Thursday, January 27, 2011

SAMPEL PENDAHULUAN DAN KESIMPULAN

Guru-guru dan pelajar2 yang dikasihi sekalian; 
     Janji saya pada siri yang lalu untuk membimbing anda tentang teknik penyediaan pendahuluan dan kesimpulan yang serasi dengan soalan. Sebelum itu kita rujuk semula soalan : 

Anda telah dilantik sebagai pengawas sekolah.

Sebagai pengawas, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.

Teknik terbaik untuk menulis pendahuluan bagi soalan ini ialah gambaran situasi sama ada situasi semasa atau situasi yang menunjukkan bukti pencapaian cemerlang sesebuah sekolah. Pelajar boleh membuat olahan awal pendahuluan dengan memberikan gambaran seperti di atas. Setelah itu, pelajar kaitkan situasi dengan salah satu elemen utama iaitu aspek keterampilan disiplin pelajar. Seterusnya dalam ayat-ayat terakhir, nyatakan pendirian anda tentang peranan yang akan anda lakukan. Lihat contoh pendahuluan di bawah:

       Kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan khususnya sekolah hendaklah diukur berdasarkan beberapa kriteria utama. Antara kriteria tersebut ialah kecemerlangan akademik, peningkatan dalam bidang kokurikulum, dan kewujudan budaya sekolah dengan mengutamakan aspek 3K. Komponen 3K  yang meliputi aspek kebersihan, keselamatan, dan keceriaan boleh menjadi budaya cemerlang kepada sekolah berkenaan. Namun demikian, semua perkara di atas tidak akan lengkap tanpa komitmen semua warga sekolah terhadap ketahanan disiplin para pelajarnya. Oleh itu, disiplin bolehlah dianggap sebagai enjin kedua yang bakal memacu sesebuah sekolah mencapai kejayaan dalam pelbagai aspek. Sebagai pelajar di sekolah saya sangat bersyukur kerana terpilih menganggotai badan pengawas sekolah. Pemilihan tersebut amat menuntut komitmen saya untuk memberikan yang terbaik agar dapat menjadi mata dan telinga dalam usaha memantapkan disiplin para pelajar. 

Analisis item pendahuluan :

Terdapat 3 item utama yang perlu dipatuhi pelajar apabila membuat pendahuluan karangan. Item-item tersebut ialah;
- olahan isu
- tema soalan
- fokus isi jawapan


Lihat pecahan ayat di bawah yang telah dipetik daripada sampel pendahuluan di atas untuk menentukan itam-item tersebut

Olahan isu soalan : Kecemerlangan ...hingga .... sekolah berkenaan
Tema soalan :  Namun demikian, ...hingga.... dalam pelbagai aspek
Fokus isi jawapan : Sebagi pelajar .... hingga .... para pelajar

 Untuk Panduan lanjut lihat buku saya, TARGET PRO SPM KARANGAN, terbitan SASBADI





Monday, January 24, 2011

SELAMAT MELANGKAH KE GERBANG ILMU 2011

Rakan-rakan pendidik yang dihormati sekalian,  
   Bersama-sama rasa syukur, dalam perasaan yang penuh tawadhuk saya beristiqamah untuk meneruskan program bimbingan mengarang ini bagi sesi 2011. Dengan harapan yang sangat tinggi, saya berhasrat untuk membantu rakan-rakan guru dan para pelajar dalam suatu siri terancang dan lengkap tentang panduan mengarang. Semua guru yang berminat melayari blog ISHAK MD SHAH diharapkan dapat memanfaatkan segala bahan yang bakal saya muatkan secara bersiri nanti. 

    Antara kandungan yang bakal dimuatkan nanti adalah seperti yang berikut ini:

Siri 1 : Konsep-konsep penting dalam karangan
Siri 2 : Teknik penganalisisan soalan dan komponen penting dalam soalan
Siri 3 : Panduan aplikasi pendahuluan
Siri 4 : Panduan aplikasi isi karangan yang menepati kehendak soalan
Siri 5 : Panduan olahan isi
Siri 6 : Teknik pengaplikasian ungkapan-ungkapan indah seperti peribahasa, kata-kata hikmat, slogan, dan sumber-sumber petikan yang sesuai
Siri 7 : Merupakan siri yang berterusan iaitu sampel karangan serta soalan latihan mengarang yang lengkap dengan skema isi.

    Saya amat yakin bagi guru yang tidak memanfaatkan peluang ini, jelas suatu kerugian yang besar untuk pelajar-pelajar anda. Semua aspek yang akan saya muatkan nanti merupakan koleksi pengalaman yang telah saya peroleh selama 13 tahun menjadi penceramah bimbingan mengarang di samping pengalaman menjadi penulis buku-buku teknik mengarang dengan penerbit SASBADI SDN BERHAD.

          AYUH, KITA MANFAATKAN BERSAMA DEMI KEBAIKAN ANAK-ANAK DIDIK