Sunday, February 10, 2013

ULASAN SOALAN 4, SPM 2012

Assalamualaikum/salam sejahtera,

Alhamdulillah, kita dapat bersua semula dalam ruangan bimbingan karangan ini. Saya memohon maaf kerana agak lama terhenti berkomunikasi dalam laman maya ini.Selain masa yang sangat mencemburui segala aktiviti, saya turut dilanda masalah penglihatan mata kiri yang agak serius.Keadaan tersebut telah menghalang saya untuk menghadap skrin komputer lebih lama.

Walau apapun, atas janji dan semangat membantu sesama kita, saya gagahi diri untuk terus memberi sumbangan dalam laman ini. Kini tibalah kepada ulasan soalan yang terakhir iaitu soalan 4 (DIMENSI GLOBAL).

SOALAN :

Produk makanan halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai produk yang terjamin kebersihan dan kesuciannya.

Jelaskan kebaikan-kebaikan yang diperoleh melalui penghasilan produk makanan halal ini.

KOMEN : Seperti lazim tidak ramai calon yang memilih untuk menjawab soalan ini. Alasannya pun lazim juga, iaitu soalan ini susah dan pelajar tidak memiliki cukup maklumat tentang isu yang ditanya. Walau bagaimanapun, masih ada calon yang memberanikan diri untuk menjawab soalan ini. syabas!
Walau bagaimanapun, selepas disemak, lebih 70% calon yang tersasar kerana beberapa sebab yang antara lainnya adalah seperti yang berikut ini;

1. Soalan secara jelas tidak mengarahkan calon menyatakan kebaikan dalam aspek hubungan global. Arahan soalan adalah terlalu umum iaitu tentang kebaikan produk makanan HALAL.
2. Calon telah trperangkap antara kehendak soalan yang kurang jelas dengan kedudukan soalan sebagai isu antarabangsa.
3. Rata-rata calon hanya mengemukakan pendapat tentang  kebaikan makanan halal seperti bersih, memperoleh reda (redha) di sisi agama, menyokong industri yang diterajui oleh orang-orang Islam dan sebagainya. Calon tidak menyentuh sedikit pun tentang kebaikan yang berkaitan dengan hubungan antarabangsa.

ADAKAH CALON YANG SALAH DALAM PERKARA INI? MUNGKIN YA  DAN MUNGKIN TIDAK. MEMANG INILAH STANDARD SOALAN SPM YANG TIDAK SUDAH-SUDAH DENGAN KESAMARAN DAN KECELARUAN

NASIHAT SAYA : Kepada rakan-rakan guru dan para pelajar yang ingin menjawab soalan ini, pastikan anda memiliki pengetahuan tentang asas hubungan Malaysia dengan dunia luar. Memang benar soalan ini adalah beraras tinggi dan pertimbangan markah juga diberi secara berhati-hati. Hal tersebut sebagai sokongan kepada calon-calon yang kredibal apabila berani menjawab soalan seprti ini. Namun begitu, ramai calon yang terperangkap kerana tidak memiliki pengetahuan yang cukup dan menjawab denganmenggunakan hujah dan fakta yang kurang meyakinkan.

Sebagai ihsan sila telitikan sampel jawapan yang dipetik daripada Modul saya edisi 2013. Anda boleh mendapat jawapan penuh soalan ini dengan menempah MODUL MAHIR MENGARANG dengan cara memesan terus kepada saya, Sila hubungi talian 019 4789803.

CONTOH JAWAPAN

               Memetik firman Allah dalam al Quran (Surah al Baqarah ayat 168) yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang ada di bumi, makanan yang halal lagi baik”. Dalam agama Islam, perihal halal amat dipandang berat. Sebarang salah laku kerana mengambil makanan yang tidak halal adalah berdosa besar. Secara universal pula larangan tersebut bertepatan dengan budaya dan amalan kepercayaan lain juga.   Oleh hal yang demikian, inisiatif Malaysia dalam menghasilkan produk makanan halal mula mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa kerana terjamin dari segi kebersihan  dan kesuciannya. Sebenarnya, usaha Malaysia itu telah mendorong pelbagai impak positif melalui penghasilan produk makanan halal.


                Sebagai perintis dalam industri ini, Malaysia bakal menjadi hub produk halal sama ada di peringkat wilayah mahupun antarabangsa. Hal demikian kerana, produk halal amat diperlukan oleh 1.7 bilion umat Islam dunia. Dalam konteks yang berkaitan, langkah Malaysia amatlah pragmatik kerana dapat menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia terhadap tuntutan fardhu Ain, yakni mengambil makanan yang halal adalah wajib. Seandainya dalam enam dekad yang silam, Jepun telah berjaya meletakkan negaranya sebagai hub industri automotif yang tersohor di dunia, nescaya bukan mustahil Malaysia pula akan dikenali sebagai hub industri halal. Dengan hal yang demikian, langkah yang diambil oleh Malaysia merupakan inisiatif yang sangat strategik lagi pragmatik untuk menguasai industri makanan dalam kalangan negara-negara Islam.

                Apabila industri ini benar-benar berjaya, seyogia suatu lagi rangkaian niaga dalam kalangan blok negara-negara Islam akan terbentuk. Kita yakin sebagai perintis, Malaysia sudah pasti menjadi tumpuan seluruh negara Islam untuk mendapatkan bekalan produk halal. Usaha ini juga turut membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) agar dapat berkembang selaras dengan permintaan global yang semakin tinggi. Pada hari ini pun, beberapa buah negara telah mula mengadakan hubungan dagang produk halal dengan Malaysia. Negara-negara tersebut seperti Indonesia, Kazakhstan, Sri Lanka, Kuwait, UAE dan Arab Saudi bakal menjadi pintu masuk pasaran baru eksport Malaysia berasaskan produk makanan halal. Hanya sanya, langkah proaktif pihak pemain-pemain industri tempatan sahaja yang akan menentukan sama ada langkah yang dirintis oleh kerajaan Malaysia akan berjaya atau tidak.

SIRI AKAN DATANG : BIMBINGAN MENGARANG SECARA BERSIRI. JANGAN LEPASKAN TEMU JANJI KITA.
MOHON DOA AGAR MASALAH PENGLIHATAN MATA KIRI SAYA PULIH SEMULA.

No comments:

Post a Comment