Wednesday, October 10, 2012

ANALISIS KECENDERUNGAN SOALAN KTS 1 PPSPM 2012

Assalamulaikum/Salam sejahtera,


Bagi memenuhi janji saya, bersama-sama disertakan analisis Kecenderungan isu-isu penting dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2012 oleh 10 negeri termasuk SBP dan MRSM.


Analisis kekerapan dan kecenderungan soalan kertas 1 ppspm 2012.

Dimensi diri :
Jawapan untuk soalan hendaklah difokuskan kepada fungsi diri sendiri atau peranan diri dengan pihak lain atau institusi/organisasi.
-    negeri-negeri Perlis, Kedah, Johor, MRSM, dan Sarawak telah memberikan tumpuan tentang fungsi remaja/pelajar kepada institusi yakni sekolah/guru.
-    negeri-negeri Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, dan SBP masih memilih fungsi kepada diri sendiri
CATATAN : Boleh dikatakan kecenderungan soalan untuk dimensi diri masih mengutamakan kepada kepentingan peribadi daripada isu yang lain. Untuk rekod, sudah 3 tahun berturut-turut soalan tentang dimensi diri adalah berfokuskan diri sendiri. Oleh itu, ada kemungkinan soalan akan beralih arah kepada fungsi diri dengan institusi atau organisasi pula.

DIMENSI KELUARGA :
Berdasarkan rekod, soalan (2) dimensi keluarga akan membuat penggiliran antara peranan anak kepada keluarga dengan peranan ibu bapa/keluarga kepada anak. Kecenderungan ini telah wujud sejak 2006 lagi. Walau bagaimanapun, semua negeri kecuali Selangor dan Terengganu masih mengekalkan status qou peranan keluarga/ibu bapa kepada anak-anak. Sebaliknya Selangor dan Terengganu memilih peranan semua ahli keluarga. Sementara itu, Perak agak tersasar apabila meletakkan peranan masyarakat.
CATATAN/KOMEN : Saya berpendapat, guru dan pelajar harus memberikan fokus kepada peranan anak-anak pula untuk 2012.

Dimensi masyarakat :
Sementara dalam dimensi masyarakat pula (soalan 3), 5 negeri telah meletakkan sasaran isu pelancongan sebagai pilihan soalan.
Isi-isu lain yang dipilih ialah, berjimat cermat (Perlis dan Pahang), Pemuliharaan sumber sejarah (Kedah), Barangan tempatan (Perak), Telefon bimbit (Selangor), 1M1S (Terengganu), OKU (Johor), makanan segera (MRSM).

KOMEN/PANDANGAN : Berdasarkan kecenderungan soalan dalam tempoh 5 tahun belakangan, soalan 3 banyak memberikan tumpuan kepada isu-isu dan dasar-dasar negara. Oleh itu, isu yang berkaitan dengan Gagasan 1Malaysia, 1M1S, pelancongan dan transformasi dalam pendidikan negara hendaklah diberikan perhatian.

      TIADA KOMEN UNTUK Soalan 4

      Bagi soalan berunsurkan sastera pula, beberapa negeri sepakat memilih aspek nilai kemanusiaan, faedah/pengajaran dan perwatakan watak utama. Selain itu, beberapa negeri masih menekankan bidang kreatif.

RINGKASAN KECENDERUNGAN SOALAN KERTAS 1 2012

Ø          Dimensi diri – berkaitan diri dengan fungsi terhadap negara, institusi, organisasi selain untuk diri sendiri juga.
Ø          Dimensi keluarga – peranan atau sumbangan anak-anak terhadap keluarga khususnya dalam penambahbaikan sesebuah keluarga
Ø          Dimensi masyarakat – Pilihan utamanya ialah pelancongan, ekonomi (amalan cermat jimat), sukan 1M1S, dan OKU.

Sekian komen saya tentang kedudukan soalan Kertas 1 PPSPM 2012. Berjumpa semula dalam edisi akan datang dengan beberapa contoh karangan yang telah dipilih daripada beberapa soalan PPSPM 2012.

