Thursday, February 16, 2012

ULASAN SOALAN 5 - UNSUR SASTERA

Alhamdulillah. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya memberi saya sedikit masa untuk menyambung kerja sukarela ini. Dalam siri-siri yang lalu, saya telah mengulaskan 4 soalan. Setiap soalan telah diberikan sama ada isi-isi penting atau pun cabutan sebahagian daripada karangan lengkap.

Tiba pada kali ini untuk kita menilai soalan yang terakhir iaitu soalan yang berunsur sastera. Perlu diingat, soalan dalam unsur sastera terbahagi kepada 2 jenis iaitu;

(i)  Jenis pertama : Soalan dalam bentuk deskriptif atau dalam bentuk huraian biasa. Hal ini bermaksud karangan biasa yang merujuk kepada perihal kesusasteraan. Oleh itu, rujukan isi hendaklah yang ada kaitan dengan bahan-bahan sastera atau unsur-unsur sastera.

(ii)  Jenis kedua : Soalan dalam bentuk kreatif. Soalan ini lebih eksklusif sedikit kerana gaya persembahan hendaklah condong kepada penulisan kreatif khususnya cerpen atau pun drama. Selain itu, ada kemungkinan calon dikehendaki membuat ulasan tentang genre-genre sastera. Aspek laras, pengolahan dan gaya bahasa hendaklah mirip kepada kesusasteraan.

ULASAN : Pada dasarnya soalan ini bukanlah terlalu sukar. Malahan ada kalanya soalan ini lebih mudah daripada soalan 1 - 4. Suatu hal yang agak menarik, pelajar sendiri yang telah meletakkan persepsi bahawa soalan 5 adalah tidak menarik. Padahal, pelajar tidak perlu bersusah-susah untuk mencari bahan. Mereka hanya membuat aplikasi semula terhadap mana-mana genre sastera yang telah dipelajari dalam KOMSAS sama ada di tingkatan 4 atau 5.

Sekarang cuba pelajar telitikan soalan 5 SPM 2011 seperti yang berikut ini;

Cari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan ubat

Cari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setia kawan

Petikan gurindam di atas menjelaskan kepentingan memilih sahabat.

Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sahabat yang baik.

ULASAN : Soalan ini merupakan gabungan antara kreatif dan deskriptif. Dalam aspek kreatif, calon dikehendaki peka terhadap genre puisi khususnya puisi tradisional. Sementara itu, dalam perkara menjawab soalan pula, calon dikehendaki memberi jawapan dalam bentuk deskriptif. Oleh hal yang demikian, soalan ini adalah antara yang mudah dalam semua soalan SPM 2011. Calon tidak perlu risau tentang laras bahasa dan gaya bahasa. Memadailah dengan merujuk beberapa jenis pantun atau gurindam, calon boleh mengarang dengan memberikan tumpuan kepada fokus isi iaitu CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK. Berikut ini telitikan sebahagian cabutan daripada karangan penuh yang diambil daripada modul saya.

     Dalam memperkatakan perihal sahabat, seuntai pantun Melayu pernah berkias tentang nilai  sahabat yang sebenarnya seperti yang berikut;


                Apabila langsat kuning mencelah
                Senduduk tidak berbunga lagi
                Apabila mendapat gading bertuah
                Tanduk tidak berguna lagi.

Persoalan terpenting yang diketengahkan oleh pantun di atas betapa, persahabatan yang rapuh tidak lebih daripada memandang kebendaan dan aspek luaran sahaja. Dengan yang demikian, hakikat sahabat yang sebenar adalah seperti yang dinukilkan oleh al Hakim dengan kata-katanya, “Temanmu ialah orang yang berkata benar kepadamu dan bukan yang membenarkan apa-apa sahaja yang engkau katakan”.  Oleh itu, peribahasa Sepanyol ada menyatakan tentang diri sahabat yang baik ialah, “Tiada cermin yang paling baik melainkan seorang sahabat yang jujur kepada dirimu”. Sesungguhnya, amat banyak ciri yang harus diteliti dalam memilih sahabat yakni sahabat yang memiliki sifat-sifat cemerlang (sifat mahmudah) dan elakkan sama sekali sift-sifat keji (sifat mazmumah).

                Kerap kali timbul soalan secara santai tentang siapakah sahabat yang baik? Jawapannya pun tentulah secara santai juga iaitu sahabat yang bersedia dalam kedua-dua situasi susah dan senang. Memadaikah jawapan tersebut? Sesungguhnya, sahabat yang baik hendaklah insan yang sentiasa mengenali dirinya. Mengenali diri dalam konteks tahu asal usul sebagai hamba yang dijadikan Tuhan. Insan yang mengenali dirinya tidak mudah lupa daratan dan tidak memutuskan urusan hidupnya dengan Allah SWT. Inilah yang dinamakan insan yang beriman. Insan yang beriman sudah sewajarnya tidak memutuskan hubungannya sesama insan lain. Inilah sebenarnya hakikat sahabat dalam kelas yang pertama iaitu yang tahu akan hak dirinya kepada Allah dan faham akan tanggungjawab kepada insan lain.......teruskan membaca jawapan ini dalam modul saya ms 39.

Sekian terima kasih.


SEBAGAI USAHA TAMBAHAN UNTUK MEMPERTINGKATKAN KEMAHIRAN MENGARANG PELAJAR-PELAJAR, SAYA DENGAN SEGALA RENDAH HATI MENGEMUKAKAN MODUL KERTAS 1 BAGI EDISI 2012 PULA. 

SILA DAPATKAN NASKAH ANDA. 


 

KITA BERJUMPA DALAM EDISI YANG AKAN DATANG TENTANG BIMBINGAN 'SMART' KARANGAN PULA. JANGAN TERLEPAS MENGIKUTI BLOG SAYA. SAYA AMAT BERSYUKUR KEPADA ALLAH KERANA ADA KAWAN RAKAN YANG SUDI MENIMBA SEDIKIT PENGALAMAN DAN KEMAHIRAN DARIPADA SAYA.

SELAMAT MAJU JAYA

No comments:

Post a Comment

Post a Comment