.
Bak sepuluh jong masuk kuala, anjing tetap bercawat ekor adalah antara pepatah yang harus dikikis jauh daripada minda dan sikap rakyat Malaysia. Kita harus berani mengambil cabaran dan sanggup bersaing dengan negara-negara yang telah maju. Dalam zaman teknologi maklumat yang serba canggih ini, peluang untuk mengakses maklumat menjadi semakin mudah. Ayuh, kita harus bangkit daripada lena yang panjang untuk meneroka segala hasil-mahsul bumi kita agar dapat dimanfaatkan untuk membantu mempertingkatkan ekonomi negara.
Namun, apa-apapun, saya yakin kepada para guru, kitalah racun dan kitalah penawar. Antara guru dan pelajar ibarat lirik dan melodi, pincang salah satu tempanglah kedua-keduanya. Namun dengan berkat kesabaran dan sikap berlapang dada para guru kita berjaya sampai ke penghujung. Terima kasih, cikgu!
Sidang majlis yang dihormati sekalian,
Membuka kalam pidato saya pada kali ini, marilah bersama-sama kita menghayati bicara ilmu yang menyatakan,
Berkata ilmu akulah sultan,
Kuasa perintahku laut daratan
Jahil berseru akulah syaitan
Ikutlah aku merata hutan
Cubalah kita telusuri kata-kata Saiyidina Ali, bahawa “Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu menjaga kamu, kamu menjaga harta. Ilmu apabila dibelanjakan akan bertambah, manakala harta apabila dibelanjakan semakin berkurang”. Hakikatnya semakin banyak ilmu dituntut dirasakan semakin jahillah diri kita.
Sejarah telah melakarkan beberapa tamadun yang agung tercetus dengan lahirnya tokoh-tokoh agung sezaman. Socrates, Aristotle, Plato, Democratus ialah penggerak tamadun Greek Yunani. Kung Fu Tze, Lao Tze, dan Tao sebagai penggerak tamadun Lembah Kuning, dan demikianlah pula kelahiran pimpinan agung manusia Muhammad SAW dan pimpinan-pimpinannya menjadi penggerak Dinasti Islam. Dunia Barat yang pada suatu ketika pula berada dalam zaman gelap bangkit menganjak dunia dalam cetusan Renaisance dan seterusnya dunia mengalami suatu perubahan drastik apabila tercetusnya Revolusi Industri. Begitulah suatu petunjuk bahawa kecemerlangan sesuatu bangsa sentiasa berhajat kepada kualiti rakyatnya yang cemerlang.
Hadirin sekalian,
"Negara kita tanggungjawab kita" Demikianlah ungkapan yang telah menuntut komitmen kita untuk tunduk patuh dan berbakti kepada negara. Sesungguhnya, kebangkitan kita di bumi yang bertuah ini bukanlah tidak mempunyai sejarah dan asal-usulnya. Kita wujud di sini bukanlah daripada benih bangsat yang tidak mempunyai sejarah dan salasilah. Peradaban kita bermula daripada nasab Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang turun di Bukit Saguntang Gunung Mahameru. Justeru, demi kedaulatan negara ini pertahankanlah maruah dan keperkasaan bangsa. Kagumilah perjuangan wira-wira bangsa bergadai nyawa sehngga darah merah tumpah menyimbah basah di bumi bertuah. Akhirnya Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dato Maharaja Lela telah gugur sebagai legenda sejarah. Inilah harga perjuangan yang telah mengangkat imej kita kerana kita berpegang kepada sumpah setia, "DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU LANGIT DIJUNJUNG.”
Seandainya, dalam arena politik dunia, nama-nama terkemuka seperti Hitler, Musolini, Mao Tse Tung, Nehru, Gandhi, Sukarno dan lain-lain mampu menggegar dunia dengan kepetahan berpidato dan strategi siasah yang pintar, maka apalah kurangnya dalam dunia sukan yang mampu menampilkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Mohamed Ali dalam sukan tinju dan legenda bola sepak abad ke-20 iaitu Pele. Kegahan mereka sama handal dengan seorang presiden, malah ada kalanya populariti Mohamed Ali atau Zinedin Zidane lebih dikenali daripada seorang Presiden Amerika atau Perancis
Telunjuk lurus kelengkeng berkait, haruan makan anak, dan kusangka panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari adalah antara peribahasa yang menghimpunkan maksud yang hampir sama dengan peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Sifat khianat dan dengki ialah paksi kepada tingkah laku negatif yang ingin disampaikan oleh koleksi peribahasa tersebut. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan di dunia ini manusia tidak dapat lari daripada perbuatan yang keji dan boleh membawa mudarat kepada orang lain. Demikianlah maksud daripada suatu sindirin iaitu, selagi manusia bernama manusia dendam dan kesumat tetap bermaharaja lela.
Lembu dapat ditarik ke air, tetapi tidak boleh didesak meminum air. Peribahasa ini menjadi penyokong kuat kepada peribahasa sepuluh jong masuk kuala anjing tetap bercawat ekor yang memaparkan sikap enggan berubah, degil, dan menolak perubahan yang terdapat kepada segelintir ahli masyarakat. Golongan tersebut begitu selesa dengan kehidupan jumud cara mereka. Mereka lebih rela miskin, terpinggir dan jahil asalkan tidak ada instrumen lain yang mengganggu gugat gaya hidup mereka yang sudah sekian lama diamalkan.
Pihak pembangkang yang disanjungi,
Kini imuniti sekolah dan kekebalan guru semakin terhakis. Rasa hormat akan guru luntur sama sekali dalam kalangan pelajar. Guru-guru dianggap sebagai ‘kuli’ yang bertugas menyampaikan maklumat. Martabat guru sering diukur dengan nilai kebendaan dan fulus sahaja. Guru seolah-olah dilarang mengenakan sebarang tindakan untuk membentuk sahsiah pelajar. Padahal di sesetengah negara, seperti Korea, Jepun, dan Cina guru amat digeruni malah guru memiliki imuniti yang tidak boleh dimakan oleh undang-undang. Oleh yang demikian, sekiranya hukuman merotan dilaksanakan secara teratur pasti keberkesanan pengajaran guru akan menjalar ke seluruh urat nadi pelajar bahawa mereka bukan sahaja dididik untuk menerima ilmu malah dibentuk akhlak mereka.
Hadirin sekalian,
Saya mohon mencadangkan juga, tradisi merotan hendaklah dikembalikan kepada kuasa yang asal. Merotan sebenarnya menjadi lambang pemisah darjat antara seorang guru dengan gelagat seseorang pelajar. Guru harus mempunyai sempadan pemisah yang dibatasi oleh kuasa dan taraf dengan pelajar yang dididiknya. Pelajar harus tahu tentang letak duduknya adab dan tertib belajar seperti kata Imam Al Ghazali, “Tuntutlah ilmu dan hormat akan guru kerana guru sebagai penyuluh mengenal yang Khaliq”.
Para alim ulamak sentiasa memberi nasihat, “Sekiranya anda berhasrat untuk menguasai bumi ini sentiasalah beramal dengan amalan Nabi Daud”. Sebaliknya pula, sekiranya anda mahu menguasai setiap mergastua beramallah dengan amalan Nabi Ibrahim”. Kenyataan tersebut menunjukkan kedua-dua bidang sama ada pertanian dan penternakan telah lama menjadi teras kepada peradaban manusia. Oleh itu………..
No comments:
Post a Comment