Sunday, October 14, 2018



PERCUBAAN SPM SE-MALAYSIA 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Atas segala limpah kurnia Allah, saya mengucapkan syukur ke hadrat-Nya kerana masih mengurniai insan daif ini dengan sedikit ruang masa, kesihatan, tenaga dan fikiran. Dengan rahmat tersebut, hamba berjaya menyempurnakan rangka isi dan beberapa sampel karangan yang sempat dikutip daripada soalan Peperiksaan Percubaan sekolah-sekolah Malaysia sesi 2018. Inisiatif ini adalah atas komitmen hamba dalam memenuhi hasrat rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar di 86 buah alma mater yang sudi menjemput hamba untuk berbicara tutur dalam siri jerayawara BM Kertas 1 sesi 2018. Terima kasih rakan dan taulan.
Sementara itu, bahan yang seadanya ini hamba dedikasikan kepada rakan-rakan murabbi yang cakna mendidik di seluruh negara yang berada di dalam rangkaian grup GURU BMSPM dan grup-grup lain yang seumpama dengannya. Mohon sampaikan oleh-oleh ini kepada semua anak-anak calon SPM 2018, moga-moga boleh dijadikan rujukan terakhir sebelum mereka melangkah ke medan ‘tempur’ SPM 2018. Atas faktor ketiadaan pembaca kedua, kemungkinan berlaku banyak kesilapan ejaan yang tidak disengajakan, hamba memohon kemaafan. Selain itu, koleksi soalan pada sesi 2018 agak terhad atas kesukaran memperoleh soalan yang terakrudari negeri-negeri selain kedaifan hamba sendiri dalam kudrat yang terhad.
Sebagai lazim rangka dan contoh karangan ini bukanlah terbit atas jaminan 100 peratus akan keluar dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun isu dan tema adalah betepatan dengan silibus dan cukup berguna untuk anak-anak didik jadikan panduan.
Atas kesudian anda manfaatkan buah hasil daripada cakna minda dan cendekia hamba, seyogia salam kasih sayang dan terima kasih hamba hulurkan.

SELAMAT MAJU JAYA

KEDAH
1.    Kini, alam pekerjaan memerlukan individu yang memiliki pelbagai ilmu dan kemahiran.
Sebagai seorang murid, huraikan persediaan anda untuk menempuh alam  pekerjaan.

 




Samudera gelora pawana berpintal
Cuaca redup ditutup mega
Jikalau kail panjang sejengkal
Lautan dalam jangan diduga
Pantun yang tersebut di atas membawa amanat bahawa sesuatu yang berisiko jangan sama sekali dicuba tanpa sebarang persediaan yang rapi. Banyak padah yang boleh menimpa jikalau tersalah duga. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang mencabar seperti hari ini, kemampuan meneroka sesuatu yang baharu dan lebih mencabar memungkinkan individu tertentu boleh mencapai kejayaan sehingga di luar jangkaan. Sebagai individu yang inginkan cabaran, saya mengidami kecemerlangan dalam kerjaya kelautan (anda boleh masukkan sebarang kerjaya pilihan anda). Oleh yang demikian, saya faham untuk memenuhi matlamat tersebut bukanlah boleh dicapai dengan mudah. Persis untuk mencapai matlamat besar seperti itu, saya hendaklah memperlengkap diri dengan pelbagai persediaan sama ada dalam aspek fizikal, mental, emosi, dan berani menempuh segala cabaran .

Isi 1:  Memantapkan diri dengan persediaan yang paling asas – persediaan fizikal, mental, emosi, cita-cita dan motivasi (olahkan setiap satu persediaan tersebut)
Isi 2:  Memprogramkan jadual harian yang amat teliti dan berdisiplin – agar semua perancangan dapat berjalan mengikut jadual – meletakkan cita-cita sebagai perkara yang paling hadapan daripada aktiviti yang kurang berfaedah
Isi 3:  Memantapkan psikologi dan emosi – agar sentiasa bermotivasi tinggi – tidak mudah pudar semangat dengan cabaran-cabaran yang ditempuhi – mengenal pasti seseorang yang boleh dijadikan idola dalam bidang yang akan diceburi
Isi 4  Membuat kajian dan mencari maklumat yang tepat tentang bidang dan kerjaya yang ingin diceburi – usaha melalui pembacaan, berbincang dengan rakan-rakan, guru, internet dan memperoleh maklumat daripada tokoh-tokoh yang pernah terbabit dalam kerjaya berkenaan
Isi 5  Berusaha dan bertawakal dengan tidak pernah melupakan ibadah kepada Allah SWT – sebagai sandaran agar segala usaha dan cita-cita dimakbulkan.
Kesimpulan : Berpandukan maksud peribahasa hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa, saya sudah pasti akan berusaha sehabis daya untuk merealisasikan impian saya menjadi kenyataan. Saya amat yakin dengan cita-cita, usaha, dan amal takwa Allah tidak akan menghampakan setiap niat yang baik daripada hamba-Nya. Oleh itu, saya yakin setiap persediaan yang saya buat secara berterusan akan memberi natijah yang besar kepada diri saya.

2. Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya dalam kalangan remaja pada hari ini.
Jelaskan peranan pelbagai pihak  untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja.