Hormat daripada saya
ISHAK BIN MD SHAH
019 4789803

Saturday, October 6, 2012

ANALISIS SOALAN KERTAS 1 - AKAN MENYUSUL

Assalamualaikum,

Insya-Allah dalam satu dua hari yang terdekat saya akan buat analisis kekerapan dan analisis kemungkinan bagi soalan2 PPSPM 2012 ni. Saya tidak boleh muat serentak dalam rangka isi ini sebab terlalu banyak.
Sila  ikuti siri akan datang. Insya-Allah

Thursday, August 9, 2012

UNGKAPAN INDAH/UNGKAPAN MENARIK

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

     Sementara memenuhkan masa santai sebelum berbuka puasa, saya sajikan kepada anda panduan dan langkah-langkah menggunakan ungkapan indah dalam karangan. Sila lihat panduan seperti yang saya lampirkan di bawah. Sebelum itu, cuba hayati nasihat Pak Hamka dalam pantun kiasannya;

Sekupang penambat hati
Setahil pembeli ketaya
Sekali terlencong budi
Seumur hidup orang tak percaya


Jenis-jenis ungkapan indah/menarik


        Peribahasa
        Seloka
        Pantun
        Bahasa Kiasan
        Kata-kata pujangga (filosof)
        Hadis Nabi
        Ayat al-Quran dan banyak lagi……….

Teknik Pemakaian Langsung

        Contoh : Dalam hal mendidik akhlak dan tingkah laku anak-anak, perihal sikap dan perwatakan ibu bapa adalah penting untuk diteladani anak-anak kerana menjernih air di muara hendaklah bermula di hulunya.

Panduan > Teknik ini adalah cara yang paling mudah diguna pakai kerana hadir serentak dalam ayat yang sama. Walau bagaimanapun, hanya unsur-unsur seperti peribahasa, perumpamaan, pepatah dan bidalan sahaja yang sesuai menggunakan teknik ini. Kata-kata hikmat atau maksud daripada ayat al Quran dan hadith hendaklah dipetik dalam bentuk membuat kod.

TEKNIK PERBANDINGAN

Contoh : Apabila menyelesaikan sesuatu masalah yang rumit, carilah jalan penyelesaian dengan cara yang paling bijaksana agar kerumitannya dapat diselesaikan tetapi dengan tidak mengorbankan segala prinsip dan tanggungjawab. Tindakan tersebut bak kata/ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan terserak.

ATAU

Ibarat orang mementung ular, ular dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, dan tanah datar jangan lembang.

Panduan > Apabila menggunakan teknik ini, pelajar hendaklah membuat kenyataan lengkap tentang fakta atau data terlebih dahulu. Ungkapan menarik digunakan hanya sebagai peneguh atau penyokong sahaja


TEKNIK KOD :

1. Kod Hadapan

Dalam sepotong Hadis Nabi yang bermaksud, “Jagalah usia mudamu sebelum datang kepadamu usia tua”. Demikianlah ungkapan yang membawa maksud, usia muda atau remaja amat berharga dan usia tersebut perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Panduan > Kod hadapan biasanya tepat digunakan untuk membuka laluan kepada sesuatu idea yang baru. Maksudnya, perlu ditulis apabila hendak memulakan perenggan yang baharu.


2. Kod Belakang

Nilai tamadun sesuatu bangsa itu dianggap amat berharga seperti kata-kata Aristotle,
“UKURAN TAMADUN SESUATU BANGSA BUKAN TERLETAK KEPADA KESUBURAN TANAHNYA TETAPI KEPADA DARJAT BANGSANYA YANG MERDEKA”.

Panduan > Secara lazim, penggunaan kod belakang sudah serasi diguna pakai apabila hendak memperlengkap hujah atau menyantuni perenggan agar lebih kemas.

Panduan Umum > Para pelajar hendaklah ambil perhatian, sebarang penggunaan ungkapan menarik hendaklah benar-benar boleh menyokong kenyataan tersebut. Oleh itu, sumber yang dipilih hendaklah mendukungi maksud yang tepat atau hampir tepat dengan isi, fakta atau hujah yang hendak disampaikan. Kegagalan memahami maksud sama ada secara tersirat mahupun falsafahnya boleh menyebabkan pelajar menggunakannnya secara salah.

