Monday, March 26, 2012

BONUS KERANA ANDA SABAR MENANTI

Assalamualaikum,

     Cuba anda telitikan kandungan maksud pantun hasil nukilan Pak Hamka ini
      
     Sayang nenas daun berduri
     Rasanya manis bukanlah gula
     Andai diri terlencong budi
     Seumur hidup orang tak percaya

Pantun Pak Hamka di atas sekadar mukadimah saya pada kali ini. Buat pengetahuan pengikut blog saya, sejak bermingguan belakangan ini saya terlalu sibuk. Al hasil janji saya dengan anda telah terabai. Insya-Allah sedaya mungkin, saya akan teruskan bimbingan mengarang ini dalam beberapa hari lagi.

Atas sabar anda itu, inilah bonus sebuah karangan lengkap untuk bekalan anda. Sila baca, teliti dan analisiskan kandungan pendahuluannya, isinya, dan teknik pelengkap wacana pada setiap perenggan isi karangan.

“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.

Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera’
                Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Saujana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
                Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Ambang Saujana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.

Hadirin sekalian,

Air jernih genang-genangan
Alir deras jernih di hulu
Tempat jatuh lagi dikenang
Inikan pula tempat menimba ilmu

Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK Ambang Saujana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Hadirin sekalian,
                Sebelum menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang diraikan oleh phak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.

Para pendidik yang dihormati sekalian,
                Alhamdulillah, tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A  yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian .

Rakan-rakan sekalian,
                Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang.  Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.

Hadirin sekalian,
                Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Saujana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah, 

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
                Diri kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Selepas mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingitlah pesan peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.

Hadirin sekalian,
                Berat hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,
Burung terbang melintas sempadan
Terbang menuju muara segara
Biar jauh berbilang lautan
Sebutir katamu menjadi mutiara

Sekian terima kasih.

BERKATALAH TERIMA KASIH KEPADA SAYA SETELAH ANDA MEMBACA ATAU MEMBUAT SALINAN KARANGAN INI


1 comment:

  1. Assalamualaikum, cikgu . Saya ada masalah dalam perkarangan karangan. Tapi saya ingin dapat A dalam BM....harap cikgu dapat tolong saya

    ReplyDelete