Monday, March 7, 2011

SIRI 4 : PELBAGAI TEKNIK DAN GAYA MEMULAKAN PENDAHULUAN

    Alhamdulillah, kita dapat bertemu semula setelah hampir seminggu aktiviti ini tertangguh. Dalam tempoh tersebut saya terlalu sibuk dengan program ceramah yang telah pun bermula. Selain itu, kesibukan turut berlaku apabila ramai yang sudi bertanya tentang modul terbaru yang saya hasilkan. 

    Insya-Allah dalam siri ini saya akan mengemukakan beberapa model pendahuluan yang menarik. Hakikatnya, sesuatu teknik pendahuluan itu menjadi menarik adalah bergantung kepada faktor-faktor berikut :

    (i)  Pelajar benar-benar menghayati isu soalan
    (ii) Pelajar betul- betul faham tentang kandungan tema dalam soalan
    (iii) Pelajar benar-benar memahami situasi dan tahu secara mendalam tentang isu yang menjadi asas binaan soalan.
    (iv) Pendahuluan yang menarik dapat digayakan juga apabila pelajar dapat menguasai mood soalan sama ada berbentuk sentimental, isu semasa, patriotik, motivasi dan sebagainya.

Sila lihat dan telitikan kandungan dalam 2 sampel pendahuluan yang bakal saya perturunkan di bawah;

Contoh Soalan 1 : Aktiviti luar seperti mendaki gunung, meredah belantara, dan mengharung ombak semakin mendapat sambutan dalam kalangan remaja. Aktiviti seumpama itu mendatangkan pelbagai impak positif kepada remaja.

Sebagai remaja, mengapakah anda berminat menyertai aktiviti seperti itu?

Sampel pendahuluan :  Tokoh pujangga pernah berkata, “Untuk menentukan negara pada masa depan, lihat kepada remaja pada hari ini”. Kata-kata tersebut memberikan suatu keyakinan bahawa remaja merupakan aset negara yang amat berguna. Jatuh bangun sesebuah negara pun bergantung sepenuhnya kepada ketahanan rakyatnya yang rata-rata terdiri daripada remaja masa kini. Sebagai pewaris bangsa, para remaja hendaklah memperlengkap diri mereka sama ada fizikal, mental, sahsiah, dan rohani. Inilah sahaja aset yang benar-benar bernilai yang menjadi taruhan nusa. Pelbagai aktiviti boleh disertai oleh para remaja untuk memperlengkap diri menjadi remaja berketrampilan dan tahan uji. Dalam aspek fizikal dan mental aktiviti seperti mendaki gunung, meredah belantara, dan mengharung ombak merupakan riadah yang boleh memberikan pelbagai impak positif untuk membentuk  peribadi remaja.


NOTA :  Pendahuluan ini menggunakan teknik /gaya memetik pendapat tokoh tentang isu yang berkaitan dengan remaja.

(SILA RUJUK SKEMA ISI BAGI SOALAN INI DALAM MODUL MS 46)



Soalan 2 :  Atas kegigihan dan dedikasi ibu bapa, anda kini telah menjadi insan yang benar-benar berjaya.

Cadangkan beberapa langkah yang bakal anda lakukan sebagai menghargai jasa mereka terutama ketika menjelang usia emas.

Sampel pendahuluan : 

Sejuk-sejuk bayu timuran
Berpuput dari puncak sedili
Biar bercerai nyawa di badan
Ibu dan ayah kasih abadi

Bait-bait pantun di atas menjadi pancaran metafora akan besarnya kasih dan sayang ibu bapa kepada anak-anak. Walaupun sudah lama terpisah, asal ingatan tidak pernah berubah. Ibu bapalah yang menjadi pembuka jalan kepada setiap insan untuk menghirup udara di mayapada ini. Malahan, ibu bapalah yang menjadi penentu kejayaan seseorang insan. Atas kesedaran demiikian, saya berasa cukup terhutang budi kepada kedua-dua insan yang amat bermakna dalam hidup saya. Sejadi kecil sehingga kini saya berpeluang mencapai kemuncak kerjaya, namun tiada tandingan walaupun segunung intan untuk saya balasi jasa ibu dan bapa. Atas kesedaran yang tersebut,  saya bertekad untuk menghargai jasa mereka baik semasa hidup mahupun selepas mereka meninggal dunia.

NOTA :  Pendahuluan ini cuba membuat aplikasi teknik mood sentimental dengan memetik serangkap pantun. Pendahuluan ini amat sesuai kerana soalannya bersifat menyentuh emosi. 

(ANDA BOLEH MERUJUK PERSEDIAAN SOALAN INI DALAM MODUL MS 50)

KITA BERJUMPA DALAM SIRI YANG AKAN DATANG


No comments:

Post a Comment