SESI AKAN DATANG MUNGKIN SELEPAS HARI RAYA – SELAMAT  HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Tuesday, April 24, 2012

PANDUAN OLAHAN ISI KARANGAN

Assalamualaikum,
     Sebelum kita membuka kalam dalam biacara kali ini, marilah kita renungkan kata-kata Pak Hamka dalam nasihatnya tentang erti kasih sayang. Antaranya;

Kasih sejati ialah kasih Allah kepada hamba-Nya
Kasih yang murni ialah kasih ibu bapa kepada anaknya
Kasih saudara masa berada
Kasih sahabat sama binasa
Kasih suami/isteri sama sepenanggungan
Kasih orang menaruh harapan.

SOALAN : SEJAUH MANAKAH KASIH ANDA KEPADA ILMU?

Dalam bicara wacana pada kali ini, saya mahu mengalih kepada langkah-langkah penting dalam mengolahkan isi karangan pula. Dalam pengertian umum, isi karangan ialah badan karangan yang tersimpan di dalamnya, fakta-fakta, hujah, data sokongan, dan idea yang berfungsi menerangkan kehendak soalan. EMPAT mekanisme penting dalam isi karangan adalah seperti yang berikut ini:

(i)     Isi Utama - Isi utama lahir daripada gabungan antara tema dan fokus. Seterusnya IU akan berfungsi sebagai ayat judul kepada isi dalam perenggan tersebut.
(ii)    Huraian - Huraian ialah beberapa ayat yang menjadi olahan tentang IU. Keperluan huraian adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas maksud IU.
(iii)    Contoh - Contoh merupakan sumber rujukan yang dapat memperkukuh hujah dan fakta yang diberi. Tahap kematangan pelajar dapat diukur berdasarkan keupayaan mereka membuat adaptasi contoh yang relevan dengan IU. Kaedah terbaik mengemukakan contoh adalah dengan menyerapkannya ke dalam ayat huraian. Cara mudah untuk mengemukakan contoh, pelajar boleh memilih 3 formula huraian yang lazim iaitu (APA), (SIAPA), dan (DI MANA).
(iv)  Pelengkap Wacana (PW) - PW ialah item terakhir dalam olahan isu yang berperanan sebagai penyantun kepada perenggan tersebut. Ada juga kalangan guru yang menyebut PW sebagai kesimpulan kecil sahaja. *Para pelajar dinasihatkan supaya jangan keliru dengan istilah.

     Cara mudah untuk mengadaptasikan PW terdapat dalam 3 sumber;

     i.   Menyimpulkan semula PW tersebut dengan IU
    ii.   Menyimpulkan semula PW dengan tema soalan
   iii.   Menyimpulkan semula PW dengan memetik sumber-sumber petikan (peribahasa, kata hikmat dan sebagainya).

Sebagai bahan latihan anda dalam siri kali ini, sila tulis sebuah karangan daripada rangka isi yang saya petik dengan ihsan daripada modul modul saya, ModulPembelajaran Kendiri Edisi 2012 muka surat 53. Cuba olahkan isi karangan anda dengan menggunakan panduan di atas.

Latihan 1



                        Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
 
 
 

Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk merealisasikan cabaran tersebut.

Pendahuluan : Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran agar kita insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah  untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta. Sesungguhnya, di atas batu jemala kitalah terletak tanggungjawab besar sejajar dengan slogan, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.


Isi 1 : Bersedia menjadi orang muda yang beriman dan bertakwa kepada Allah – ketakwaan menjadikan kita lebih patuh, bersedia dan tinggi motivasi – kita mempunyai garis panduan dan hala tuju yang jelas

Isi 2 : Memperlengkap diri dengan pakej fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang baik – memenuhi prakarsa untuk memperlengkap diri sebelum boleh memberikan sumbangan

Isi 3 : Memanfaatkan usia muda untuk berjuang di medan ilmu – memperlengkap diri dengan ilmu yang strategik dengan tuntutan masa – belajar tanpa jemu dan mesti cemerlang

Isi 4 : Mengenali potensi diri – memilih bidang kemahiran dan profesional yang sesuai dengan bakat dan minat – sebagai set lengkap yang digabungjalinkan dengan ilmu bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja

Isi 5 : Insaf akan tanggungjawab menyelamatkan negara – bersemangat waja dan berjiwa patriotik – utamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri dan kelompok

Isi 6 : Menjauhkan diri daripada anasir perosak – gejala samseng, dadah, berpelisiran dan sampah masyarakat  – sikap buruk yang menjadi beban kepada negara

Kesimpulan :

Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Kecil-kecil ditimang ibu
Sudah besar ditimang gelombang

Demikianlah erti sebuah kehidupan yang menuntut banyak perjuangan dan pengorbanan. Oleh itu, kita harus bersedia untuk berhadapan dengan gelombang kehidupan yang kadang-kadang lebih mencabar daripada gelombang di tengah segara. Bukan senang untuk menjadi warga yang berguna kepada bangsa, agama dan negara, justeru kita dituntut untuk melakukan persediaan yang rapi.