 




Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca iaalah suatu kewajipan yang penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat membangunkan insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca,  nescaya seluruh adiwangsa memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam kalangan remaja.
Kelompok sasar yang pertama untuk merancakkan budaya membaca ialah ibu bapa. Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa  akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan cara membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom ‘mabuk’ gajet yang tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter dan Instagram yang mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan sendiri.
Institusi alma mater merupakan pusat kemenjadian manusia yang telah terserlah fungsinya sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan mula membina sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu, sekolah berperanan penting untuk melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui kalam membaca. Ejen terpenting yang berfungsi menggerakkan insan pelajar yang gemar membaca ialah para guru. Guru seharusnya membudayakan alma mater dengan menyuburkan minat membaca dalam kalangan murid-murid. Cetusan daya berfikir seperti mencari maklumat dan meneroka gaya berfikir seperti orang-orang bijaksana sewajarnya digalakkan sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Dalam usaha mengaktifkan minat membaca, semua medium maklumat hendaklah dimanfaatkan. Pihak sekolah haruslah boleh menganjak paradigma agar bijak memanfaatkan peranti elektronik sebagai sumber baharu bahan bacaan. Dalam wacana ilmu moden yang semakin bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama, sebaliknya berani keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung.
                 Masyarakat massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca terus diperkasakan. Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai pegaruh negatif begitu aktif menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala membuang masa seperti berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada masa hadapan. Oleh sebab itu, masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan gejala pagan ini daripada terus menular. Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui nasihat dan kaunseling mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan segera. Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan berilmu. Carilah rakan sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha melahirkan generasi cendekia. Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya sepanjang kehidupan.
Agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya membaca sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi berpengaruh ini mula menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca,  justeru masyarakat massa dengan sendirinya akan membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan bahan bacaan berkala yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali menanti giliran ketika berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi swasta terutama gedung-gedung perniagaan utama berpada-padalah menyajikan pengunjung dengan sumber-sumber hiburan yang bermula daripada awal pagi hingga lewat malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya mengumpan masyarakat untuk menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor bergelumang tahi.
Tuntasnya, insan yang membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui aksara dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli masyarakat dengan amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa membaca bangsa yang berjaya.

4.     4.  Prniagaan secara dalam talian merupakan satu trend baharu dalam urus niaga tanpa sempadan.
Huraikan kebaikan urus niaga secara dalam talian kepada masyarakat antarabangsa.

 




Pendahuluan: Nabi SAW telah bersabda dalam mafhumnya, “Sembilan persepuluh daripada kekayaan datangnya daripada perniagaan”. Iktibar daripada Hadis tersebut dengan jelas menerangkan bahawa bidang perniagaan mampu mengangkat kuasa ekonomi seseorang untuk hidup senang-lenang. Sejajar dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat, bidang urus niaga juga turut mengalami proses transformasi apabila urus niaga sistem tradisional telah bertukar kepada transaksi secara dalam talian. Hal yang tersebut telah mengimpakkan anjakan paradigma dunia perniagaan menjadi lebih efektif, mudah dan berkesan.

Isi 1: Sistem urus niaga dalam talian benar-benar mempercepat urusan – urusan berkaitan maklumat barangan dan jenama, iklan, tempahan dan bayaran amat mudah dilaksanakan
Isi 2: Sistem urus niaga yang berkaitan dengan tempahan dan bayaran cukup selamat dan mudah – urusan hanya boleh dibuat di dalam talian dan terhindar daripada sebarang tindakan jenayah – meminimumkan penggunaan tukaran tunai.
Isi 3: Sistem yang menjimatkan dalam aspek pengurusan masa, tenaga dan kos – tempahan boleh dibuat dari dalam bilik tidur sahaja walaupun premis perniagaan yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya – tidak bersesak-sesak di jalan raya dan tidak perlu bersesak-sesak dan beratur panjang di premis perniagaan.
Isi 4: Suatu sistem perniagaan yang tidak memerlukan ruang dan tempat yang terlalu luas – boleh dilakukan di premis tempat tinggal sahaja – secara relatifnya kos operasi dapat dikurangkan manakala harga barang menjadi lebih murah
Isi 5: Suatu inovasi yang mendidik manusia moden supaya lebih amanah, bertanggungjawab dan menyantuni etika kehidupan – sistem  ini amat mementingkan tahap amanah dan sikap saling percaya – membentuk suatu jaringan saling menyokong dan implikasi “menang menang” antara peniaga dan pengguna.
Kesimpulan: Sesungguhnya, inovasi bijak niaga dan mesra pelanggan ini sudah pasti akan berkembang dengan pantas dan mula menguasai dunia perniagaan. Hal yang demikian, jika dimanfaatkan dengan baik akan melahirkan sebuah generasi umat dunia yang lebih cakna, peka dan bertanggungjawab. Amalan monopoli dan menindas mahupun tindakan jenayah sudah pasti dapat  dikurangkan sesuai dengan taraf kebijaksanaan manusia moden.

5.       Slogan, ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’  merujuk kepada hubungan yang erat antara jiran bagi mewujudkan negara yang aman, harmoni dan sejahtera.
Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengukuhkan semangat kejiranan di negara kita.

 




NOTA: Sila rujuk modul saya edisi 2018, muka surat 85, soalan latihan kendiri no. 3


IKUTI SETERUSNYA SOALAN NEGERI LAIN PULA. SELAMAT MENCUBA.

1 comment:

  1. TERIMA KASIH TUAN HJ...BUDI TUAN HANYA ALLAH SAJA YANG DAPAT MEMBALASNYA...

    ReplyDelete