Thursday, January 27, 2011

SAMPEL PENDAHULUAN DAN KESIMPULAN

Guru-guru dan pelajar2 yang dikasihi sekalian; 
     Janji saya pada siri yang lalu untuk membimbing anda tentang teknik penyediaan pendahuluan dan kesimpulan yang serasi dengan soalan. Sebelum itu kita rujuk semula soalan : 

Anda telah dilantik sebagai pengawas sekolah.

Sebagai pengawas, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.

Teknik terbaik untuk menulis pendahuluan bagi soalan ini ialah gambaran situasi sama ada situasi semasa atau situasi yang menunjukkan bukti pencapaian cemerlang sesebuah sekolah. Pelajar boleh membuat olahan awal pendahuluan dengan memberikan gambaran seperti di atas. Setelah itu, pelajar kaitkan situasi dengan salah satu elemen utama iaitu aspek keterampilan disiplin pelajar. Seterusnya dalam ayat-ayat terakhir, nyatakan pendirian anda tentang peranan yang akan anda lakukan. Lihat contoh pendahuluan di bawah:

       Kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan khususnya sekolah hendaklah diukur berdasarkan beberapa kriteria utama. Antara kriteria tersebut ialah kecemerlangan akademik, peningkatan dalam bidang kokurikulum, dan kewujudan budaya sekolah dengan mengutamakan aspek 3K. Komponen 3K  yang meliputi aspek kebersihan, keselamatan, dan keceriaan boleh menjadi budaya cemerlang kepada sekolah berkenaan. Namun demikian, semua perkara di atas tidak akan lengkap tanpa komitmen semua warga sekolah terhadap ketahanan disiplin para pelajarnya. Oleh itu, disiplin bolehlah dianggap sebagai enjin kedua yang bakal memacu sesebuah sekolah mencapai kejayaan dalam pelbagai aspek. Sebagai pelajar di sekolah saya sangat bersyukur kerana terpilih menganggotai badan pengawas sekolah. Pemilihan tersebut amat menuntut komitmen saya untuk memberikan yang terbaik agar dapat menjadi mata dan telinga dalam usaha memantapkan disiplin para pelajar. 

Analisis item pendahuluan :

Terdapat 3 item utama yang perlu dipatuhi pelajar apabila membuat pendahuluan karangan. Item-item tersebut ialah;
- olahan isu
- tema soalan
- fokus isi jawapan


Lihat pecahan ayat di bawah yang telah dipetik daripada sampel pendahuluan di atas untuk menentukan itam-item tersebut

Olahan isu soalan : Kecemerlangan ...hingga .... sekolah berkenaan
Tema soalan :  Namun demikian, ...hingga.... dalam pelbagai aspek
Fokus isi jawapan : Sebagi pelajar .... hingga .... para pelajar

 Untuk Panduan lanjut lihat buku saya, TARGET PRO SPM KARANGAN, terbitan SASBADI





No comments:

Post a Comment