ANDA AKAN MEMPEROLEH 55 SOALAN AKTIVITI KENDIRI SEPERTI INI SEKIRANYA MEMILIKI MODUL SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN. HUBUNGI SAYA UNTUK TEMPAHAN (TEL. 0194789803)

Monday, April 9, 2012

PELBAGAI TEKNIK OLAHAN ISU DALAM PENDAHULUAN KARANGAN

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

     Atas segala kerendahan hati saya memohon maaf kepada peminat-peminat blog saya kerana kita telah terputus 'mualat' untuk beberapa hari. Bukan saya sengajakan, sebaliknya sibuk kerana  memenuhi undangan ceramah di sekitar KL dan Pahang telah menghalangi saya untuk berinteraksi dengan anda dalam halaman maya ini.
     Sebagai memujuk hati, terimalah cebisan kata-kata puitis ini yang telah saya adaptasikan daripada sebuah puisi lama;

Kasih saudara sama berada
   Kasih bapa menambah harta
Kasih ibu sama rata
   Kasih sahabat sama binasa

Wahai anakku belahan jiwaku
   Bisikan sukma seorang ibu
Mendengar jeritan suara lahirmu
   Hilang derita bahagia terharu

 Duhai anak cahaya mataku
   Buah hati pelunak jiwa
Betapa nian kasih ibumu
   Hanya allah yang maha tahu

Oh anak juitaku sayang
  Kasih ibu tiada bandingan
Sayang ayah bertindih bayang
   Setinggi langit seluas lautan

Ketahuilah anak dewi tercinta
   Harapan tinggi ayah dan bonda
Hidupmu biar memberi guna
  Nikmat Allah sejahtera bahagia  


Para pelajar sekalian,
    Dalam siri kali ini saya cuba memuaturunkan beberapa sampel pendahuluan yang diaplikasikan daripada beberapa teknik pendahuluan. Sila ikuti;

SAMPEL 1 - TEKNIK RUJUKAN/PENDAPAT TOKOH


Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk merealisasikan cabaran tersebut.

Pendahuluan : Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran agar kita insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah  untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta. Sesungguhnya, di atas batu jemala kitalah terletak tanggungjawab besar sejajar dengan slogan, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.


SAMPEL 2 - TEKNIK GAMBARAN DAN PERIHALAN

Tahap kebersihan di negara ini amatlah menyedihkan.

Sebagai remaja yang cinta akan kebersihan, bincangkan sumbangan yang boleh anda beri untuk mengembalikan kualiti kebersihan.

Pendahuluan :  Apabila berbicara tentang Malaysia, minda dan hujah pasti berfokus kepada sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang cukup kaya dengan hasil mahsulnya, negara yang amat cantik landskapnya, dan tidak ketinggalan sebagai negara yang damai dan harmoni. Sesungguhnya, semua kenyataan tersebut adalah benar dan tepat sekali. Betapa tidak, Malaysia sedang menjadi perhatian masyarakat dunia tentang keunikannya dalam serba serbi perkara. Namun begitu, dalam sedar atau tidak, sebagai sebuah negara membangun yang aktif, Malaysia sedang dibebani dengan krisis sampah sarap dan alam sekitar yang tercemar teruk. Berdasarkan statistik, setiap daripada rakyat Malaysia menyumbangkan tiga kilogram sampah sehari. Dengan hal yang demikian, semua pihak patut sedar tentang situasi tersebut dan mengambil pelbagai langkah proaktif menjaga kebersihan. Oleh itu, secara jujur, saya juga berasa terpanggil untuk turut serta menangani gejala yang semakin meruncing ini.


SAMPEL 3 - TEKNIK RUJUKAN FAKTA SEMASA.

Kejadian remaja lari dari rumah adalah berpunca daripada remaja itu sendiri.

Bincangkan.

Pendahuluan :  Remaja pada peringkat usia panasnya amat mudah sensitif dan tingkah laku mereka juga kadang-kadang terlalu agresif. Sikap baran dan pendek akal telah menatijahkan pelbagai tindakan di luar dugaan seperti melawan cakap, bergaduh, perlakuan jenayah dan yang lebih parah lagi mengambil tindakan lari dari rumah. Sejak tahun 2003 telah dilaporkan 16 020 orang remaja bawah umur 17 tahun lari dari rumah. Angka tersebut adalah amat menakutkan kerana pada usia remaja pelbagai kesan negatif akan menimpa remaja apabila mereka terpisah daripada induknya. Dengan sebenar-benarnya, isu remaja lari dari rumah adalah bepunca daripada diri remaja itu sendiri serta disokong oleh faktor-faktor yang ada hubung kait dengan kehidupan mereka.

NOTA : Terdapat pelbagai teknik yang menarik yang boleh anda aplikasikan. Apa-apapun perkara yang terpenting, pendahuluan tersebut hendaklah akur dengan isi karangan yang bakal dikemukakan dan selaras gaya bahasa dan pengolahan.

SELAMAT MENCUBA



Thursday, March 29, 2012

ITEM-ITEM PENTING DALAM PENDAHULUAN

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

Kita buka mukadimah bicara pada kali ini dengan dua rangkap pantun. Hayatikan kandungannya,

Adat lama mengirim surat
   Dari jawa sampai ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
   Bahasa tidak dijual beli

Adat muda menanggung rindu
   Adat tua menganggung ragam
Hidup di dunia saling membantu
   Budi bahasa pengukuh resam

     Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk bersua lagi dalam siri kali ini. Pada kesempatan ini saya akan membuat pengkhususan tentang penganalisisan item-item utama ketika anda menulis pendahuluan karangan. Seperti yang sedia maklum, ada 3 item penting yang perlu ditulis semasa menyediakan pendahuluan. Item-item itu adalah seperti yang berikut ini:

Olahan isu : Olahan isu ialah teknik yang kita pilih untuk mendekatkan pembaca  dengan isu yang menjadi asas soalan tersebut dibina. Pelbagai teknik yang boleh diaplikasikan.

Ayat tema : Ayat tema ialah pernyataan penting tentang soalan atau dengan perkataan lain ayat khusus yang menjadi teras kepada soalan.

Ayat fokus : Ayat fokus ialah ayat akhir dalam pendahuluan yang bertindak menjadi penyantun kepada keseluruhan ayat pendahuluan karangan tersebut. Sila rujuk contoh yang saya bekalkan:

Olahan Isu :            Memetik kata-kata pujangga, "Sekalipun bulan dan matahari yang terang cerlang cahayapun akan gelap apabila tiba waktunya, namun suluhan dan sinar ilmu para guru kepada anak didiknya akan terus bercahaya dan terang-benderang, abadi dan selama-lamanya". Demikianlah sebuah nukilan akan nilai diri seseorang guru atas dedikasinya mendidik dan menaburi anak-anak didik dengan ilmu. Tutur bahasa daripada liur basah mereka terus menjadi permata berharga yang pasti menyuluhi anak-anak murid dengan jaminan masa depan yang cerah. 

Nota :      Olahan isu dalam sampel pendahuluan ini menggunakan aplikasi petikan iaitu suatu teknik yang agak baru. Teknik ini cuba memadankan sebarang bentuk 'quotation' yang ada hubung kait dengan isu dan tema soalan.

Ayat tema : Sesungguhnya, jasa dan dedikasi para pendidik tidak terhitung walau ditukarkan dengan  permata nilam sekalipun. 

Ayat Fokus :  Oleh itu, sebagai insan yang telah berjaya hasil jerih payah para guru yang mendidik saya, inilah lampiran dedikasi saya untuk mereka sama ada mereka masih hidup mahupun telah pergi mendahului saya.

Mod Soalan :  Mod soalan wajar dikenal pasti juga agar calon boleh memilih laras dan lenggok bahasa yang menepati soalan. Pelajar boleh merasai sendiri melalui intuisi mereka tentang mod seperti sentimental, harmoni, sinis, patriotik dan sebagainya. 

Oleh hal yang demikian, pelajar haruslah bijak menggunakan pendekatan yang menarik dengan memilih teknik pendahuluan yang boleh memikat pembaca dan yang lebih penting lagi, pendahuluan tersebut benar-benar menjadi jurubicara awal kepada isi-isi dan hujah yang bakal ditampilkan.


YANG BERMINAT UNTUK MENDAPATKAN MODUL LATIHAN MENGARANG SILA HUBUNGAI SAYA DENGAN MENELEFON 019 4789803

KITA BERJUMPA DALAM SIRI YANG BERIKUT. SELAMAT BELAJAR.


Tuesday, March 27, 2012

TEKNIK MENGGAYAKAN PENDAHULUAN

Assalamualaikum/salam sejahtera,

Saya mulakan kalimah mukadimah ini dengan meminjamkan kata-kata Pak Hamka dalam syair ringkasnya seperti yang berikut ini:

Pahlawan budi tak pernah temenggur
Khidmat hidup sambung-bersambung
Kadang turun kadang membubung
Sampai istirahat di liang kubur

Jikalau dasar budimu culas
Tidaklah berubah kerana pangkat
Bertambah tinggi jenjang ditingkat
Perangai asal bertambah jelas

Untuk anak-anak didik perhatikan, telitikan, hayatikan dan ambil iktibar daripada maksud syair di atas.

Dalam pertemuan kali ini, saya ingin membincangkan secara ringkas tentang teknik mudah tetapi menarik untuk menggayakan pendahuluan karangan anda.

KONSEP PENDAHULUAN
Pendahuluan merupakan pintu masuk kepada karangan keseluruhannya. Pendahuluan mampu menjadi jurubicara awal sebelum pemeriksa dapat meneroka buah fikir calon berkenaan. Kekuatan dan ketepatan dalam pendahuluan boleh memberikan gambaran awal akan prestasi karangan calon secara keseluruhan.

Mari kita rujuk pendahuluan berpandukan soalan di bawah :

Anda amat mengagumi akan dedikasi guru-guru yang telah mendidik anda sehingga anda berjaya.

Tulis dedikasi anda itu untuk dipersembahkan kepada guru-guru.

  1. Dimensi  : Diri
  1. Isu          :  Pendidikan/pelajaran     
  1. Tema       :  Perihal mengenangkan jasa dan dedikasi para guru
     iv. Fokus Isi :  Langkah-langkah atau cara-cara untuk melahirkan penghargaan dan terima kasih   kepada guru yang sangat berdedikasi.

     v.  Mod soalan : Mod merujuk kepada pengaruh emosi dalam soalan. Pemahaman terhadap mod membolehkan calon menghayati soalan dan dapat menentukan ketepatan laras bahasa.

Pemilihan teknik pendahuluan hendaklah berdasarkan kepada jenis soalan, isu, tema, fokus dan mod. Banyak mempengaruhi rentak dan gaya bahasa. Pastikan mod soalan tersebut sama ada dalam bentuk sentimental, sinis, harmoni, romantik, atau patriotik. 

Dengan berdasarkan soalan di atas, mod yang sesuai digunakan tentulah mod sentimental dan harmoni. Oleh itu, gaya memulakan pendahuluan juga hendaklah.

Sampel pendahuluan : Memetik kata-kata pujangga, "Sekalipun bulan dan matahari yang terang cerlang cahayapun akan gelap apabila tiba waktunya, namun suluhan dan sinar ilmu para guru kepada anak didiknya akan terus bercahaya dan terang-benderang, abadi dan selama-lamanya". Demikianlah sebuah nukilan akan nilai diri seseorang guru atas dedikasinya mendidik dan menaburi anak-anak didik dengan ilmu. Tutur bahasa daripada liur basah mereka terus menjadi permata berharga yang pasti menyuluhi anak-anak murid dengan jaminan masa depan yang cerah. Sesungguhnya, jasa dan dedikasi para pendidik tidak terhitung walau ditukarkan dengan  permata nilam sekalipun. Oleh itu, sebagai insan yang telah berjaya hasil jerih payah para guru yang mendidik saya, inilah lampiran dedikasi saya untuk mereka sama ada mereka masih hidup mahupun telah pergi mendahului saya.

INSYA-ALLAH DALAM SIRI AKAN DATANG SAYA BICARAKAN PULA ANALISIS KOMPONEN DALAM SAMPEL PENDAHULUAN INI. JANGAN TERLEPAS PELUANG IKUTI TUISYEN PERCUMA INI.